Moving Slowly & Save, See The WORLD, Appreciate all you have & be greatful about LIFE
Monday, September 11, 2023
MENJEJAK LALUAN EPIK HO CHI MINH 2018
CENTRAL OF VIETNAM
7 NOV- 19 NOV 2018
HCM TRAIL RIDE
Hai, lama tak menulis. Bukan sengaja tapi sebab laptop rosak, makanya terus hilang semangat nak sambung menulis. Dari tahun 2018 membawa ke tahun 2023 baru ada kesempatan nak teruskan untuk menyimpan sedikit kenangan ketika mengembara ke bumi Vietnam bagi kali ke 4.
Cerita ni dah tulis 80%, jadi setiap gambar sudah pun aku masukkan. Maka ada gambar yang tak bertudung aku tak dapat nak ejas, mana-mana gambar yang masih ada dalam simpanan yang boleh aku edit, aku edit. Yang tak dapat edit, aku minta Allah ampunkan atas dosa-dosa aku ni. Harap maklum.
Kali ni nak berkisah tentang pengembaraan ke Central Vietnam bersama 2 orang rakan kembara yang memang dah selalu kembara bersama. Katt dan Shila.
6hb malam, kami bertiga sudah tiba di KLIA2 untuk menguruskan bagasi yang penuh dengan makanan. Maklum lah, mengembara ke bumi yang asing, selera Melayu takkan mungkin hilang.
Ini penerangan mengenai Lebuh raya Ho Chi Minh Barat yang membuatkan aku tekad untuk menjejakinya.
( Lebuhraya Ho Chi Minh Barat).
Lebuhraya Hồ Chí Minh dibina dengan memotong kawasan pergunungan dengan bukit curam. Ada beberapa stesen minyak sepanjang laluan.
Ada kalanya, bila hujan lebat akan merosakkan sebahagian kecil jalan Hồ Chí Minh dan menjadikannya tidak dapat dilalui oleh trak dan kereta. Pemandu kenderaan mesti berwaspada dengan haiwan ternakan seperti kambing, kerbau dan lembu yang meragut di tepi jalan.
Semasa lebuh raya mula dibina, sebahagian kecil jalan Hồ Chí Minh masuk ke dalam Thừa Thiên-Huế dan Quảng Nam melalui Laos, tetapi lebuh raya itu kini kekal sepenuhnya dalam sempadan Vietnam.
Laluan simen bermula dari Taman Negara Phong Nha Ke Bang, laluan QL15 dalam hutan taman negara. Kelok-kelok tayah cakap la..1000 corners pun kalah.
Jalan simen yang muat hanya sebuah kereta sahaja, jalan berlumut, kabus tebal, hujan serta banyak haiwan ternakan dan tanah longsor. Tetapi pemandangannya sepanjang jalan akan membuatkan kita jadi terkesima.
Jika bernasib baik dapat tengok beruang merah dan specis musang /binturong melintas jalan. Burung-burung pun banyak.
Hari ke-1 ( 7 Nov 2018 )
KLIA - Noi Bai Internasional Airport
Tiba di lapangan terbang antarabangsa Noi Bai , perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membeli sim kad.
Ia untuk memudahkan urusan mencari laluan yang telah dicatat dalam perancangan. Sambil-sambil tu selesakan diri dengan persekitaran baharu. Duduk lepak pekena kopi Vietnam secawan dulu.
Untuk pergi ke kedai motor, paling mudah menggunakan perkhidmatan grab. Aplikasi grab yang kita guna di Malaysia boleh juga guna di Vietnam. Sebab apa aku suka mengembara ke Vietnam ? Kerana tulisan dia aku boleh baca, berbeza dengan tulisan dari Thailand, Cambodia , Laos dan Myammar. Krik krik.
NBIA - PHUNG’S MOTORBIKE Rental : 31km (Grab)
Perjalanan dan pengurusan sangat mudah. Seperti biasa aku akan membahagikan tugas. Bidang pengurusan wang aku serahkan kepada Katt. Segala hal yang melibatkan duit, Katt yang akan uruskan. Shila lebih kepada keperluan makanan, sebab dalam bag dia semua pekakas memasak dan bahan makan. Aku pulak buat peta perjalanan.
Tiba di Phungs motobike, tidak kelihatan tokeynya. Hanya pekerja nya sahaja yang menguruskan keperluan kami. Aku sempat mencari sticker yang aku berikan pada Mr Phung yang ditampal di cermin kedainya. Aha, masih ada lagi di situ.
Setelah segalanya diuruskan, kami perlu mencari stesyen minyak dan mencari gas untuk memasak.
Kami menyewa 2 buah motorsikal, aku dan Katt sebuah motor manakala Shila bersendirian. Lokasi pertama adalah masjid Al-Noor. Tempat untuk membersihksn diri, solat dan mencari makanan halal.
Aku sebenarnya tak sabar nak keluar dari bandar Hanoi. Stress. Siapa yang dah pernah datang, akan tahu. Lagi-lagi kalau memandu. 200% kena berikan sepenuh tumpuan di setiap sudut. Kiri, kanan, depan, belakang, kadang-kadang motorsikal tiba-tiba muncul entah dari mana. Huhu. Masa ini lah penting penunjuk arah elektronik yang diletakkan di hadapan kita.
Hanya pandang kehadapan sambil sesekali menjeling pada map, jadi penumpuan dapat diberikan sepenuhnya pada pemanduan.
Perjalanan dimulakan dengan berhati-hati, bimbang tersalah masuk lorong atau laluan. Kelajuan hanya 40-60kmsj. Di Vietnam mana boleh bawa laju-laju. Pada aku amat sesuai dan selamat. Boleh menikmati pemandangan kiri dan kanan.
Selamat datang ke Mai Chau. Dapat menunggang motorsikal di satu mountain pass yang tersenarai berbahaya di Vietnam. Thung Khe Pass.
Laluan Thung Khe terletak di Lebuhraya 6, Wilayah Hoa Binh sejauh 18km, terletak di antara daerah Tan Lac dan Mai Chau, seluruh laluan itu dilitupi dengan warna putih batu kapur, menjadikannya terserlah di antara kehijauan pergunungan dan hutan.
Cuaca masa tu memang sangat panas dan kering. Shila bawak motor pun terhoyong hayang. Katt pulak sakit kepala. Jadi kami terpaksa berhenti rehat dan minum di tepi jalan untuk seketika, memang mengantuk. Kalau boleh nak ja tidur kat hammock tu. Di sebabkan perjalanan masih jauh lagi, terpaksa lupakan hasrat dan teruskan perjalanan.
PMR - Eco Homestay Lac Village
Lokasi hentian pertama adalah Lac Village yang terletak di Lembah Mai Chau.
Apa yang menariknya perkampungan ni ?
Perkampungan Lac adalah perkampungan yang unik, kerana di situlah penempatan kaum etnik 'White Thai'. Ya 100% bangsa Thai di Vietnam. Kampung ini terletak di sebuah lembah, di kelilingi dengan gunung ganang, teres-teres sawah padi dan sungai. Penduduknya hidup dengan bertani dan menternak haiwan ternakan.
Eco Homestay
Aku dapat tahu pun melalui pembacaan ketika membuat peta laluan perjalanan. Tempat penginapan pun banyak, sebab perkampungan ni sudah diistihar menjadi salah satu produk pelancongan di sini. Banyak aktiviti yang boleh kita buat di sini, contohnya melihat penduduk menenun pakaian, berbasikal di tengah batas sawah sambil menikmati pemandangan yang indah.
Di waktu malam pula ada persembahan tarian tradisional kaum White Thai, tetapi disebabkan masa yang kami ada sangat terhad, maka hanya hanya mampu tidur di rumah inap dengan reka bentuk rumah tradisi masyarakat white Thai saja. Lagi pula, masa kami sampai, hujan tak berhenti.
Eco Homestay , Lac Village
Aku jadi terkesima sekejap bila tengok tempat tidur kami malam itu. Tidur dalam kelambu. Antara tilam, cuma dipisahkan dengan tirai sahaja. Teringat nostalgia masa kecik-kecik dahulu. Kalau mahu ke tandas, kena turun ke bawah. Sama ja konsep kita di Malaysia. Tapi zaman 70-80 an la.
Hari ke-2 (8 Nov , 7:00 am)
Lac Village- Milestone 0 HCM Trail : 241km
Hari kedua disambut dengan hujan renyai di pagi hari. Terkelip-kelip mata aku memandang air hujan sambil duduk di tangga. Macamana nak 'ride' dalam hujan. Sejuknya bukan biasa-biasa. Uhf. Memang rasa malas ja nak mulakan perjalanan, tapi tiada pilihan, terpaksa.
Harga penginapan di sini termasuk dengan sarapan pagi sangat murah dan berbaloi. Jadi tiada alasan untuk mengatakan tidak. Bila bag dan siap dipasang pada motosikal, kami pun menikmati sarapan dahulu.
Apa yang boleh dimakan selain dari kopi, teh, roti dan telur. Juga ada disediakan buah tembikai sebagai pencuci mulut. Wah, bestnya tempat ni.
Hujan masih turun, kami memulakan perjalanan dengan berhati-hati sebab jalannya diperbuat dari simen, licin. Saja ja ikut jalan yang berlainan untuk melihat pemandangan yang berbeza. Nah, keluar saja dari pintu gerbang kampung Lac, dia tunjuk panorama yang indah sekali.
Hala tuju untuk hari ini adalah mencari monumen batu tanda titik 0 km di Tan Ky.
Sepanjang jalan hujan renyai, tak banyak benda yang boleh dirakam. Cuma berhenti untuk ke tandas dan solat di stesyen minyak. Jenuh dan menyeronokkan apabila menggunakan 'google translate' untuk berkomunikasi dengan pekerja di situ. Ia bukan masalah yang besar, kerana orang Vietnam sangat 'friendly'.
Kami meminta izin untuk tumpang tandas dan solat di stesen minyak.
Sampai di bandar Tan Ky pun sudah lewat petang.
Tengok lah jalannya. Aku berdoa agar dapat kawal motor jangan sampai tergolek.
Aku cerita sikit la tentang monumen ni.
Tahun 1959, Parti Komunis Vietnam telah menetapkan Kampung Lat di daerah Tan Ky menjadi titik permulaan laluan untuk menyalurkan trak tentera yang membawa bahan senjata, perubatan dan makanan kepada barisan tentera di bahagian selatan.
Titik 0km juga menjadi medan berkumpul para tentera untuk ke Selatan. Laluan ini telah dipanggil Ho Chi Minh Trail.
Pada 19 Mei 1959, Biro Politik Parti Komunis Vietnam dan Jawatankuasa Parti Ketenteraan Pusat telah membina paksi pengangkutan tentera di sepanjang banjaran gunung Truong Son, yang dipanggil Ho Chi Minh Trail.
Selama bertahun-tahun selepas ia siap, jalan itu berfungsi untuk mengangkut bekalan ke hadapan selatan. Titik permulaan laluan adalah di kampung Lat, daerah Tan Ky, wilayah Nghe An dan ditandai dengan pencapaian "Kilometer Sifar".
Kami terus tuju ke monumen, bergambar ala kadar dan terus mencari hotel untuk bermalam. Hotel yang terdekat adalah Volga Hotel.
Hari ke- 3 ( 9 Nov 2018 )
Volga Hotel -Thanh Chuong Tea Island : 54km
Seperti biasa, kami akan memulakan perjalanan di awal pagi, kerana suasana begitu tenang, dingin dan berkabus. Perjalanan menggunakan laluan bersejarah HCM sungguh mengujakan.
Pemandangannya, boleh lah korang bayangkan jalanraya yang diapit oleh bukit bukau. Patutlah ia menjadi laluan untuk menyalurkan bekalan ketika perang dahulu. Kalau waktu dulu lagi lah, jalan rayanya tersorok ditutup dengan kanopi hutan. Sudah pasti pihak musuh tak dapat mengesan aktiviti di sepanjang laluan dari utara ke selatan. Memang dahsyat strategi ketenteraan mereka.
Aku ada terbaca tentang ladang teh di kawasan yang akan aku lalu, nak juga singgah kerana menurut pembacaan, ladangnya terletak di kawasan tasik. Dengan keadaan cuaca yang sesekali hujan, kami redah ja mengikut peta di google.
Jalan masuk agak mencabar , aku fikir dah salah jalan tetapi bila nampak beberapa buah bot pelancong ditambat di tepi gigi air, baru aku yakin. Inilah tempatnya.
Thanh Chuong Tea Island
Beginilah pemandangan dari atas, pokok-pokok teh yang ditanam di pulau- pulau sekitar tasik ini.
Sumber dari google 👇.
Bergambar dengan pengusaha muda yang menguruskan tempat ini.
Tempat ini besar sangat. Setiap sudut memang cantik untuk bergambar.
Kubu Phan Dinh Phung
Masa kami lalu memang tak tahu tempat apa ni. Nampak tangga tinggi naik ke atas. Pastu nampak tugu. Aku tanya la, korang nak naik tak? Masing-masing dah letih, cuma senyum ja. Dah tau la memang malas nak pergi. Cuma ambil gambar untuk buat rujukan.
Setelah mencari, akhirnya taulah bahawa
pada zaman dahulu tempat ini adalah kubu kuat pemberontakan Huong Khe di kawasan teras Hutan Negara Vu Quang. Kubu Phan ialah tapak peninggalan sejarah dan budaya negara yang dikaitkan dengan pergerakan Can Vuong yang terkenal. Tempat ini juga mengekalkan tanda kemenangan gemilang tentera pemberontak dan Phan Dinh Phung, Raja Ham Nghi semasa perang menentang Perancis pada akhir abad ke-19.
Phan Dinh Phung ni pejuang yang menentang Perancis dari tahun 1847-1895. Kisah dia ni trajik jugak. Sampai dah mati pun, Perancis korek balik kubur dia, sebab nak pastikan dia benar-benar mati. Tangkap ahli keluarga suruh buat pengecaman mayat. Lepas tu mayatnya dibakar dan abunya disebarkan berterbangan.
Kini terdapat monumen dan kuil yang didedikasikan untuk Phan, yang diasaskan oleh rakyat.
Taman Negara Phong Nha Ke Bang
Kami sampai di taman negara Phong Nha Ke Bang, di mana laluan Ho Chi Minh akan melalui taman negara ini.
Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh buat di Taman Negara Ke Bang. Banyak gua yang kita boleh jelajah antaranya Gua Phong Nha dan Gua Gelap ( Dark Cave). Boleh berkayak di sungai yang biru airnya. Di sebabkan tujuan aku hanya untuk menjelajah laluan Ho Chi Minh, maka semua tu aku abaikan sahaja. Sesungguhnya tempat ni memang cantik, menyesal pulak tak merayap di serata ceruk kawasan tu. Haishh.
Green Riverside Cosy Home
Shila berkenan dengan motor ni, pasal tu dia cuba-cuba menggayakan.
Sepanjang hari hujan, nak bersiar siar pun malas rasanya.
Hari ke- 4 ( 10 Nov 2018)
Macam biasa, celik mata, mandi, solat dan mula panaskan enjin motor. Setiap hari mulakan perjalanan jam 6/7 pagi.
Tugu peringatan tapak bersejarah negara, Jalan Ho Chi Minh Barat di dalam kawasan taman negara.
Kelibat haiwan yang biasa kita temui di Vietnam ni. Kadang hairan juga, tak ada rumah mahu pun perkampungan tapi ada haiwan ternak berkeliaran.
Yang seronoknya bila dapat lalu di dalam taman negara. Redup, tak ada kenderaan pun, suasana sejuk dan berkabus sepanjang Jalan Ho Chi Minh QL15.
Tengah jalan terasa lapar sebab belum sarapan dari pagi. Berhenti masak nasi dulu. Bila dalam keadaan darurat, sel-sel otak akan cepat berhubung untuk mencari jalan penyelesaian. Tak de pinggan? Tak pe kita guna je daun pisang yang banyak kat tepi jalan.
Kita makan dulu ..!
Lalu di tepi sungai A Voung, nampak cantik pulak air dia, hijau ja. Rupanya sungai ni menjadi stesen janakuasa hidroelektrik.
Thac Nuoc Ben Duong ( Air terjun tepi jalan)
Ta Con Airport Relic Muzium
Lokasi ni tiada dalam perancangan. Sambil pandang kiri kanan ternampak padang yang luas dengan banyak peralatan ketenteraan. Menjadi satu tanda tanya, tempat apa ni ?
Bila berhenti dan bertanya baru tahu muzium rupanya.
Muzium yang menyimpan sisa-sisa peperangan dahulu. Kelongsong peluru berpandu yang masih disimpan. Saiznya besar seorang manusia. Amat-amat dahyat.
Khe Sanh
Ini adalah bandar tentera. Lokasinya juga hampir dengan sempadan Laos. Hanya 19km saja dah boleh melintas sempadan.
Ho Chi Minh Monument Trail
Pintu gerbang Tapak Bersejarah Negara
Jalan Ho Chi Min
Bahagian jalan ini dibina oleh askar Truong Son mengikut piawaian tahap 4, berturap pada 1973-1974. Aku rasa jalan ni boleh tembus sampai ke sempadan Laos. Disebabkan hari dah menjelang petang, aku tak nak ambik risiko. Berhenti ambil gambar saja, kemudian teruskan perjalanan.
Cua Khau A Dot salah satu pintu sempadan antara Vietnam dan Laos di A Luoi. Konon- konon nak bergambar di pintu sempadan, alih-alih kena halau dengan pengawalnya. Sempat lah rakam beberapa keping gambar. Boleh lah buat tanda dah sampai.
Hầm đường bộ A Roàng 1
(Roang Road Tunnel 1 )
Setelah 56km dari pintu gerbang tadi, kami melalui dua buah terowong di laluan Ho Chi Minh trail QL14. Laluan terowong yang dibina menembusi gunung. Terowong A Roang 1.
Ini pula terowong kedua, stesen rehat terowong bawah tanah A Roang 2.
Rumah Budaya Komuniti Bhalee
Perkampungan tradisional Co Tu yang dilindungi UNESCO terletak di daerah Tay Giang. Sebetulnya aku tak tahu pun ini adalah tapak UNESCO. Masa lalu sekadar nampak dan ambil gambar. Namun nak berhenti tu tidak lah kerana aku tengok ramai anak anak muda sedang bermain bola. Segan pulak nak berhenti. Dah balik baru aku cari tahu. Rupanya komuniti orang asli di daerah ini.
Setelah 446km di atas jalan, akhirnya mencari hotel di Prao untuk berehat. Pewai oi.
Hari ke- 5 ( 11 Nov)
Hari baharu, tenaga yang hilang pun dah sudah dicas penuh. Masa kitaorang nak keluar dari hotel, ada dua orang penduduk setempat datang untuk berjualan. Nak jual cili, mulanya tak rasa nak beli, tapi bila fikirkan mereka mencari rezeki di awal pagi, maka beli lah juga.
"Ketuhar roti Kim Yen". Ni kedai kek dan roti. Nampak ada roti kami pun berhenti. Boleh buat alas perut. Setakat roti perancis yang keras tu je lah yang boleh makan. Kalau tidak, kena lah tanak nasi.
Kemudian, beli buah pula.
Dalam perjalanan ternampak orang sedang membakar kuih, berhenti lagi. Tertarik dengan cara dia masak, sama macam cara orang Melayu . Macam kuih bahulu saja. Kagum bila tengok dorang berniaga dengan hanya guna 1 dapur kayu sahaja.
My Son Santuary (Herritage)
Di lokasi ni aku cuma ambil gambar dari luar sahaja, sebabnya nak masuk kena tinggalkan motorsikal bersama barang-barang yang banyak, jadi rasa tak selamat pulak. Lagi pun nak masuk harga tiket agak mahal juga la, itu belum harga parkir motorsikal. Ah tak pe lah, tempat ni pun tinggalan sejarah candi hindu di Vietnam. Boleh lah diabaikan dulu.
Kita berhenti makan dulu sebelum sambung perjalanan. Malas masak nasi, makan saja buah dan kuih bahulu yang dibeli.
Hoi An
Sampai Hoi An, kami berlegar-legar di kawasan tumpuan pelancong. Tengok tak ada yang menarik, aku teruskan perjalanan.
Ruang Budaya Vietnam - Jepun
Cuaca memang cukup panas ketika itu, nak berlindung kena cari pokok.
Cua Dai Beach
Danang
Kelaparan yang terlampau membawa kami ke kedai makan milik rakyat Brunei. Tak ingat apa yang aku makan, asalkan halal ya sudah.
Muka-muka yang kelaparan dan keletihan.
Lepas makan terus cari tempat penginapan. Memang tak keluar sampai keesokan hari. New Green Hotel Danang berhadapan Sungai Han menjadi pilihan. Harga hotel di Vietnam biasanya murah. Dalam lingkungan rm35 - rm60 dah dapat bilik standard 3-4⭐, kalau kat Malaysia harga bilik macam ni dah cecah rm100-150.
Hari ke-6 ( 12 Nov 2018)
Dragon Bridge
Jambatan ni menjadi daya tarikan di Danang. Panjang nya 666 meter dan lebar 37.5 meter. Mempunyai 15,000 sistem lampu led. Waktu aku datang ni memang tak tahu apa yang menarik di jambatan naga. Bila dah balik dan aku baca di google rupanya pada waktu malam baru nampak kecantikannya. Difahamkan ada waktu-waktu tertentu akan ada persembahan api yang keluar dari mulut naga tu.
Ba Na Hill
Lokasi impian aku sebenarnya, tapi itu lah, duit tak berapa nak cukup untuk masuk.
Tiket parkir motorsikal macam kad touch n go.
Tempat parkir motor di sini seluas-luas alam. Sebenarnya takut juga nak tinggalkan barang-barang kat motor macam tu ja. Tapi tawakkal tu a'lallah.
Kaunter tiket.
Bergambar kat luar pun kira sampai jugak lah kan.
Angan-angan aku nak lah jalan kat jambatan yang ada tangan gergasi ni. Boleh foto-foto sampai lebam. Waktu itu, aku dah berangan, kami lah orang Malaysia yang pertama sampai dan berjalan di tapak tangan emas. Begitu lah perspektif angan-angan aku yang percuma.
Gambar google. 👇☝️
Hakikat dan kenyataannya, kami sebenarnya begini...👇
Berehat sambil cas talipon sebelum mula menyambung perjalanan ke lokasi seterusnya.
Hakikat hidup yang perlu kita tau adalah, nak menjadikan impian kepada kenyataan itu perlukan wangggg...
Pakej untuk masuk ke sini berharga : rm126.
Waktu itu, aku belum mampu lagi. Duit yang dibawa cukup-cukup makan. Hancur hati ku.
Hai Van Pass ( Laluan Awan Laut)
Setelah merasa laluan Thung Khe Pass, kali ini aku dapat merasa menunggang motor di laluan gunung yang lain iaitu Hai Van Pass. Jaraknya sepanjang kira-kira 21 km di Laluan Nasional 1 di Vietnam.
Ia merentasi Banjaran Annamite yang lebih besar yang menganjur ke Laut Timur Viet Nam, di sempadan Đà Nẵng dan Wilayah Thừa Thiên–Huế, berhampiran Taman Negara Bạch Mã.
Namanya merujuk kepada kabus yang naik dari laut, mengurangkan jarak penglihatan. Dari segi sejarah, lebuhraya ini adalah pembahagian wilayah antara kerajaan Champa dan Đại Việt.
Pada masa kini ia juga digunakan sebagai penanda iklim Vietnam utara dan kawasan selatan, di mana wilayah utara menerima 4 musim (musim panas, musim sejuk, musim luruh, musim bunga) manakala kawasan selatan menerima hanya 2 musim (hujan dan kering).
Hari ke-7 ( 13 Nov, 2018)
Elephant Spring
Tiket masuk + insuren = 15,000/rm3
Tiket motor : 2,000/40sen
Tiket kereta : 10,000 / rm2
Kanak-kanak ( 2 kanak-kanak /1 tiket)
Air dia jernih gila. Memang tempat tumpuan pelancong terutama mat salleh.
Sebabkan batu seketul ini saja yang tempat ni di panggil Elephant Spring. Batu yang ada sedikit bentuk kepala gajah.
Nak duduk kat wakaf ni kena bayar. Harganya aku dah tak ingat. Memang hati terasa nak tidur kat sini ja, tapi memikirkan nak angkut beg dan tinggalkan motor kat tempat parkir risau pulak. Dah lah kat sini tak ada lampu. Apa-apa jadi kang, dah jadi satu hal pula.
Jadi kami cuma berhenti makan, berehat dan celup-celup kaki buat rasa-rasa ja.
Sampai di Cua Tung kita orang mula mencari beras, sebab bekalan beras kitaorang dah habis. Percaya tak, mencari beras di Vietnam sangat susah. Mereka memang tak jual beras macam di Malaysia. Kau pergi la ke kedai runcit atau pasaraya, memang tak ada jual. Ini kali kedua aku menghadapi masalah untuk membeli beras. Padahal Vietnam banyak ja sawah bendang.
Rupanya beras adalah barang kawalan. Hanya orang tertentu sahaja yang memegang lesen penjualan.
Kami terpaksa bertanya orang tempatan di mana boleh beli beras. Maka ditunjuk la ke sebuah kedai yang bertutup. Kena ketuk dan panggil sebab waktu tengahari adalah waktu rehat orang Vietnam.
Marah makcik ni kita kacau waktu tidur dia.
Yak yak yey !
Melintasi jambatan Cau Cua Tung, aku terpandang banyak sampan bulat di pesisir pantai. Sampai di seberang, kami belok ke kiri menuju sekumpulan wanita yang sedang menunggu nelayan menarik ikan naik ke darat. Nampak ikan besar-besar, teringin pulak nak beli. Apalagi kita beli lah.
Cua Tung Beach
Sampai di sini dah tengahari, perut pun dah lapar. Jadi kami pun mulakan projek masak memasak. Ikan yang baru beli tadi Shila siang dan bersihkan. Aku masak nasi.
Stesen rumah Api Cua Tung
Cantik rumah api ni.
Khach San Thanh Binh
Setelah menunggang motor hampir 300km, terpaksa cari hotel yang dekat dengan jalan utama.
Hari ke- 8 ( 14 Nov, 2018)
Suasana kehidupan di Vietnam.
Berhenti beli sengkuang buat kunyah-kunyah. Sengkuang dia rasa manis dan sejuk. Maksud sejuk ialah, lepas aku makan, suhu badan aku terus turun mendadak. Terasa menggigil la pulak. Itu yang aku rasalah. Tapi sedap.
Aku masih tertanya-tanya, kulit kayu ni untuk buat apa? Banyak dijemur sepanjang jalan.
Hari ke-9 ( 15 Nov 2018)
Ho Chi Minh Square, Vinh
Pagi- pagi lagi dah sampai di sini. Bukan apa, sementara nak tunggu pejabat pos dibuka.
Nampak tak barisan pokok-pokok belakang tu? Itu adalah gunung buatan manusia. Mereka mengambil tanah dari Nam Dan untuk membina jajaran gunung. Pokok buluh dan rumput diambil dari wilayah-wilayah tertentu untuk menjadikan ia nampak hijau. Di tengah- tengahnya diletakkan tugu Uncle Ho sedang berjalan.
Keseluruhan monumen ni direka seperti terletak di banjaran gunung Chung (disimulasikan dari gunung Chung di daerah Nam Dan), tempat di mana Uncle Ho tinggal sejak kecil. Di sini, semasa dia remaja, budak lelaki Nguyen Sinh Cung dan rakan-rakannya pernah bermain layang-layang pada petang musim panas yang berangin. Pada mulanya, pembinaan gunung di tengah-tengah bandar mendapat banyak bantahan dan orang anggap bahawa ia adalah ilusi, tetapi akhirnya idea itu dirialisasikan.
Pejabat Pos
Jam 8 pagi baru lah kami mencari pejabat pos. Biasa lah, hantar poskad pada diri sendiri serta kenalan. Itu juga satu hobi.
-Surat Luar Negara-
Ninh Binh
Ninh Binh adalah sebuah bandar yang dikenali sebagai "Teluk Ha Long di darat" kerana banyak kars batu kapur yang indah di sekitar kawasan itu, sama seperti yang terdapat di Teluk Ha Long.
Tempat yang terkenal untuk melihat pemandangan 360° pekan Tam Coc dan kawasan sekitarnya adalah dari puncak pemandangan di Gua Hang Mua.
Untuk ketitik pemandangan indah, kita kena mendaki 500 anak tangga menuju ke 2 lokasi, kuil dan naga.
Anak tangga menuju ke puncak Hang Mua ditiru daripada seni bina Tembok Besar China dengan 486 anak tangga batu.
Kawasan berair itu adalah sawah padi dan itu juga laluan untuk sampan membawa pelancong.
Trang An Boat Tour
Yang membuatkan ia menarik ialah sistem batu kapurnya ditenggelami air yang membentuk beberapa buah gua yang boleh kita telusuri menggunakan sampan. Ia juga merupakan sebahagian daripada Kompleks Landskap Pemandangan Trang An yang besar.
Ada dua tempat yang kita boleh pergi, satu di Trang Anh, yang di dalamnya ada tempat yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Kong, Skull Island.
Satu lagi di Tam Coc. Kat sini tukang sampannya mengayuh menggunakan kaki dan akan melalui beberapa buah gua serta di kawasan sawah padi dalam air. Jika musim padi menguning, dapat lah lalu di celah-celah sawah yang padinya sedang menguning.
Set penggambaran filem Kong masih dikekalkan untuk tarikan pelancong.
Hari ke- 10 ( 16 Nov)
Kami tidur di Tam Coc untuk malam ke 10. Hotel yang murah letaknya di hujung kampung bersebelahan dengan bukit batu kapur. Siap ambil servis urut. Konon nak merasa lah teknik urutan tradisional orang Vietnam macamana. Tapi hampeh, sebab dia pernah kerja di Thailand, maka sama ja rasanya. Tak pe lah, dah hujung-hujung ni duit banyak. Belanja je la..
Kami ambil peluang untuk bersiar-siar ke pasar awam dan membasuh motorsikal yang terlampau kotor diselaputi tanah merah. Sambil-sambil tengok orang Vietnam hisap paip buluh .
Hari ke -11 ( 17 Nov)
Hanoi
Kalau dah sampai Hanoi, kena la pergi ke Train Street. Duduk minum kopi sambil menunggu keretapi lalu depan muka kita.
Hari ke 12 (18 Nov)
Bila dah hujung-hujung pengembaraan, dah boleh berbelanja macam orang banyak duit.
Makan kat restoran, minum di cafe, dah tak kuasa nak masak.
Sebelum balik, aku sambar satu jaket warna merah ni. Lawa sungguh. Masa dulu harga baru 250k= rm45. Sekarang tengok kat shopee dah rm71. Sampai sekarang masih elok lagi.
Hari ke- 13 ( 19 Nov, 6 :00 pagi)
Hotel - Noi Bai Airport : Grab
Noi Bai Internasional - KLIA2 : 9:00 pagi
Setakat tu saja kisah perjalanan bermotor aku di bumi Vietnam. Kalau tanya aku adakah nak pergi lagi? Aku akan jawab ya. Sesungguhnya Vietnam Utara memang mengujakan. Terpaling cantik dan aman.
No comments:
Post a Comment