Monday, November 1, 2021

Menjejak Kecantikan Nenek Si Mukut, Pulau Tioman

 Assalamualaikum !

Lama benar tidak menulis. Sekarang, mod menulis kembali membuak- buak. Kali ini, aku nak bercerita tentang perjalanan dan pengalaman aku keluar dari pintu rumah setelah lama terkurung akibat pandemik.

Tujuan asal hanya untuk mengambil barang-barang basikal yang aku tinggalkan di Johor. Semuanya disebabkan C-19 yang berleluasa telah menyebabkan projek kayuhan terhenti. Alang-alang dah keluar, aku ambil kesempatan lah untuk menyinggah. Sasaran utama aku adalah ke pulau-pulau.


Sudah lama aku teringin hendak ke Pulau Tioman. Kali ini baru diizinkan Allah untuk pergi. Sebelum itu, aku perlu membeli tiket feri melalui atas talian di laman sesawang Bluewater.my

Tiket feri untuk seorang berharga rm45 dan aku boleh pula buat kesilapan tarikh. Sepatutnya 25hb tapi aku terpilih 24hb. Dah lah cemas teruk.

Bluewater Tanjung Gemok : 09 413 1362
Bluewater Mersing : 07 7994811

Tanpa berlengah, aku terus buat panggilan ke kaunter tiket tapi waktu kerja sudah pun tamat pada jam 5 petang. Apalagi, gelabah memang taleh buat bincang dah. Entah kenapa, aku boleh terfikir nak beli tiket baharu, kononnya lepaskan  saja rm90 tu (tiket pergi utk 2 orang)  kira sedekah je la untuk sedapkan hati. Sebenarnya aku ni dah tak suka ada tanggung masalah lama-lama. Malas fikir buat serabut otak. Umur-umur macam ni sepatutnya dah bebas stres. Ehek.

Nak dijadikan cerita masa aku tekan minta nombor tac, dia jadi sangkut (pending). Lama sangat nak terima sms tac. Akhirnya permintaan aku tak berjaya. Jadi aku pun berfikir, kenapa ya, tadi baru beli barang kat shopee oke ja pantas. Yang ini pulak tersekat. Macam Allah tak izin ja ni. Allah suruh aku bersabar kot. Jadi aku pun cuba bertenang dan fikir solusi plan B pula.

Keesokan harinya jam 8.15 pagi, aku cuba sekali lagi buat panggilan ke kaunter tiket untuk meminta ditukar tarikh. Dengan mudah kakak kaunter tu kata 'ok boleh'. Dang ! Haaa kan..Allah dah susun cerita aku begini, tapi aku pandai-pandai saja nak buat begitu. Phewws. Intinya adalah buat-buat lah untuk lebih bertenang dan bersabar 😅 ya. Astaghafirullah, terima kasih Allah.

Untuk perjalanan kali ini, aku ditemani anak perempuan yang menunggang motorsikalnya sendiri. Kami bergerak dari rumah melalui jalan Sg Manggis - Nilai - Kuala Klawang - Muazam Shah - Tanjung Gemok sejauh 325km.



Tiba di Tanjung Gemok  sudah jam 4 petang, jadi aku terus daftar masuk ke Hotel Meiwah (09-413 1241) yang telah ditempah awal.

Harga untuk bilik 2 katil bujang hanya rm50, kelengkapan semuanya selesa, siap ada bekas nyamuk disediakan. Apa yang aku suka dengan pemilik hotel ini adalah, dia tidak berkira dan sangat peramah.



Aku minta tumpang parkir di kawasan hotel ni pun dia bagi. Pada mulanya dia kata percuma, tapi aku kata untuk 3 hari. Dia serba salah nak letak harga. Setelah didesak, baru dia sebut harga dengan muka teragak-agak.
"Sepuloh ringgit boleh tak" ?, Mrs. Lim.
"Untuk 3 hari ?" aku inginkan pengesahan.
"Aah, untuk satu motor." Balasnya lagi 
"Boleh, boleh." ( boleh sangat bisik hati aku 😬)

Terus aku bayar. Selesai.
Tonton video : Part 1

Hari pertama
Hari ini, bermulalah perjalanan aku ke Pulau Tioman. Masih ingat pesan kakak di kaunter tiket feri tempohari supaya datang jam 6 pagi. Jadi, selepas solat subuh 5.50 pagi, aku terus daftar keluar bilik. Pulangkan kunci bilik, letak di dalam bekas yang disediakan di lobi.
Kemudian aku keluar tengok keadaan motor dahulu, setelah itu baru menuju ke jeti Tanjung Gemok yang berjarak 800 meter  dari hotel.
Kemudahan parkir kereta ada yang di luar pagar jeti sehari rm10. Di bahagian dalam kawasan berpagar aku tak pasti berapa harganya.
Di Mersing pula, satu hari rm12.

Sesampai saja di sana, aku lihat sudah ramai yang menunggu untuk melakukan ujian 'swap' C-19. Ingatkan hari Isnin, bukan waktu cuti sekolah tak ramai orang, tapi mak oii.



Semua pelancong yang hendak masuk ke Pulau Tioman dimestikan melakukan ujian 'swab'.



Harga alat uji sekotak rm13 dan kita kena beli di situ, tetapi jika memang sudah ada sendiri, kita kena buat ujian di depan pegawai bertugas. Mujur lah ujian mengggunakan air liur. Kalau kena jolok melalui hidung, adoi.

Satu yang menjadi kemusykilan adalah harga yang tertulis di situ rm13. Tapi petugas yang menjaga boleh pula kata rm14. Eh eh..kenapa lain ya ?. Curiga pulak aku. Aku bertanya  dan dia menjawab;
" Tak pe , nanti sampai di kaunter cakap ja kat kakak baju kotak minta harga rm13."



Aku ok kan saja. Sampai di kaunter pendaftaran, kakak baju kotak tu buat kiraan darab dengan 8 orang, jumlah keseluruhan aku kena bayar dengan harga rm13 sekotak. Hah nasib baik.

Lagi mengerutkan dahi bila orang Kampung Mukut bagitahu, di terminal feri Mersing tak ada buat ujian saringan macam ni. Di sana hanya guna My Sejahtera saja dah boleh masuk. Katanya lagi, di sana ramai polis yang jaga. Hrmm 🤔 oke aku tak faham.

Pada aku buat ujian swab tak menjadi hal, cuma bila meletakkan harga berubah-ubah itulah yang menjadi kemusykilan abadi.

Usai buat ujian saringan, aku terus ke kaunter tiket untuk daftar masuk serta mengambil tiket. Pengurusan tiket penuh sistematik. Perlukan k/p setiap orang. Di tiket tertulis nombor kerusi macam biasa.


Sebelum masuk ke balai berlepas kena beli tiket ke taman laut dahulu, berharga rm 5. Kemudian, kena imbas kod Jabatan Taman Laut, isi nama-nama orang yang nak masuk dan nama hotel yang ditempah. Wahh bagus lah terperinci sekali.





Beria-ria lah aku uruskan semuanya sebab rasa tersusun saja dan akhirnya saat masuk ke dalam feri, 

" Bang nombor 105 belah mana? 
Alih-alih pekerjanya kata " boleh duduk mana-mana tempat yang kosong". 
Aku macam hah ??? Alahai, gagal teruk sistem kat sini. Sudahnya para penumpang duduk dengan entah siapa-siapa orang yang tak kenal status vaksinasi nya. Walaupun sudah menjalani ujian saringan, tapi tetap perlu berhati-hati menjaga SOP. Penumpang yang masuk semua terkulat-kulat mencari tempat duduk yang berlubang-lubang di sana sini.


Aku fikirkan servisnya sama macam feri di Langkawi. Aku bukan nak kecoh, tapi sudah tahun 2021 kot, sepatutnya pengurusannya sudah semestinya lebih bersistematik dan canggih. Lagipun Pulau Tioman pun sudah terkenal di kalangam pelancong asing.
 


Perjalanan bermula dari pukul 8:02 pagi. Sepanjang perjalanan, jika kita hendak melihat pemandangan, boleh saja keluar melalui pintu belakang dan duduk di ruang dek tempat para perokok.



Tiba di jeti Kampung Genting jam sudah menunjukkan pukul 10.03 pagi. Pada mereka yang hendak pergi ke Kampung Mukut, perlu turun di sini.



Setelah penumpang turun, feri pun meneruskan perjalanan ke jeti perhentian yang lain.

Kita tak perlu menunggu lama kerana operator bot dari Kampung Mukut sudah sedia menunggu. Kita cuma kena beritahu nama pengendali bot dan kemudian tekong akan melambai-lambai tangan memanggil pengendali bot yang berlabuh jauh dari jeti. Kami bergerak jam 10:09 pagi dan tiba di jeti Kampung Mukut jam 10.24 pagi.

Bot boleh memuatkan seramai 12 orang penumpang. Untuk trip ini aku dah menempah lebih awal dengan Mukut Coral Chalet dan memilih pakej C.
 


Jadi harga bot pergi /pulang sudah termasuk dalam bayaran tersebut. Segala urusan dan pertanyaan aku akan merujuk terus pada Puan Aiza ( 013-630 3304).


Sepanjang perjalanan mata aku tak lepas melihat pemandangan yang mempersonakan. 



Air laut yang membiru, langit cerah dihiasi awan berkepul kepul. Setompok sana, setompok sini. Jeti jambatan kayu yang panjang, ada yang telah reput dan menciptakan pemandangan yang dramatik bagi peminat landskap. Lebih-lebih lagi bentuk gunung-gunung batu yang tersergam indah. Macam Jurassic Park pula. Ala cantiknya, masha Allah. 


Dari jauh aku dah terpandang, hah itu dia..itu dia. Puncak bertanduk Gunung Nenek Semukut mengingatkan aku pada Gunung Daik di Lingga. Lebih kurang sama sahaja tanduknya.


Aku tak puas merakamkan gambar, sekejap rakam video, rasanya tak nak lepaskan sedikit pun pemandangan itu. Memukau dan terpukau. Subhanallah Allahuakbar.

KAMPUNG MUKUT ( 👈klik di sini)


Setibanya di jeti Kampung Mukut, sudah ada  yang menyambut dan membawa aku sekeluarga ke tempat penginapan. 


Memang tak ada pelancong lain, hanya kumpulan aku sahaja. Baru la seronok menikmati suasana harmoni di kampung yang terpencil. 


Penduduk di sini tidak ramai. Antara mereka saling berkait saudara mara dan sepupu juga. 


Aktiviti hari pertama aku cuma berehat dan meronda-ronda dari hujung timur ke hujung barat kampung. Sambil melihat aktiviti waktu petang belia-belia dan anak-anak di sini.


Jika berpeluang dapatlah bersembang dengan penduduk tempatan sambil bertanya-tanya tentang masakan orang di sini. 


Cerita punya cerita dah dapat satu masakan khas orang pulau ini iaitu ketupat santan. Camana lah rupanya tu. Katanya bentuk sarung memang menggunakan sarung ketupat tapi diisi dengan pulut kemudian direbus dengan santan. Bila hari raya saja ada. Kalau hari biasa seandainya nak merasa boleh buat permintaan awal dengan pengusaha chalet.

Selain itu ada mee kari pulau. Menurut Ayu( perantau asal Melaka yang berkahwin dengan orang Kampung Mukut), kuah kari menggunakan isi ikan dan mee pula guna mee lidi ( spegetti). Fikir punya fikir mcm seakan-akan laksa Johor saja. Tapi entah lah, mungkin berbeza rasa agaknya.

Bercerita pula tentang chalet dan persekitaran tempat aku menginap. Mukut Coral Chalet, dimiliki dan diusahakan oleh pasangan suami isteri iaitu Encik Azhar Johari, mesra di panggil Abg Ha dan Puan Sarimah Ibrahim dengan nama panggilan Kak Cha. Mereka juga dibantu anak-anak. 


Setiap chalet mempunyai 2 katil bersaiz queen, ada pendingin udara, sejadah dan arah kiblat disediakan. Cerek elektrik dan kopi  juga tersedia. Bilik air pun bersih dan selesa.



T
engku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga pernah menginap di sini ketika datang bertamu. Kalau nak ambil semangat dan aura tengku, boleh la pilih chalet no 6 🤭. 



Di belakang chalet ada sebuah kebun sayur dan pokok-pokok durian. Bukan itu saja, ada juga sungai yang mengalir jernih. Waweee... Itu yang aku mahu !



Inilah tarikan yang membuatkan aku berkobar-kobar datang ke sini. Dalam sebuah pulau ada air terjun dan ada sungai yang mengalir belakang chalet. Di hiasi pemandangan Gunung Nenek Semukut yang mempersonakan. Yang paling utama Kampung Mukut tak sesak dengan pelancong.

Kali ini aku lepaskan hasrat untuk mendaki Nenek Semukut kerana aku dah tak larat. 

Seandainya aku mendaki juga sudah pasti aku seorang saja yang pergi, yang lain bukannya kaki gunung. Mencungap lah aku sorang-sorang dalam hutan tu. Kemudian, bila turun, terus pewai. Bila dah pewai, aktiviti yang lain aku dah malas nak buat. Ah, le-mah.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah naik  ke puncak dengan kecepatan 1 jam 10 minit. Padahal rata-rata pendaki sekitar 1 jam 30 minit ke 2 jam. Kalau aku ? 4 jam baru sampai rasanya. Itu belum kira waktu turun. Tak pe lah, macik dah tua. Ha ha ha.

Biarlah aku menikmati kecantikannya dari jauh saja. Benda kalau tengok  dari dekat mana cantik kan kan, bila jauh baru terserlah cantiknya. Ada yang setuju ? Ehek 🤪.

Di sebelah malam, bermula lah pakej makan-makan 5 kali yang kami tempah selama 3 hari 2 malam.

Nasi, sup sayur, ikan jemuduk masak 3 rasa, sotong goreng tepung, sambal tempoyak dan air teh ais.


Nah! besarnya ikan, seekor untuk 4 orang. Memang  sedap, lagi-lagi sotong goreng tepung. Soal makan tak payah risau, dijamin puas hati.

Hari ke dua
Hari ini bercadang nak ke air terjun Asah. Sebelum tu bersarapan dahulu di Sea Side Cafe.
Menu pagi ini lontong, kuah lodeh, sambal ikan bilis, kuih donat, kuih pau sambal, air nescafe dan teh panas. Sedap jugak kuah lodeh campur sambal. Bertambah-tambah. Abis la diet aku kali ni.


Untuk pergi ke air terjun ada 3 cara.
1. Jalan kaki selama 45 minit.
2. Sewa motor berserta pemandu dengan cas rm20 pergi/balik. ( 6 minit)
3. Sewa bot

Aku tak kuasa nak naik turun bukit, jadi aku sewa saja motor. Sekurang-kurangnya dapat membantu ekonomi penduduk setempat. Tengok keadaan jalannya pun motor boleh mengaum menjerit-jerit. Hanya penduduk tempatan sahaja boleh bawa kita ke sana sebab faktor keselamatan. Jika kita berkeras juga nak menunggang motor, risiko atas tanggungjawab diri sendiri. Sewa motor sehari rm30.

Harga minyak di pulau pun agak tinggi dari di tanah besar. Satu botol rm3.60. Jadi rm20 tu harga patut la, 4 kali ulang alik dengan upah.

Jam 9 pagi, kami mula bergerak.
Setelah sampai di pintu masuk air terjun, kita kena berjalan naik ke atas beberapa ratus meter, kalau ikut kelambatan aku berjalan adalah 11 minit. Alahai, dah tua, macik tak larat nak oi.


Keadaan air tidak begitu banyak kerana dah beberapa hari tidak hujan. Mujur lah tak kering langsung. Takungan air berbentuk kolam memang dalam, jadi disyorkan untuk memakai jaket keselamatan.

Jaket keselamatan boleh disewa berserta alat snorkel dengan harga rm15. ( tiada had masa)

Aku mengambil peluang untuk naik lagi ke tingkat atas bersendirian untuk melihat suasana di atas. Bimbang juga nak memijak daun- daun kering takut ada haiwan berbisa.
Bila sampai aku rakamkan video sekeliling air yang mengalir.


Telinga ni macam dengar suara orang bercakap-cakap padahal bunyi air sungai yang mengalir bercampur baur dengar bunyi unggas. Tetiba seram pula, jadi aku cepat-cepat turun sambil baca segala doa yang aku hafal. Hutan tebal, bukan tempat kita, jadi semestinya makhluk allah yang lain ada di persekitaran. Kita tak nampak dia, tapi dia nampak kita.

Kira-kira satu jam setengah berendam, cuaca pun mendadak berubah menjadi semakin gelap. Semua diarahkan naik, dan kemudian bergerak pulang. Seeloknya biar lah berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

Sementara menunggu pengendala motor  menjemput pulang, kami berjalan ke jeti Kampung Asah.


Pemandangan tanduk Nenek Semukut dari sini memang menakjubkan.

Sampai di hotel, sambung berenang di laut pula. Mandi sampai waktu makan tengahari sekitar jam 12 tengahari.




Menu makan tengahari; nasi putih, ikan jemuduk masak asam pedas, sayur kobis goreng, telur dadar, ayam goreng kunyit, sambal tempoyak, ulam raja dan air sarsi.


Bersantai-santai sebentar di tepi pelantar sambil memberi makan pada anak-anak ikan yu. Menurut cerita Abang Ha, hanya di Kampung Mukut sahaja ikan-ikan yu ini datang berenang dekat.

Selepas makan, semua kembali ke chalet untuk solat zohor dan kemudian berehat/tidur. Jam 4:16 petang, bangun bersolat asar kemudian mandi di sungai belakang chalet. Ruang persendirian !

Disebelah malam pula, jam 8 waktu makan malam. Untuk malam terakhir ini, menunya nasi goreng, set bbq ( kepak ayam, udang sotong, cencaru bakar dan air asam) buah tembikai dan air teh ais.


Tonton video : Part 2

Hari ke tiga
Hari terakhir. Waktu subuh di sini 5.45 pagi, jam 6.15 dah terang benderang.
Jam 8 pagi keluar bersarapan dulu. Menu pagi terakhir; nasi lemak telur mata, cekodok ikan ( baki lauk ikan bbq malam semalam, minta Kak Cha buatkan cekodok ), air teh tarik dan kopi O.


Masih ada waktu lagi sebelum bertolak pulang jam 12 nanti, aku ambil peluang untuk berenang di jeti. Jaket keselamatan memang sentiasa dipakai sebab arus terlampau kuat. Satu tali diikat dipinggang supaya tak dibawa arus.

Aku ni susah nak mandi laut/sungai, nak-nak bila melihat warna air laut. Kalau tak biru, hijau dan jernih, memang aku pandang saja lah. Citarasa kemain tinggi 😎.


Tapi bila tengok air kat jeti ni, seolah-olah memanggil suruh aku masuk berendam juga. Air lautnya pula kemasinannya tidak keterlaluan seperti air laut di Pulau Perhentian yang tahap masinnya hingga rasa pahit mencekik. Percikan air laut dan udaranya pun tidak melekit. Terbaik lah. Bila dah masuk, payah pula nak keluar. Ghisau.


Cukup satu jam berenang, menyelam dan melihat ikan serta batu karang, kami pun naik ke jeti semula. Nanti sambung bilas badan di sungai pula. 


Jam 12 tengahari semua dah siap berkemas dan mula keluar menuju ke jeti.


Singgah sebentar di cafe untuk bertemu dengan Kak Cha.


Terima kasih Puan Aiza yang sentiasa bertanyakan lokasi keberadaan. Layanan mesra dari Pak Ha dan Kak Cha memang terbaik. Masakan pun sedap belaka. Tak perlu risau kalau lapar. Cukup masa , akan dipanggil untuk datang makan.

Sekiranya kita ada permintaan yang tidak keterlaluan, boleh saja mereka sediakan. Jangan pula meminta melampau-melampau melebihi harga pakej ya 🙂. 

Pesanan akhir : Sampah tolong buang ditempat yang disediakan. Walaupun sekecil plastik choki-choki atau gula-gula hacks.




Cerita aku sampai di sini. Insya allah ada umur dan rezeki yang panjang, akan datang kembali.

Kisah misteri :
Aku tinggalkan topi aku di sini. Dia tak nak ikut balik.
Kali pertama terbang dan jatuh di jalan, dapat dikembalikan pada aku semula.
Kali kedua terbang dan jatuh dalam air laut tepi jeti. 
Saat-saat akhir nak naik bot dia melepaskan dirinya menggunakan bantuan angin lalu, untuk terus tinggal di Kampung Mukut. Oh, berkomplot ya🤔.

Aku relakan. Uhuks!


Cantik sungguh Nenek Si Mukut,
Walau jauh tetap dikunjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik sentiasa nak junjung.


-N O K T A H-



No comments:

Post a Comment