KOTA PONTIANAK, KOTA KHATULISTIWA
KALIMANTAN BARAT, INDONESIA
2023
Setelah 10 hari aku mengembara di negeri Sarawak, tiba hari ke 11 aku bercadang untuk masuk ke Indonesia pula melalui pintu sempadan Tebedu / Entikong.
Tiket bas lintas negara boleh dibeli di Sentral Terminal Kuching dengan harga rm60, rm65 dan rm105 mengikut kompeni bas. Ada beberapa kompeni bas yang melayani laluan Kuching ke Pontianak seperti Eva Ekspress, DAMRI, SJS, Bintang Jaya Ekspress dan beberapa lagi kompeni bas yang lain.
Hari pertama (25/8/23)
Sebelum naik bas, tiket yang kita beli tadi kena daftar masuk di kaunter bas dahulu untuk dapatkan tiket yang berwarna putih 👇.
Beginilah bentuk bas yang aku naik. Nampak uzur benar. Bila hujan pun bocor. Namun, pemandunya sangat menjaga keselamatan dan berhemah sepanjang perjalanan.
Perjalanan ke Kota Pontianak mengambil masa selamat 8 jam termasuk berhenti makan , tandas dan solat. Gambar peta di bawah adalah laluan bas menuju ke Kota Pontianak.
Untuk bas yang aku naik ini, dia akan berhenti di satu kedai barang runcit kira macam kedai bebas cukai sebelum simpang ke jalan Serian-Tebedu. Kedai tu menjual macam-macam barangan makanan macam milo, maggie, coklat dan jajanan yang boleh dibawa pulang ke Indonesia. Mungkin pemandu dapat sedikit imbuhan kerana membawa pelanggan ke kedai tu. Lama jugak lah aku kena sidai duduk dalam bas menunggu makcik-makcik membeli belah.
Jam 12 tengahari aku sampai di Jabatan Imigresen Malaysia. Semua penumpang akan turun untuk mendapatkan cop pasport. Kemudian naik bas semula untuk ke Pos Lintas Negara Indonesia pula.
Selesai scan bag dan cop pasport, bas pun meneruskan perjalanan sehingga jam 1 petang.
Imigrasen Indonesia dah tak pakai cop, terus tepek sticker ja. Syabas.
Sekali lagi bas akan berhenti untuk makan tengahari di hentian kedai makan Roda Minang. Di sini ada disediakan ruang musolla yang bersih serta tandas yang banyak.
Sepanjang perjalanan ditemani dengan hujan yang tak henti-henti. Cuaca pun mendung sahaja.
Ketika hampir sampai ke Terminal Bas ALBN, pemandu bas bertanya, ada yang nak mengambil grab ? Kalau nak ambil grab boleh turun di bulatan Ali Anyang. Aku difahamkan bahawa, pengusaha grab tidak dibenarkan untuk mengambil penumpang di dalam kawasan terminal. Kerana kawasan terminal itu dikuasai oleh ahli koperasi teksi. Maklumlah, tambang grab memang murah berbanding teksi. Persaingan tu yang buat teksi kawal kawasan. Harga teksi memang ditekan betul-betul.
Aku pun ambil keputusan untuk turun sahaja di simpang bulatan. Keadaan di sini memang macam dalam gambar. Jalan raya utama ja elok, selain itu masih bertanah merah.
Sebaik turun saja bas, sudah ada ojek motor yang menegur bertanya-tanya mahu ke mana dan mintak aku menggunakan perkhidmatannya. Tak sempat aku nak bernafas menghirup udara tempat baharu. Jammed otak aku kejap.
Satu motor dia minta 50k = rm15, Aku congak-congak jarak aku cuma 8km ja. Aku mintak kurang lagi, akhirnya dia minta 40k = rm12 untuk sebuah motor. Itu pun kira mahal lagi tu. Harga online ojek grab baru 30k =rm9. Disebabkan hari menjelang maghrib, aku malas nak buang masa bertekak tentang harga.
Keadaan trafik di sekitar Pontianak
Aku bersetuju untuk mengambil 2 buah motor dengan harga 80k =rm24 sejauh 8km menuju ke hotel penginapan aku untuk malam pertama, Hotel Merpati.
Oleh kerana tak mahu pening kepala mencari penginapan di Kota Pontianak, awal-awal lagi aku dah tempah melalui agoda untuk 2 malam dapatlah harga 480k = rm146. Kira-kira satu malam + sarapan pagi berharga rm73 termasuk cukai. Bilik hotelnya luas, ada tub mandi. Paling puashati tilamnya lembut. Selesa betul bila dapat berehat dan tidur setelah menghadap perjalanan bas yang panjang.
Disebabkan masakan untuk sarapan pagi di hotel ni sedap, aku tempah ja makanan, mintak dia hantar ke bilik. Kes malas nak keluar cari makan malam-malam la ni. Nasi goreng seafood dan meehoon dia memang sedap.
Senarai harga menu makanan di hotel ni.
Hari Kedua (26/8/2023)
Pagi-pagi aku dah menunggu pengusaha motor sewa di lobi hotel. Harga yang ditawarkan hanya 100k = rm30 untuk sekitar Kota Pontianak sahaja. Memang banyak perkhidmatan motor sewa yang ditawarkan, sebab itu ,aku dan buat kajian awal mencari yang mana paling murah dan mudah tanpa ada apa-apa deposit. Masa aku sampai pun ojek yang hantar aku tu tawarkan motor sewa juga tapi dia mintak harga 300k = rm90. Hah ! kat Malaysia pun paling tinggi takat rm50 ja. Thailand dan Vietnam pun baru rm25-rm40. Ini mintak sampai rm90. Hrm.
Barang siapa berminat nak menyewa motorsikal boleh lah cari di sini 👉Sewa motorsikal. Namanya Pak Ahmad. Aku diberikan motorsikal yang baharu, belum ada no plat lagi.
Lokasi pertama aku pergi adalah di Pontianak Waterfront. Kawasan taman riadah yang berhadapan dengan Sungai Kapuas.
Di tebing sungai ada gerai-gerai terapung yang menjual makanan cucuk-cucuk tu. Berderet ja tepi benteng pagar. Pelantar gerai ini diletakkan di atas sampan untuk menampung dan kekal di atas permukaan sungai.
Platform yang berbentuk tanjak ini adalah peninggalan acara Seleksi Tilawatil Quran (STQ) Nasional XXV ke-25.
Mimbar tilawah ini dibuat berbentuk penutup kepala khas etnik Melayu Pontianak (Tanjak), dan berdiri di atas sungai terpanjang di Indonesia iaitu Sungai Kapuas.
Selain itu, untuk menambah kecantikan pemandangan di situ ada dibina replika mini maniatur Khatulisiwa. Pada waktu malam akan dipasang air pancut berwarna warni yang menambahkan keindahan malam di Sungai Kapuas
Di situ juga tempat penyeberangan dari Jeti Bardan ke Jeti Siantan. Jika nak melihat pemandangan lebih luas boleh naik ke jambatan Kuning Alun Kapuas.
Masuk sini kalau naik motor dikenakan bayaran untuk parkir 2k = 60 sen.
TUGU KHATULISTIWA
Beralih pula ke lokasi seterusnya. Taman Tugu Khatulistiwa yang menempatkan alat pengukur garisan titik garis Khatulistiwa. Alat pengukur yang asli ada dalam bangunan tu. Jadi kena masuk dan di situ ada pamirkan gambar dan sejarah pembinaannya.
Pada awal dibina pada tahun 1928, ia hanya berbentuk tonggak dengan anak panah. Tahun 1930 hingga 1938 ia disempurnakan dengan menambah lingkaran dan tonggak serta anak panah. Diameter lingkaran ditengahnya terdapat tulisan EVENAAR yang bermaksud EQUATOR dalam bahasa Belanda.
Kayu untuk meletakkan lingkaran diameter adalah dari kayu belian. Kayu yang keras serta lasak, banyak digunakan untuk pembinaan struktur.
Di bahagian luar ada ruang taman hingga ke tepi sungai Kapuas.
Globe ni ada tangga macam boleh masuk ja. Aku cuba naik dan buka pintunya. Berkunci pulak.
Ada gerai minuman dan wakaf untuk berehat. Tandas dan musolla juga ada disediakan, tapi itu dulu lah.
Sekarang dua tempat penting ni pun dah terbengkalai. Tandas berkunci dan musolla kosong. Menyedihkan.
ASAM PEDAS
Masa untuk makan tengahari. Memandangkan Pontianak ini memiliki suku bangsa Melayu yang ramai, maka sudah pastilah ada masakan orang Melayu yang terkenal iaitu Asam Pedas. Percaya tak, susahnya mencari kedai makan masakan Melayu di sini atau di mana-mana majoriti ethniknya suku Melayu kerana semua tempat sudah dikuasai dengan masakan Padang dan Jawa.
Ini saja kedai makan yang aku dapat cari. Mari kita rasa masakan orang Melayu Pontianak pulak. Nah ! Beginilah rupa masakannya. Rasanya memang sedap, sama seperti asam pedas di Pulau Lingga. Sedap. Tak guna daun kesum, daun kari atau bunga kantan pun. Masakan asli turun temurun orang Melayu lama.
Harga makanan aku ni, nasi 2 pinggan, air cincau, air milo ais dan asam pedas ikan kakap 80k = rm24.
MAKAM KESULTANAN PONTIANAK
Komplek pemakaman ini di khaskan untuk sultan dan ahli keluarganya sahaja. Dari sultan yang pertama iaitu Sultan Syarif Abdurrahman hingga Sultan Syarif Thaha Alkadri bin Syarif Usman disemadikan di sini. Semua upacara pemakaman para sultan Pontianak dilakukan penuh kebesaran oleh rakyat Pontianak dengan perarakan perahu Lancang Kuning melalui sungai Kapuas.
Makam Sultan Syarif Abdurrahman dibuat dari kayu belian bertingkat dua, diukir dengan motif tumbuhan bersulur yang selalu ditutupi dengan kelambu berwarna terang. Makam sultan ini sudah berusia 215 tahun. Aku cukup kagum dengan binaan-binaan kepuk dan nisan semua makam di sini. 100% diukir menggunakan kayu belian. Biasa aku jumpa nisan dari batu sahaja.
Apa yang menjengkelkan aku adalah aktiviti meminta wang secara berlapik. Maksudnya meminta wang atas tiket sumbangan atau sedekah IKHLAS. Setiap ruang makam ada diletakkan tabung sumbangan. Bila kita datang, nanti ada la orang datang konon-konon dialah yang menjaga tempat tu. Dialah akan tunjuk makam-makam yang terdapat di situ. Setiap kali tunjuk, dia akan minta kita berikan sumbangan ikhlas ke dalam tabung. Selagi kita tak masukkan duit, dia akan ulang lagi, "nanti masukkan sumbangan ikhlas ke dalam tabung tu". Sudahlah masukkan duit sumbangan dalam tabung, minta lagi untuk yang tukang tunjuk tu, kemudian minta lagi diberikan kepada anak-anak yang berkeliaran dalam kompleks tu yang semuanya berkerumun kat keliling aku. Kau rasa ? Bukan itu sahaja, duit yang aku baru letak dalam tabung tu terus diambil dan dikira kemudian dibahagi-bahagi sesama mereka. Eh! di mana adab serta penghormatan ketika di tempat begini ?
Minta maaflah, jika begini perilaku yang ditunjukkan, memang rosaklah pandangan orang terhadap pengurusan tempat ni. Aku datang ni bukan untuk diSURUH-SURUH bersedekah. Bersedekah itu terjadi tanpa disuruh dan itulah ikhlas yang sebenarnya. Walau bagaimanapun jika ada yang nak datang, dan memang datang nak bersedekah, boleh siap-siapkan duit kecil-kecil. Untuk aku, aku datang nak menghayati dan mamahami sejarah kesultanan di sini, tapi dah terkena kejutan budaya pulak.
ISTANA KADRIAH KESULTANAN PONTIANAK
Pintu gerbang Istana Kadriah masih dipelihara dengan baik.
Istana ini dibina pada tahun 1771M dan siap pada tahun 1778M. Setelah siap, Sultan Syarif dinobatkan sebagai sultan pertama Kesultanan Pontianak. Dibahagian hadapan istana ada 3 buah meriam buatan Perancis dan Portugis.
Istana ini nampak macam dua tingkat tapi sebenarnya bahagian hadapan itu macam balkoni untuk sultan beristirehat dan untuk melihat pemandangan sungai Kapuas dan sungai Landak.
Dibahagian dalam sama seperti istana Melayu yang lain yang menggunakan warna kuning. Di sini juga ditempatkan koleksi benda-benda bersejarah yang cukup lengkap seperti beragam perhiasan, barang-barang antik, foto-foto keluarga sultan dan arca.
Ini adalah senarai nama Sultan yang telah memerintah Kota Pontianak dari awal hingga kini. Tempoh pemerintahan kesultanan Pontianak tidak lama hanya 179 tahun, dan diperintah oleh 8 generasi Sultan dari dinasti Al Qadri sejak kelahirannya 1771M hingga ke Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia 1945 M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lebih dari sekadar warisan lambang budaya yang terikat dengan sumpah panca sila . Menurut penjaga istana, kini Sultan hanya menjadi pengacara jika ada majlis-majlis tertentu.
Ruang di balai singgahsana.
Ini adalah barisan pengawal pengiring sultan.
MASJID SULTAN SY. ABDURRAHMAN
Beralih pula ke Masjid Sultan Syarif Abdurrahman yang terletak tidak jauh dari komplek Istana Kadriah. Kedudukannya di pertemuan sungai Kapuas dan sungai Landak. Pada asalnya ialah masjid kayu bersaiz kecil dengan bumbung jerami. Setelah beredaran masa ia dinaik taraf hingga menjadi seperti hari ini. Dalam senibina khas Kalimantan Barat, masjid ini dibina di atas pelantar kayu. Itu adalah ciri umum penempatan sungai di Kalimantan Barat. Dikatakan masjid dan Istana Kadriah adalah bangunan yang pertama sekali dibina selepas penubuhan Pontianak.
Aku tak banyak rakam gambar, kerana waktu aku sampai azan zohor sedang berkumandang dan para jemaah lelaki sedang masuk ke dalam masjid. Jadi tidaklah molek untuk aku menggambar ketika itu. Cukup sekadar merakam dari jauh.
Aku perasan, di tebing sungai berhadapan dengan masjid, ada satu wakaf terapung. Pada zaman dahulu, ia menjadi tempat untuk berwuduk. Tidak pastilah jika sekarang pun masih ada jemaah yang berwuduk di situ.
SURAU HAJI NAIM (BAIT AN NUR)
Maksud dari namanya adalah Rumah Cahaya. Dibina dari kayu belian pada tahun 1216H/1802 oleh Nakhoda Ahmad yang merupakan salah seorang nakhoda yang membawa rombongan Sultan Syarif Abdurrahman sampai ke daerah Sungai Kapuas. Menjadi Surau tertua di Pontianak sekira-kira 221 umurnya, oleh kerana itu ia telah menjadi salah satu dari 14 Cagar Budaya yang telah ditetapkan pemerintah daerah.
Walaupun mempunyai sejarah yang panjang, ia tetap dipelihara dan masih digunakan sehingga ke hari ini.
RUMAH RADAKNG
Rumah Radakng adalah sebuah rumah adat khas suku Dayak Kalimantan Barat. Ia adalah rumah panjang suku Dayak Kayan yang sukar ditemui pada zaman sekarang. Maka pemerintah Pontianak pun membuat replika seperti bentuk rumah suku dayak tersebut. Beginilah bentuknya. Tiket masuk 2,000 rupiah.
Terdapat 6 tiang yang menempatkan 6 ekor patung burung Enggang Gading. Menurut kepercayaan suku Dayak, Enggang Gading mempunyai maksud sebagai kekuatan dan kegagahan.
Rumah adat ini juga mempunyai 3 tangga batang kayu yang dipanggil HEJOT. Kononnya ketika membina hejot tersebut , mestilah dilakukan setapak demi setapak. Jumlahnya pula mesti ganjil.
Tengok lah betapa besar saiz balak yang dijadikan hejot.
Memiliki banyak ruang di dalamnya, serta mempunyai halaman yang luas yang akan digunakan untuk melakukan ritual dan acara adat. Keseluruhan rumah adat yang asli diperbuat dari kayu untuk melambangkan bahawa pulau Kalimantan memiliki berbagai jenis kayu yang sangat berguna untuk segala hal.
Sewaktu aku datang, di bawah rumah Radakng ni ada aktiviti kelas Tae Kwan Do.
Yang ini aku tak tahu apa bendanya.👇
RUMAH ADAT MELAYU KALIMANTAN BARAT
Bersebelahan dengan rumah Radakng, terletak sebuah bangunan rumah Adat Melayu Kalimantan Barat.
Seni rekabentuknya seperti rumah panggung Melayu yang berkolong serta mempunyai tiang-tiang tinggi. Kedudukan bangunan ini terletak lurus menghadap jalan raya yang dipanggil Rumah Perabung Melintang.
Di halaman rumah adat ni dibina beberapa patung orang sedang menari dan bersilat.
Fungsi rumah adat ini adalah untuk kegiatan kemasyarakatan dan kegiatan sosial seperti tempat majlis kenduri kahwin dan yang pelbagai majlis yang berkaitan dengan budaya Melayu. Tempat ni juga menjadi lokasi untuk mesyuarat Majlis Adat Budaya Melayu.
Masa aku datang nampak macam sepi, pintu pun berkunci. Keadaannya pun macam tidak dijaga dengan sepatutnya. Akan tetapi di bangunan sebelah ada sebuah restoran/cafe.Tempat tu ja yang aku nampak hidup, sebab ada orang keluar masuk di situ.
MERIAM KARBAIT SUNGAI KAPUAS
Contoh gambar-gambar meriam kabait yang aku guna pakai diambil dari google.👆👇
Setiap kali tiba hari raya aku akan melihat aktivit tradisi bermain meriam di tebing sungai Kapuas melalui media sosial. Jadi alang-alang aku sudah ada di sini, sudah tentu keinginan untuk mencari lokasinya meluap-luap. Gigih aku mencarinya hingga masuk ke celah lorong rumah penduduk yang macam setinggan. Akhirnya bertemu juga tempatnya.
Hanya ada pelantar kayu yang disambung pada pelantar simen yang menjadi laluan penduduk kampung ni.
Rupanya, mereka setiap tahun ada buat festival meriam kabait. Tapi sejak terjadinya pandemik covid, wali kotanya menghentikan festival tersebut. Akan tetapi jika ada yang nak bermain, dibolehkan. Jadi seminggu sebelum hari raya Aidilfitri mereka dah mula memasang serta menghias meriam-meriam kabait tu.
Menurut cerita penduduk setempat, meriam-meriam ini dibuat daripada batang kayu balak, aku rasa mesti dari jenis kayu Belian. Setiap kali menjelang raya baru dikeluarkan dari dalam sungai. Setelah habis digunakan, meriam-meriam itu akan direndam dan disimpan semula di dalam sungai. Menarik sungguh.
OLE-OLE KHAS PONTIANAK
Setiap tempat mempunyai makanan atau kuih tradisi khas, begitu juga di Pontianak.
Di sini ada kuih Bingke Kemboje Berendam. Namanya hampir sama seperti di Semenanjung Malaysia, tetapi rasanya lain. Ia diperbuat dari susu pekat, air ,gula dan telur kemudian dimasukkan dalam acuan bentuk bahulu kemboja dan dibakar.
Kerana ingin tahu, aku pun beli lah 2 perasa. Bingke Kemboja Berendam rasanya sama macam puding karemel yang ada cairan gula. Sedaplah jika makan setelah disejukkan dalam peti ais. Nak bawak pulang ke Semenanjung memang tak boleh lah. Terpaksa aku makan sampai habis untuk mengelakkan rosak dan membazir.
TUGU DAYAK-MELAYU
Terletak dalam kawasan Muzium Negeri Kalimantan Barat. Ia membawa maksud mengabadikan persaudaraan dua bangsa penghuni pulau Borneo dalam menghadapi susah senang sejak ribuan tahun.
Kita lawannnn…! Eh🙄
TUGU PANCASILA
Lokasi ni dulunya bernama monumen tugu
Tragedi Mandor. Dibina semasa pemerintahan Sultan Hamid II atas pembantaian puluhan ribu cendiakawan dan tokoh masyarakat Kalimantan Barat semasa tindakan memperluas penjajahan oleh negara Jepun. Bahkan Sultan dan keluarga istana Kesultanan Pontianak juga menjadi korbannya. Sejak itulah mula runtuhnya institusi Kesultanan Melayu di Kalimantan. Sadis.
MASJID RAYA MUJAHIDIN
Masjid ini adalah masjid terbesar di Kalimantan Barat yang mampu menampung lebih 9 ribu jemaah.
Masjid dua tingkat ini dengan keluasan lebih kurang sekitar 4 hektar menjadi kebanggaan masyarakat Pontianak. Bukan hanya untuk beribadah sahaja, halaman masjid ini juga digunakan untuk aktiviti riadah anak-anak belajar Tae Kwan Do. Kelihatanya masyarakat di sini menitik beratkan seni bela diri Tae Kwan Do untuk anak-anak mereka.
TUGU UNIVERSITAS TANJUNGPURA (UNTAN)
Jika lalu di bulatan jalan Daya Nasional, Bansir Laut kita akan nampak satu tugu, mesti nak tau tugu apa tu. Tugu yang berbentuk logo sebuah universiti telah dibina untuk mengangkat nama sebuah universiti yang pada awalnya sebagai universiti swasta.
Nama universiti ini berasal dari nama kerajaan Tanjungpura yang terletak di Kalimantan Barat. Universiti ini dibina pada tahun 1959. Seiring dengan berubahan zaman dan peningkatan prestasi, universiti ini telah diangkat menjadi Universitas Negeri Pontianak. Sudah 64 tahun usianya.
TUGU DIGULIS (Tugu Bambu Runcing)
Monumen ini dibina sebagai peringatan atas perjuangan 11 orang tokoh Sarekat Islam (Kumpulan Pedagang-Pedagang Islam yang menentang politik Belanda memberi kemasukan pedagang asing untuk menguasai ekonomi rakyat) di Kalimantan Barat yang dibuang ke Boven Digoel, Irian Barat kerana khuatir pergerakan mereka akan memicu pemberontakan terhadap pemerintahan Hindia Belanda di Kalimantan. Tiga dari 11 tokoh meninggal saat pembuangan di Boven Digoel, 5 orang meninggal dalam Peristiwa Mandor selebihnya meninggal kerana sakit. Nama-nama kesebelas orang ini diabadikan pada nama jalan di Kota Pontianak.
TERMINAL ANTAR NEGARA
Masa untuk kembali ke negara ku yang tercinta.
Aku membeli tiket perjalanan pulang pada jam 11 malam. Jadi se awal jam 5 petang aku dah mula bergerak keluar dari hotel. Kalau lewat, nanti keadaan makin gelap. Di sini jam 5.43 petang sudah masuk waktu maghrib.
Motor sewa aku boleh letak sahaja di kawasan parkir, nanti pemiliknya akan datang ambil kunci sebelum aku naik bas.
Kaunter tiket untuk membuat daftar masuk.
Aku puji terminal bas di sini. Selama 6 jam aku di sini tidak lah aku bosan. Ada disediakan wifi percuma. Bahagianya aku.
Selain itu ada banyak tandas dan ada musollah juga ada disediakan.
Ruang dalam bilik solat hanya diletakkan benteng pembahagi antara ruang solat lelaki dan wanita.
Cuma tak ada kedai makan sahaja. Mujur aku ada bawa bekal roti. Boleh lah buat lapik perut sementara menunggu ketibaan bas.
Lukisan mural yang cantik menghiasi dinding di balai menunggu.
Kebanggaan rakyat Indonesia. Ukiran kayu Garuda Pancasila lambang Negara Indonesia penuh makna.
Tepat jam 11 malam waktu tempatan, bas VIP pun mula meninggalkan terminal. Bas ni agak mahal sedikit dengan harga rm105 untuk seorang. Ada disediakan selimut dan sebotol air mineral. Bas pun ada tandas di belakang. Jadi agak selesa lah untuk perjalanan di waktu malam.
Selamat beradu.
MASJID AL-MUHAJIRIN
Sampai di pintu sempadan Entikong pada jam 3 pagi. Sementara nak tunggu pagar sempadan dibuka pada jam 7 pagi, boleh lah turun minum di kedai-kedai kopi yang berada di tepi jalan. Pada yang nak menunaikan solat subuh juga boleh pergi ke Masjid Al Muhajirin.
Tandas ada dibahagian bawah, manakala tempat wuduk perempuan boleh naik ke bahagian atas. Ruang solatnya tak lah besar mana tapi cukup selesa dan ada penghawa dingin.
Ruang solat lelaki.
Masjid ni nampaknya hanya untuk persinggahan sahaja kerana di kawasan itu tak banyak penempatan penduduk. Walaupun begitu ianya dibina dengan gaya moden.
Ada beberapa bangunan bentuk moden telah dibina di kawasan ini bagi membangunkan industri perekonomian dan pelancongan negara Indonesia.
PINTU SEMPADAN ENTIKONG
Perbatasan adalah wajah negara, maka dengan sebab itu lah Presiden Joko Widodo menaik tarafkan beberapa Pos Lintas Batas Negara termasuklah Entikong. Bangunan pun berbentuk moden dengan ciri-ciri khas Kalimantan khususnya ethnik Dayak.
Memang cantik kat sini sebab lokasinya dikelilingi dengan bukit bukau. Waktu pagi, pemandangan di selaputi dengan kabus.
Kelihatan patung Presiden Soekarno berdiri megah di pintu perbatasan negara.
Pemandangan setiap hari di pintu sempadan. Sampah jangan cerita lah. Dah sama macam rumput-rumput di tanah. Bangunan cantik tapi persekitaran kotor tak jadi juga. Harap boleh berubah untuk kecemerlangan masa hadapan. Barulah boleh berbangga.
Troli-troli milik warga tempatan untuk digunakan mengambil upah membawa barang-barang pelancong ketika melintas di pos imigresen.
Tepat jam 7 pagi, tidak kurang sesaat pun, pintu pagar akan dibuka para petugas.
Garuda Pancasila di mana-mana.
Alhamdulillah, selamat masuk ke negara Malaysia.
Pemerhatian aku selama 3 hari di Pontianak.
Sampah ada di mana-mana. Sampah juga dibuang ke dalam sungai tanpa rasa bersalah.
Jalanraya hanya cantik dan bersih di tengah-tengah Kota Pontianak sahaja. Pinggir kota jalan banyak berlopak berlubang-lubang dan bertanah merah. Jalan utama sahaja elok dan cantik ( Entikong-Bulatan Ali Anyang ) jalan nak masuk ke kampung-kampung tetap bertanah merah.
Jalan raya kecik + kenderaan banyak + rakyat ramai = sesak.
Terlalu banyak bendera dan banner muka ADUN di setiap perwakilan (PEMILU) dibina di tepi jalan dan simpang-simpang. Aku rasa itu semua pembaziran yang melampau. Wang tu jika dialihkan untuk menaiktaraf jalanraya kan lebih bagus untuk rakyat. Tapi itu lah, dah jadi budaya mereka. Tengokkan sajalah. Kesian rakyat.
Motor dan kereta sama kena bayar parkir.
Masakan Melayu Pontianak tak banyak kedai. Semua sudah dimonopoli oleh masakan dari Padang dan Jawa. Sana sini situ , semuanya masakan nasi padang dan bakso.
Hari minggu rakyat kota akan keluar beramai-ramai untuk pergi ke taman-taman beriadah. Ada senam poco-poco, berbasikal dan berjogging. Itu yang bertaraf kaya. Rakyat miskin terus berniaga di pinggir-pinggir jalan.
Mohon maaf jika ada teman-teman dari Indonesia dengan ulasan aku yang sekilas pandang. Ini hanya sebuah pendapat dari pemerhatian aku yang cetek.
Salam Serumpun.
S E L E S A I.
No comments:
Post a Comment