Tuesday, December 13, 2022

Tawau | Semporna | Kunak

 

TAWAU + SEMPORNA + KUNAK

4HB -10HB DISEMBER 2022


Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lalu aku telah terbang ke Sabah untuk menjelajah ke lokasi yang aku belum jejak. Bersama anak perempuan aku, kami menjelajah ke Pantai Timur Sabah.

TAWAU


Selain dari bergambar di Taman Traulsen dan mercu tanda jawi Tawau, kita boleh ke Tugu Peringatan Tawau yang terletak hanya 1.2 km dari lokasi pertama.

 


Ada 2 tugu yang dibina pada tahun 1969 untuk memperingati 11 orang perajurit yang terkorban ketika peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia dahulu. Yang pertama ada di bandar Tawau, yang kedua telah dibina di Kalabakan yang mana di situlah berlakunya insiden berdarah tersebut.

Di setiap struktur batu yang terdapat di kiri dan kanan itu ada tercatat kisah sejarah dan nama-nama pejuang yang telah terkorban. 

Jika terasa lapar boleh lah berhenti makan di Restoren BTC Bistro yang lokasinya tidak jauh dari tanda jawi Tawau atau bersarapan T-Lot Kopitiam

Susu unta campur kurma, badam dan coklat

Roti bakar kaya + butter dan nasi goreng paprik.

Dua tempat ni memang aku syorkan kerana menepati citarasa tekak orang Semenanjung. Sebenarnya banyak ja tempat makan, cuma aku malas nak merayau-rayau mencari dan agak cerewet sedikit tentang makan. 


Cuma satu ja aku nak bagi tahu. Mee goreng di Sabah memang sedap. Mee dia tak sama macam di Semenanjung. Tak rasa kapur langsung. Kau pesan lah mee goreng daging di mana-mana saja, rasanya tetap sama sedap.

Seterusnya kita ke Bukit Tawau. Banyak tempat menarik di sini rupanya. Cuma kita kena merentasi denai-denai hutan lah untuk sampai ke lokasi-lokasi tertentu.



Lecak dan pacat hijau jangan cakaplah harus hadapi dengan tenang. 


Aku memilih untuk ke Air Terjun Gelas dahulu dengan jarak 2.4 km. Subhanallah, cantik namun ada kecacatan sedikit akibat dari bawaan kepala air yang menyebabkan kayu-kayu berkumpul di kawasan kolam. 



Untuk ke Kolam Air Panas Sulfur, aku perlu berpatah balik ke simpang kedua dan melintasi jambatan gantung yang licin dan dipenuhi lumut yang berjarak 3.2 km (dari pejabat taman). 


Sama juga keadaannya, disebabkan musim hujan, laluan dipenuhi air dan menjadi berselut. Ditambah dengan kehadiran berpuluh-puluh ekor pacat hijau yang kelaparan. Ibarat menyerahkan diri untuk menjadi santapan haiwan ganas. Matilanak, sedar-sedar meleleh-leleh darah di kaki dan di perut.


Untuk ke kolam air panas, aku perlu menyeberang 2 lagi anak sungai. Jadi bagi siapa yang nak datang ke sini memang perlu bawa pakaian gantian.

Lagi 500 meter menghampiri kolam air panas, aku dah mula tercium bau sulfur yang sangat tengik. Membuatkan kaki aku makin gagah melangkah. Ahh dah dekat, dah dekattt..!



Suasana di persekitaran sangat cantik. Redup, pokok-pokok hijau, rendang dan lantai hutan bersih ja. Macam ada orang yang jaga.

Nah lihatlah !





Kolam ini terletak bersebelahan dengan sungai. Maka terjadilah pertembungan antara air panas dan air sejuk yang membentuk 2 sifat warna dan rasa. Jernih dan gelap, sejuk dan suam. Orang tempatan kata air di kolam ini ubat penyakit kulit.

Ada satu kawasan terdapat hamparan lumut yang tumbuh di tepi sungai. Aww lawanya. 



Ikutkan hati nak je berlama-lama menikmati keindahan alam di Sabah ni, tapi awan dah berikan isyarat untuk segera keluar. 

Cadangan asal, aku nak jelajah 4 lokasi, tapi hanya dapat 2 lokasi sahaja akibat hujan lebat. 2 lokasi itu adalah pokok tertinggi Seraya Siput Kuning (99.2m) dan Air terjun Meja (Table Waterfall). 

Hujan, balik je lah.

Columnar Basalt Balung Cocos

Lokasi ini terletak di kampung Balung Cocos. Kenapa Cocos ?

Sebab di sinilah penempatan orang Melayu Cocos yang berasal dari Kepulauan Cocos (Keeling). Pulau yang termasuk dalam wilayah yang dimiliki oleh negara Australia. 

Orang Melayu Cocos berasal dari Banten, Batavia, Kepulauan Riau, British Malaya, Singapura dan Brunei. Mereka ini terdiri dari kalangan herem dan hamba abdi yang dibawa masuk oleh pengembara Inggeris bernama Alexander Hare. Selebihnya boleh baca di sini.

Pada tahun 1949 -1952 berlakunya penghijrahan bangsa Cocos ke Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Sandakan. Pada ketika itu dibawah naungan pemerintahan British. Cerita selanjutnya sila baca info ini.

Batu Bersusun 

Batuan basalt ini terbentuk selepas letupan volkanik Gunung Maria iaitu antara gunung tertinggi di Tawau yang terletak dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 kilometer di utara daerah ini. Batuan volkanik ini cuma terdapat di sini sahaja, tidak di tempat-tempat lain di Sabah mahupun di seluruh Malaysia.


Bongkah-bongkah batu  yang terdapat di Sungai Giram berbentuk segi enam dan segi lima seragam tersusun cantik dipercayai berusia 27,000 tahun . Air mengalir dari kawasan paling rendah membentuk air terjun dan pemandangan indah.

Bayaran masuk ke tempat ini cuma rm3 seorang. Kemudahan tandas dan parkir kereta yang luas juga ada disediakan.

KUNAK

Di Kunak ada 4 lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

Pantai Sarena

Hidden Santuary : Bayaran masuk RM3





Hutan Rekriasi Madai : Sedang dalam penyelenggaraan, jadi aku tak dapat masuk

Gua Madai : Rezeki aku ada di sini, sebab ketika aku datang sedang dalam musim menuai sarang burung walid.





Boleh tonton video 👇

Tempat makan yang sedap di Kunak aku boleh syorkan di Restoren Senduk Jebat. Banyak pilihan masakan Semenanjung. Sambal ikan bakarnya pun sedap. Lauk yang aku pilih sotong masak pedas memang sedap. Harga pun pada aku ok la rm20 siap masak.





SEMPORNA

Pulau Timbun Mata

Kali ini aku memilih untuk pergi ke Pulau Timbun Mata. Pulau yang dikawal selia oleh Pejabat Perhutanan Negeri Sabah. Pulau ini tidak dibuka bebas kepada orang awam. Kalau nak masuk kena ambil permit. Yang ini aku serahkan semuanya kepada penunjuk arah untuk menguruskan. Yang aku tahu aku dapat masuk.

Seawal 4 pagi aku dikehendaki untuk menunggu di jeti awam. Bot yang aku sewa akan datang untuk bawa aku ke pulau. Pagi tu bulan bulat penuh, cantik sangat. Di pulau tu tak ada jeti. Kena harung air dan pijak batu-batu untuk naik ke darat. Dalam gelap-gelap kena meranduk lalang melebihi ketinggian aku. Aku main pijak ja laluan tu, entah apa lah yang ada di bawah lalang tebal tu. 

Trek lama hampir hilang kerana jarang dimasuki orang. Aku ikut je belakang pemandu arah dengan kedudukan kecuraman 60 darjah. Silap langkah boleh berguling-guling masuk dalam laut. Sampai di check point kedua dah pukul 5 pagi. Cepat-cepat aku bentang ''ground sheet''. Nanti terlepas waktu subuh pulak. Alhamdulillah sempat. 



Pemandangan di sini memang memukau. Aku dapat menyaksikan kedua-dua makhluk Allah, iaitu bulan dan matahari serentak sedang bertukar shif. Subhanallah. Kalau ada kamera 360 memang syok dapat rakam saat-saat indah tu.



Pagi tu pemandangan matahari terbit tak dapat dilihat dengan cantik kerana ditutupi awan hitam. Aku  rasa nak je duduk lama-lama kat situ sebab rasa leka dan kenyang dengan keindahannya. Tapi tak boleh sebab jam 8 pagi saja, panas matahari sudah terik membakar. Boleh rentong oo. 



Cepat-cepat aku turun, walau pun hati tak puas nak rakam video dan gambar banyak-banyak.


Kos sewa bot dan pemandu arah untuk ke pulau tu saja rm300. Dapat duduk kat situ cuma 3 jam ja. Haish macam tak berbaloi. Kalau ramai-ramai boleh jugak la kongsi-kongsi. Tak de la terasa sangat.

Sampai di jeti awam baru jam 9 pagi. Nak pergi mana pula, rasa rugi pulak tak ada plan lain. Nak ke Bohey Dulang, aku dah 2 kali naik. Akhirnya aku pilih untuk naik ke Bukit Tengkorak pula. 

Bukit Tengkorak






Di kaki bukit ada Muzium Arkeologi yang mempamirkan penemuan artifak lama dimana di sini adalah tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar sekali di Asia Tenggara pada zaman Neolitik. Boleh baca di sini 




Bukit Parapat

Ada satu lagi bukit yang mempunyai pemandangan tepi laut yang indah di Semporna, iaitu Bukit Parapat. Cadang nak tapau sekali, tapi sebab dah terlampau kenyang makan nasi lauk ketam masak butter di Restoren Parapat Desa Park, maka aku batalkan hasrat nak mendaki lagi. Simpan-simpan je la untuk trip akan datang. Mana tau akan datang ke Semporna lagi.


Rasanya cukup itu ja perjalanan aku kali ini di Timur Sabah. Walau pun 9 hari tapi aku tidak tergesa-gesa kerana aku memilih untuk lebih santai. 

Sebelum pulang aku cuba makan di Ghazal Kitchen. Boleh tahan sedap dan restoran nya pun menarik.



Modal :-

Grab. : rm12

Airobus : rm15

Penerbangan 

MAS : rm255

AA : rm394

Hotel

Pertama Lodge : rm139/rm56 (3 malam)


Perfect Hub : rm93 ( 2 malam)




RTMS Guesthouse : rm57




Duit Kocek : rm500 seorang





~SELESAI

No comments:

Post a Comment