Tuesday, December 20, 2022

Pusing Keliling Negeri Sabah ( BHG 2)

 KEMBARA DI BUMI SABAH

16hb-5hb Sep 2022

TAWAU - SEMPORNA- KUNAK - LAHAD DATU

Sambungan cerita bahagian 1

TAWAU

Day 6 ( Ahad 21/8/22)

Program hari ke 6 adalah untuk menjelajah ke pulau milik bersama antara Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik.

Pulau ini terletak di timur Sabah dan terbahagi kepada 2 bahagian. Di bahagan utara milik Malaysia dan di bahagian selatan milik Indonesia. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Pulau Sebatik boleh lah membaca artikelnya di sini 

Untuk ke pulau ini , aku perlu pergi ke jeti bersebelahan dengan pasar Ikan Tawau. Jeti tu untuk penduduk Pulau Sebatik berulang alik ke bandar Tawau. Keadaannya memang nampak uzur dan menyedihkan.


Di situ kena dapatkan kebenaran polis marin dahulu untuk masuk ke pulau. Jika dibenarkan baru lah boleh berurusan dengan pengendali bot untuk berbincang tentang harga sewa. Mereka minta Rm250 pergi balik termasuk keselamatan sepanjang berada di pulau. Terkedu jugaklah aku mendengarnya. Oleh kerana lokasi tu bukan mudah untuk dimasuki , aku pejamkan mata sahaja. Bayar je lah.

Sampai di tengah perjalanan ada lagi pemeriksaan dari polis Marin yang menjaga perairan pula. Mereka cuma tanya untuk tujuan apa masuk ke pulau dan diminta untuk tunjukkan passport. 

Setelah itu bot meneruskan perjalanan dan masuk ke laluan sungai menuju ke Kampung Aji Kuning. Sampai sahaja di jeti, kami di bawa ke pos kawalan untuk mendaftar di pondok kawalan tentera Indonesia.

Setiap 'patok' perbatasan kita kena mendaftar nama, warganegara, kad pengenalan dan waktu masuk ke dalam buku log. Walaupun pos kawalan patok pertama berada hanya 15 langkah dari patuk kedua. Wajib mendaftar juga. Pemandu bot merangkap jurupandu pula perlu meletakkan kad pengenalan nya sebagai cagaran keselamatan.

Aku ni kalau ada badan beruniform ni memang automatik akan rasa seram dan rasa takut. Takut salah perlakuan ke kat negara orang. Mana tidak, anggota tentera dengan senjata ada di mana-mana. Nak ambil gambar pun aku mesti tanya dulu, boleh ke tidak. Kalau tak tanya, kang tak pasal-pasal talipon kena rampas.


Tempat tuju aku yang pertama adalah rumah dua negara. Pemiliknya bernama Mapangara. Mula menduduki rumah ini pada tahun 2000. Pemilik asal tapak tanah di bahagian Indonesia adalah bapa angkatnya dan tanah di bahagian Malaysia adalah kepunyaan sahabatnya yang berketurunan Bugis.


Masuklah aku ke dapur, kemudian ke ruang tamu. Sajalah nak rasa suasana ja. 



Dah puas ambil gambar, aku pun tanya lah penunjuk arah tu boleh tak bawak kami ke tugu perbatasan Garuda Perkasa ? Kata boleh cuma kena sewa motor.




Ini adalah batu sumpah setia rakyat Indonesia untuk menjaga tanah milik Indonesia.



Beginilah keadaan penempatan warga Indonesia di perbatasan sempadan.

Sewa motor rm20 pergi dan balik. Masuk Indonesia memang koyak la, semua berbayar siap mintak belikan rokok lagi. Tak pe, tak pe. Kita bagi. Kita sedang di dalam negara mereka.




Dibawa lah kami ke kedai makan wajib cuba. 



Mee Asap. Setiap pelancong yang datang ke sini memang akan diperkenalkan dengan hidangan ini. Aku pun membayangkan mee asap yang mungkin dimasak dengan kayu api agaknya. Sekali datang, memang nampak berasap-asap. Rupanya mee yang guna pinggan besi "hot plate". Hallah hallahh, mee ayam letak dalam pinggan besi di panggil Mee Asap. Harganya rm6 boleh bayar dengan ringgit Malaysia.


Aku masuk jam 8 pagi, jam 10 dah keluar. 2 jam saja pusing-pusing dalam pulau Sebatik. Tak ada apa pun kat situ selain dari rumah dwi negara. 




Di bahagian Malaysia hanya ada ladang kelapa sawit. Di belah Indonesia saja yang banyak penduduk, perkampungan dan pekan. Ada satu lagi jalan masuk ikut Sungai Nyamuk, tapi tak banyak pendedahan mengenai cara masuk ikut situ. Tak mengapa lah, asal aku dah jejak di pulau ni pun sudah memadai.

Ingatkan tak boleh bergambar dengan tentera, tapi dorang yang tawarkan diri untuk bergambar. Oh boleh eh 🙄.

Day 7 ( Isnin 22/8/22) 

Seawal jam 7 pagi, aku dah mulakan perjalanan mencari Menara Loceng. Kakak aku dan Anje hanya ikut sahaja.



Menara Loceng ini dibina oleh buruh penjara, dan satu-satunya binaan sejarah yang tidak musnah ketika perang dunia kedua. Ia dibina untuk memperingati penandatangani perjanjian gencatan senjata berikutan perang dunia pertama pada tahun 1918 ketika Jepun menjadi sekutu England. Selesai ambil gambar, aku meneruskan perjalanan untuk mencari batu bersusun pula.

Columnar Basalt Balung Cocos 

Ketika menunggang motor, laluan yang mencabar adalah berbukit dan bertanah merah.


Begitu lah keadaan laluan masuk ke lokasi ini. Memang kena fokus ketika mengendalikan motorsikal agar tidak mengelongsor tergolek jatuh. Dah lah aku bawa pembonceng. Masuk ke sini dikenakan bayaran sebanyak rm3, ada tandas dan tempat parkir kereta yang luas. Rezeki aku lagi, dapat berjumpa dengan penjaga tempat ini yang menceritakan mengenai kisah batu bersusun ni.


Bila dah sampai, memang terasa takjub dengan formasi batu-batu yang berbentuk segi enam dan segi lima tersusun cantik. Hebat betul ciptaan Allah kan.





Tanjung Parapat 


Sewa untuk satu malam di penginapan atas air bermula rm250-rm350.




Di sini ada perkampungan air. Banyak chalet-chalet yang dibina untuk para pelancong datang menginap. Kalau tak menginap pun kita boleh datang untuk makan makanan laut di dua buah restoran atas air.


Aku pilih makan di Restoren  Parapat Desa Waterpark sebab nampak pakej makanan untuk 2 orang berharga rm45. Nasi + ketam masak butter (3 ekor)+ kangkung goreng + air sirap. Boleh la kan, dah lapar sangat. Masakannya pun sedap.



Selain perkampungan air, boleh juga mendaki Bukit Parapat di Taman Bukit Bibang yang terletak cuma 280 meter ja dari perkampungan air.

Tiket masuk rm3, kat puncak ada binaan-binaan menarik untuk bergambar yang menghadap laut. Aku tak naik sebab dah kekeyangan makan ketam. Jadi aku teruskan perjalanan menuju ke Semporna dan daftar masuk ke Holiday Dive Inn selama 2 malam. Aku cuma bayar rm137 untuk 3 orang.


Petang-petang kami pergi servis motor dulu kemudian pusing-pusing di sekitar pekan Semporna melihat suasana kehidupan di sini. 

Saja masuk ke penempatan masyarakat suku Pala'u di Bangau-Bangau.

Mereka ini tiada taraf kewarganegaraan Malaysia, tapi kerajaan kita tak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu ramai beranak pinak di sini.

Tangkap, halau, nanti dia datang balik. Ada juga penduduk tempatan yang berkahwin dengan mereka dan menetap di perkampungan ni. Bila dah bercampur maka lebih rumitlah tindakan yang hendak diambil. Akhirnya dibiarkan saja.


Sampah sarap dan kekotoran jangan cakap la. Penuh sampah. Setiap pagi pihak kebersihan membersihkan kawasan sekitar, bila petang sampah banyak dan bersepah-sepah lagi.

Day 8 ( Selasa 23/8/22)

SEMPORNA

Di Semporna aku dah tempah pakej lompat ke 3 pulau (Bohey Dulang, Mantabuan, dan Sibuan)berharga rm120 seorang beserta makan tengahari.

Sebenarnya ada ja  harga yang lagi murah, cuma aku malas nak mencari-cari. Aku nak kakak aku dan Anje rasa pulak apa yang aku dah pernah rasa dulu.







Di sini tempat pendaftaran masuk. .


Pos pemeriksaan yang memastikan pendaki memakai kasut yang sesuai. Selipar dan sandle tidak dibenarkan meneruskan pendakian. Kasut mendaki boleh disewa.


Masa nak pertengahan pendakian Bohey Dulang, kakak aku dah mula nak mengalah untuk meneruskan perjalanan. Tapi aku paksa naikkkkkkkkk jugak, walau apa pun terjadi aku ada ja kat belakang dia. 



Jangan berani-berani nak tewas. Penat-penat aku bawak pusing separuh Sabah sampai sini nak mengalah pulak. 

Pelahan- lahan melangkah akhirnya kakak aku sampai juga ke puncak. Haa kan..mesti boleh punya lah.










Kami berada di Bohey Dulang, dari pada mula mendaki, bergambar dan kemudian turun semula ke bot selama 2 jam. Alahamdulillah cuaca cerah dan cantik.

Lokasi seterusnya ke Pulau Mantabuan  untuk berhenti makan tengahari dahulu. Di sini pergerakan terbatas kerasa ada had larangan dari pos tentera.



Di Pulau Sibuan baru bebas nak pusing satu pulau pun boleh. Ada cafe dan pemandangannya pun cantik. 




Malamnya pula aku cuba makan di tempat viral di Semporna bernama Terowong.


Day 9 ( Rabu 24/8/22) 

Sedar tak sedar sudah sembilan hari telah menjelajah separuh dari negeri Sabah. Sebelum bergerak, aku bercadang untuk menziarahi satu tempat bimbingan anak-anak gelandangan yang diusahakan seorang kawan yang aku kenal dari tahun Laili Basir. Rumah Ngaji.

Beginilah keadaan penempatan terkini penduduk yang tak sah taraf. Dahulu mereka tinggal di Kampung Bangau-Bangau, tapi bila berlaku kebakaran, mereka yang terlibat ditempatkan di sini.



Di sini lah anak-anak gelandangan, yatim piatu dan miskin tegar diberi pendidikan asas fardhu ain oleh ustaz dan ustazah sukarelawan tanpa gaji. Aku tak mampu buat macam dia buat, dia seorang yang kuat dan berjiwa besar. Tabik hormat.


Hari ke 9 menuju ke Kinabatangan. Dalam perjalanan ada satu pantai ni, tengok dari 'review' Pantai Sarena ni popular di kalangan penduduk tempatan. Nak lah tengok macam mana keadaan dan rupa parasnya. Aku pun singgah.




Sebelum sampai ke Lahad Datu, kita akan jumpa dulu Muzium Tapak Warisan Keranda Agop Batu Tulug. Apa ada di sini ? Di dalam gua batu kapur ini dahulunya tersimpan keranda kayu balak yang berukir dengan motif haiwan dan tumbuhan dari suku kaum orang Sungai. Nak tahu lebih lanjut boleh baca di sini. Aku tak masuk sebab waktu sampai pun muzium belum buka lagi. Awal sangat sampai. 


Menara Kayangan

Singgah bergambar di pintu masuk, sebab malas lah mendaki naik ke atas anjung tinjau untuk melihat pemandangan bandar Lahad Datu. Di sini juga pintu masuk pendakian ke Gunung Silam.


Kalau nak ke Lembah Danum boleh masuk ikut simpang di Menara Kayangan. Kos untuk masuk ke Lembah Danum memang mahal sebab perlu menaiki pacuan 4 roda sahaja. Bukan boleh sehari, kena dua ke tiga malam baru berbaloi dengan harga yang dibayar.


KUNAK  > LAHAD DATU

Pekan Kunak dan Lahad Datu aku tak masuk kerana takut lewat sampai ke tempat penginapan di Kinabatangan. Perjalanan untuk hari ini pun cecah 248km dengan awan gelap menanti di hadapan. Lagipun tak ada apa yang menarik di pekan Kunak dan Lahad Datu selain  ke Tabin Wildlife Resort. Nak masuk ke kawasan tu memang jauh.

KINABATANGAN

Jam 1 tengahari perut dah lapar, aku singgah makan payau di restoran ni. Sabah memang terkenal dengan masakan payau, dan aku memilih menu masak lemak cili api dan ikan bulu ayam goreng. Jadi aku kena lah rasa.

Dalam hujan lebat kami redah hingga sampai di tempat penginapan Sukau Tomanggong View B&B . Jarak perjalanan dari Semporna sejauh 255km.




Bilik luas dan wangi untuk 3 orang, satu malam berharga rm90.


Sukau ni terletak di Kinabatangan. Aku bercadang untuk menyelusuri sungai  untuk melihat flora dan fauna yang ada di sepanjang sungai yang kedua terpanjang di Malaysia. Nak lah sekali-sekala jadi macam 'mat saleh' teroka hutan dan sungai kat Malaysia ni. 

Kinabatangan ni popular dengan pelbagai species haiwan terutamanya gajah pigni, buaya air masin, burung enggang, lotong, monyet proboscis, badak dan banyak lagi. 


Di penginapan ini ada menyediakan pakej menyelusuri sungai waktu pagi, petang dan malam. Memandangkan aku cuma 1 malam sahaja, jadi aku pilih untuk ambil pakej waktu petang. Harga yang ditawarkan rm50 seorang. Aku rasa cukup murah kalau nak dibandingkan dengan pengalaman yang aku dapat. 


Aku berharap untuk berjumpa dengan kawanan gajah pigmi tapi tiada rezeki kerana menurut tukang bot, pada waktu ini gajah mencari makan di ladang kelapa sawit. 


Kecewa lah sikit, tapi bila ditunjukkan kelibat seekor buaya, mata aku menjadi cerah. Kemudian ditunjukkan kehadiran monyet hidung panjang (Proboscis) nun di atas pokok, aku dah teruja dapat tengok di persekitaran habitat liar bukan di dalam zoo.


Malam tu hujan. Kami tidur dengan nyenyak.

Day 10 : ( Khamis 25/8/22) 

Setiap hari kami akan mulakan perjalanan jam 7:00 pagi, keluar awal biar sampai tempat penginapan sebelum gelap. Keluar awal suasana sejuk dan berkabus. Lagipun musim hujan tak menentu. Kondisi jalan di Sabah ni pun tak boleh buat bincang.

Sampai di Rainforest Discovery centre Sepilok sekitar jam 9 pagi. Setelah diberi cadangan dari pegawai yang bertugas untuk pergi dulu ke rehab Orang Utan untuk melihat aktiviti memberi makan haiwan liar itu. Maka kami pun tergesa-gesa bergerak menuju ke sana dalam jarak 2 km saja.


Terus beli tiket masuk rm5 seorang. Murah je.

Para pelawat dinasihatkan untuk menyimpan bag di loker yang disediakan. Untuk masuk ke dalam tempat pemuliharaan, para pelawat perlu dalam keadaan sehelai sepinggang, kerana dibimbangi kalau bawa beg kemungkinan akan ditarik oleh Orang Utan nanti.


Tepat jam 10 pagi, para petugas mula memberi makan kepada orang utan liar.



Orang utan ni satu keluarga, ibu, bapa dan seekor anak kecil.


Di sini juga ada pusat asuhan anak-anak orang hutan yang kehilangan ibu dan yang sakit. Mereka akan diasuh dan dirawat sehingga mampu hidup berdikari dan akan dilepaskan semula ke dalam habitat asal.



Bersebelahan dengan rehab Orang Utan ada rehab beruang (sun bear).


Tak larat dah nak mendaki naik tangga.


Masing-masing dah malas nak berjalan masuk ke dalam lagi. Jadi kata sepakat diambil untuk kembali semula ke Rainforest Discovery Centre. Tiket masuk rm7 sahaja.




Apa yang ada kat sini ? aku cuma nak lalu di atas ' tree top canopy walk' saja. Di FRIM sudah, Kuala Tahan sudah, Sedim pun sudah. Maka amatlah rugi bila dah sampai di Sabah aku tak nak naik. 






Jam 2:00 petang, aku dah mencari hotel yang ditempah; Lady Anne Hotel. Harga yang aku dapat untuk 3 orang rm65. 



Luas, cantik dan selesa. Kawasan parkir pun luas dan selamat. Cadang nak cari dekat dengan Sepilok, tapi harganya mampu pandang saja. 

Setakat yang aku perhatikan di Sandakan, hanya di Sepilok saja tempat yang menarik untuk aku jelajah. Yang lain-lain tugu peringatan perang tentera Jepun dan rumah penulis Agnes Keith aku kurang berminat nak pergi sebab lokasinya agak mengelirukan, berpusing-pusing asik terlepas simpang saja. Akhirnya aku terus ke Sandakan Waterfront. Saja nak tengok suasana. Hujan.

Ada lagi satu tempat yang telah terbiar adalah Monumen Warisan Batu Sapi. Tempat itu langsung tidak diselia dengan baik kerana terlalu banyak sampah yang terkumpul di sekitarnya. Sayang seribu kali sayang.




Bersambung.


Tawau - Sandakan : 531km







No comments:

Post a Comment