KEMBARA DI BUMI SABAH
Assalamualaikum.
Aku nak cerita tentang keinginan aku, untuk merialisasikan impian mengelilingi negara Malaysia.
Oleh kerana dah puas pusing Semenanjung, 2 kali dengan basikal, 2 kali dengan motor, kali ini aku nak melengkapkan pengembaraan aku ke negeri Sabah pula. Jika Allah berikan keizinan rezeki lebih dan kesihatan yang baik, aku nak lengkapkan ke negeri Sarawak pula. Baru la puas hati dapat kenal tanah air ku, MALAYSIA. Insya allah.
Peserta untuk projek ini hanya 3 orang termasuk aku.
Segala urusan pembelian tiket penerbangan, jalur laluan, lokasi menarik, tempat penginapan, urusan penyewaan motor, semua aku uruskan. Kakak aku uruskan bab keewangan.
Berat beg setiap satu aku hadkan kepada 5kg sahaja, kerana memikirkan tentang penerbangan pulang nanti, kami tidak diberikan kuota untuk bagasi. Sebab ketika aku beli tiket, aku pilih harga yang paling murah, penerbangan pergi dapat percuma 35kg, bila balik tak dapat ruang bagasi. Pasal tu kena beli 5kg.
Sepatutnya boleh ja bawa 1 beg, tapi aku banyak bawa pakaian, dengan baju , seluar telekong, kain batik, tuala mandi, baju mandi, baju tidur, stokin, tudung, payung dan bla bla bla. Sikap yang tak boleh hilang sejak zaman dahulu. Aku masih tak boleh praktikkan untuk pakai hanya sepasang baju untuk beraktiviti dan diguna berulang-ulang selama tempoh kembara. Sebab aku malas nak basuh baju hari-hari, lecceh. Hahaha. Itu je sebabnya.
Itu belum masuk mess-tin, dapur dan beras sikit, maklumlah 21 hari. Kenalah bersedia dalam bab makan.
Oh, aku bawa helmet oren kesayangan dan baju hujan. Padahal pihak Gogo Sabah memang ada menyediakan keperluan ni semua. Saja je nak rasa selesa.
Untuk tip pengurusan kewangan pula, setiap peserta akan mengeluarkan rm900 seorang dan duit itu akan dipegang serta diuruskan oleh seorang menteri kewangan. Kegunaan untuk bayar hotel, bahan masakan dan segala jenis tiket. Sebab perkara-perkara yang begini kiraannya adalah sama dan boleh kongsi bayar. Senang kira. Nanti di akhir kembara, jika ada baki akan dibahagi 3 dan dikembalikan semula. Cara ini hanya dipakai untuk 2 atau 3 orang sahaja bila berkembara.
Sementara minyak dan jajan pribadi kena keluar duit lain. Tangki minyak motor tak sama, jadi tak adil jika guna duit yang rm900 tu.
Ini adalah cara aku mengembara sejak dahulu. Kebaikannya adalah, kepala tak serabut. Anggap je la dah ada orang belanja bayarkan semua benda. Keh keh keh.
Hari 1 ( Selasa 16/8/22)
KOTA KINABALU
KKIA - The Jesselton Cabin: 8.7km
Dari lapangan terbang aku tempah grab dengan harga rm10, jarak 8km.
Untuk penginapan di Kota Kinabalu, aku dah tempah sebulan awal sebab cari yang murah dan selesa untuk kami bertiga (rm65.70), The Jesselton Cabin. Harga termasuk sarapan pagi. Lokasi yang dekat dengan tempat sewaan motor, Gogo Sabah. Senang, 450 meter jalan kaki je.
Aku berurusan kat tepi jalan je. Bagus pekerjanya ni. Elok boleh diajak bersembang.
Hari ke 2 ( Rabu 17/8/22)
0km Kota Kinabalu.
Memulakan perjalanan dari kilometer kosong.
I Love KK
KK ➤ Putatan ➤ Kinarut ➤ Papar ➤ Pekan Lama Kimanis
Berhenti isi minyak dan bersarapan.
➤Bongawan ➤ Membakut.
Berhenti di Pantai Pimping, bergambar sekejap kemudian teruskan perjalanan ke Kuala Penyu.
Pantai Mempakul
Pantai ni terletak 3 km dari Terminal Feri Menumbok dan ia cuma untuk tempat berehat atau memancing. Aku singgah sini sementara menunggu waktu roro belayar jam 1 petang.
Terminal Feri Menumbok
LABUAN
Sebenarnya Labuan tidak termasuk dalam perancangan awal yang saya buat. Tapi bila difikirkan semula, alang-alang dah dekat, rugi kalau tak masuk.
Saya pernah masuk ke Labuan menggunakan basikal, tetapi hanya berpusing sehingga ke kawasan bandar. Kali ini saya masuk dengan motosikal dan boleh mengelilingi seluruh pelusuk pulau Labuan
Tiba di Labuan jam 3 petang, terus mencari Hotel Oyo RK Cahaya. Harga untuk 1 malam rm64.64 untuk 3 orang. Aku rasa ini yang paling murah. Biliknya memang cantik dan selesa.
Usai mandi dan solat, aku keluar semula untuk menjelajah pulau Labuan di bahagian barat dahulu.
Masjid Jamek An-Nur.
Ini adalah masjid negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Seni binanya dari gabungan seni Melayu Brunei dan Turki.
Aku terus jalan sampai masuk Kampung Kiamsam di jalan Kiamsam bernombor 740.
Terkejut tengok keadaan kawasan perumahan di situ seperti perkampungan setinggan. Pembinaan setiap rumah rapat-rapat, persekitarannya terlalu kotor dengan sampah sarap. Anjing banyak berkeliaran. Silapnya aku tak rakam video atau pun gambar sebab rasa cuak dengan pandangan tajam penduduk di situ ketika aku lalu. Aku tinggalkan kawasan itu dengan tanda tanya. Adakah kawasan tu menjadi penempatan pendatang dari Filipina ?
Penghujung jalan no 740 adalah Terminal Minyak Mentah Labuan ( LCOT).
Hari makin senja, aku ambil keputusan untuk pulang ke hotel sahaja. Eh ada pasar malam, jom singgah.
Hari ke 3 ( Khamis 18/8/22)
Feri untuk keluar dari Labuan jam 11 pagi. Jadi lepas subuh aku keluar lagi untuk menghabiskan penjelajahan aku yang tak habis pada hari semalam.
Pantai UMS
Pantai ni terletak betul-betul di hadapan Universiti Malaysia Sabah. Beruntunglah mereka yang belajar di sini. Suasana aman sekali.
United Nation Beach
Pesisir pantai-pantai ni memang cantik, bersih terjaga dan pemandangan paling cantik adalah ketika matahari terbenam.
Surrender Point.
Tugu Peringatan Perang Dunia ke 2, inilah tempatnya ketika tentera Jepun menyerah kalah pada tentera Australia tahun 1945.
Labuan Geopark Layang-Layangan
Nak pergi ke kawasan geopark tu kena treking lalu kawasan semak samun. Jadi aku malas nak tinggalkan motor kat tepi jalan. Cara orang malas adalah dengan zoom kamera hp dekat-dekat lokasi tersebut. Nampaklah garis garis hakisan batu yang memanjang. Kalau nak tengok dengan lebih jelas bolek ketik di 👉 Geopark Tanjung Layang-layangan.
Muzium Chimney
Mempamirkan sejarah tinggalan lombong arang batu ketika dibawah pengurusan British North Borneo Charterd Company. Muzium ni juga telah menerima anugerah Epal Hijau Antarabangsa untuk Amalan Terbaik Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan 2013 untuk gaya senibina sejarahnya.
Masuk adalah percuma.
Di sekitar muzium ni jugak ada beberapa tempat tinggalan sejarah seperti Gedung Ubat dan Tip Of Kubong. Oleh kerana ia memerlukan aku untuk merentas hutan sedikit, maka aku tinggalkan saja hasrat ke Tanjung Kubong. Tak daya aku nak ke sana walaupun cuma sekitar 260 meter - 500 meter.
Batu Pasir Belait Tanjung Batu.
Satu lagi lokasi Labuan geopark. Yang ni dekat dengan jalan Tanjung Batu. Batu yang kat sini berbentuk macam sarang anai-anai atau macam otak manusia. Hebat betul kuasa Allah kan ?
Ok, dah habis pusing Pulau Labuan, masa untuk keluar semula ke Menumbok.
Terminal Feri Labuan
BEAUFORT
Tempat harus singgah. Saja singgah untuk merasa suasana ja.
SIPITANG
Boleh tahan cantik juga Sipitang ni.
Lagi 82 km nak sampai, jauh lagi ni. Jam sudah pukul 4 petang. Risau jugak kalau kemalaman atau hujan di tengah jalan. Risau, risau dalam hati.
Kalau nak tengok keadaan jalan Sipitang- Tenom boleh ketik 👉 Hutan Simpan Lumaku.
Bulatan gasing laluan untuk ke Merapok, sempadan negeri Sarawak.TENOM
Di Sabah ni, jam 6 petang dah nampak macam nak senja. Tu pasal aku kena sampai sebelum gelap. Dah lah laluan hutan, penempatan pun jauh- jauh jaraknya. Gereja banyak lah.
Aku sampai Homey Backpackers Tenom jam 7.35 malam. Sebaik masuk ja hotel hujan turun selebat lebatnya. Allahuakbar. Masuk bilik, mandi solat dan rehat. Malam nak keluar cari makan pun hujan masih turun. Lemau.
Di Tenom aku tidur 2 malam sebab aku nak naik keretapi ke Kampung Pangi.
Day 4 ( Jumaat 19/8/22)
Tenom- Pangi - Tenom
Jam 1 petang, aku datang semula ke stesen keretapi. Suasana sudah berubah dari sunyi ke riuh rendah. Ramai pulak orang.
Terus ke kaunter membeli tiket ke Kampung Pangi. Tiket sehala cuma 65 sen.
Kampung Pangi
Kampung ni adalah tempat sehenti bagi aktiviti WWR di Sungai Padas. Selain itu ada jambatan gantung yang panjang merentasi sungai. Aku bila tahu ada jambatan gantung memang cergas badan. Tak sabar nak lalu sambil lompat-lompat atas jambatan tu.
Day 5 ( Sabtu 20/8/22)
Pusat Kebudayaan Murut
Singgah di pintu gerbang sahaja sebab belum masa waktu melawat.
Tenom ➤ Malalar ➤ Keningau
Kelebihan keluar awal pagi adalah cuaca sejuk, kenderaan pun tak banyak lagi.
Ansip Ferry Memorial
Aku nak cari tempat ni tapi dah tutup. Tapak bersejarah mengenai penggunaan feri merentasi Sungai Pegalan ketika permulaan pembinaan jalan Keningau - Kalabakan. Tonton je la video tentang Ferry Ansip untuk lebih tahu.
Nabawan ➤ Matiku ➤ Sapulut ➤ Kalabakan
Sepanjang jalan selepas Sipitang ke Tenom membawa ke Nabawan langsung tak jumpa masjid atau surau di tepi jalan. Paling banyak gereja Katolik setiap 500 meter - 1 km. Bila masuk ke pekan Nabawan baru lah nampak surau dan ramai orang muslim. Boleh lah berhenti minum dan bersarapan.
Sebelum sampai ke pekan Kalabakan pemandangan hutan simpan saja sepanjang jalan. Seronok bawa motor dengan kelajuan 70 kmsj. Saja..nak menikmati.
KALABAKAN
Walaupun aku dah isi minyak penuh-penuh di Tenom. Minyak simpanan pun ada, tapi tetap tak cukup nak hadap laluan Kalabakan ni. Tenom ke Kalabakan lebih kurang 291km. Yang buat tak cukup adalah bila mendaki bukit dengan bebanan. Nak kata laju memang tak boleh la sebab sebahagian permukaan jalanraya di Sabah ni, separuh cantik, separuh hanya sesuai untuk lori dan pacuan 4 roda saja.
Minyak dah sampai paras merah. Anje dah risau, jadi aku cari tempat berhenti untuk bertanyakan tentang kedai menjual minyak petrol. Restoren rimba rasa Tibow Motel ada menyediakan tempat bermalam, kedai runcit, tandas dan kedai makan, tetapi tak jual minyak petrol. Kata pekedai tu, kalau nak beli minyak boleh pergi ke Kantin Tibow.
Eh, tempat yang kita nampak ada lori askar ke ? Ingatkan tempat kem askar. Rupanya kedai makan. Orang Sabah panggil kedai makan kantin. Kerana terdesak, terpaksa patah balik 5.5 km ke kantin tu.
Ada. Sebotol rm5.
Masing-masing pandang sesama sendiri. Ah ! lima hengget pun lima hengget lah ! janji tak tersadai.
Mengikut perancangan aku, untuk hari ke 5, aku nak bermalam di Motel Rimba Rasa Tibow.
Tapi tersampai awal sekitar jam 11 pagi. Awal sangat kalau nak daftar masuk hotel. Aku pun mula mengira tolak campur buat pertimbangan dengan kadar segera, akhirnya buat keputusan teruskan perjalanan hingga ke Tawau.
Simpang Maliau Basin
Kalau nak masuk hingga ke Maliau Basin Centre kena hadap jalan tak cantik sejauh 26km sehala. Barai badan makcik ni nak oi. Bukan tak boleh, boleh tapi mesti dah petang sangat, sedangkan perjalanan masih jauh.
Sepanjang jalan ke Kalabakan pemandangan menarik, laluan dalam hutan simpan Sapulut sangat menenangkan. Perhatikan juga kiri dan kanan jalan kalau ada kelibat gajah. Sampai kesudah tak mau dia tunjuk diri.
Negeri Sabah paling banyak bulatan di setiap simpang. Setiap bulatan akan ada replika sesuatu objek yang melambangkan budaya, haiwan atau tanaman di setiap tempat. Bulatan paling besar adalah bulatan di Kalabakan. Tapi bulatannya kosong, menjadi tempat lembu dan kambing beristirehat.
Masuk je pekan kecil Kalabakan, nah ! Pemandangan hutan sudah bertukar kepada kelapa sawit. Tengok saja la pokok sawit sampai ke Tawau.
Di Kalabakan ada satu tugu peringatan. Aku dah catit dalam jadual perjalanan, tapi boleh terlupa nak pergi cari. Mungkin aku dah mula cemas bila tengok jam sudah pukul 3 petang, baki jarak masih ada 90 km nak ke Tawau. Rasa rugi juga, tapi nak buat macamana. Redha.
Alhamdulillah, sampai di Tawau jam 5:03 petang.
No comments:
Post a Comment