Wednesday, April 29, 2015

Sarapan pagi dengan 10% tanjakan [DOP]

Cerita semalam..

Hari ketiga - 8/4/2015 
Taman Desa Damai, Bentong - Kg. Paya Sipot, Lanchang ( 55 km )

Solat subuh berjamaah. Ada lah dua tiga orang jemaah wanita bersolat bersama-sama aku pagi tu. Sebelum mereka keluar masjid, salah seorang jemaah yang aku dimaklumkan berpangkat datin datang menghulurkan sesuatu ke tangan. Aku tercengang. Datin tu cakap, ambiklah, Saya nak bersedekah. Apalagi aku nak cakap, selain dari mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Sebelum meninggalkan masjid, aku pastikan keadaannya seperti sediakala. Tiada sampah, tiada barang yang bersepah di dalam ruang solat wanita mahupun di dalam tandas. Di dalam hening subuh, aku pun memacu basikal turun dari masjid mencari-cari gerai untuk bersarapan pagi. Tiada. Ok tak pe aku cuba cari kat depan lagi. Kayuh punya kayuh langsung jauh dari perumahan. Eh eh. Dah tak de penempatan ? Aku cuma jumpa papan tanda ni ja. Hok alloh. Terpaksalah aku teguk air mineral buat alas perut sementara mencari kedai makan. Harap-harap aku tak pitam.


Dari Bentong aku harus melalui jalan lama dan akan jumpa  Kampung Lebu dan kemudian Mempaga kerana tiada jalan pintas nak ke Lanchang melainkan menggunakan lebuhraya Karak. Walaupun jalan lama tapi agak sibuk dengan pelbagai kenderaan. Dah jumpa Kampung Lebu, baru nampak kedai-kedai makan.


Masuk hari ketiga baru ada selera makan. Kalau tak asyik minum air ja. Rezeki pagi ni berjumpa dengan nasi dagang. Terbukak pulak selera aku bila tengok. Sedap sangat. Sampai aku minta bungkuskan buat bekal untuk makan tengahari nanti.
nasi dagang dia memang sedap
Selepas Mempaga kena lalu Felda Lakum. Dari Mempaga ke Lanchang melalui Felda Lakum jaraknya dalam 30km. Sepanjang jalan tu hadap lah bukit -bukit yang tak habis-habis, dah la tu kiri kanan jalan cuma ada pokok kelapa sawit ja. Bosan pulak kita tengok.





Sampai satu tahap cuaca terlalu panas terik, dan tak ada tempat untuk berteduh. Akhirnya aku terpaksa menumpang teduh pada sebatang tiang letrik. Sadis betul.


Rupa-rupanya 500 meter dari tempat aku berteduh tu ada RnR. Berbunga-bunga hati aku ni. Dapat minum teh ais yang sejukkkk beku sampai ke otak. yay !



Memasuki bandar Lanchang, aku berhenti lagi bila nampak kedai ABC. Layannn.. Sepanjang pengembaraan aku ni memang aku minum ais ja. Alhamdulillah kesihatan baik- baik aja.


Tiba masa untuk mencari titik tengah Semenanjung yang pertama. Terletak di dalam kawasan milik persendirian. Madrasah Al -Ulum adalah tempat untuk belajar ilmu agama. Lebih di kenali dengan 'pondok' .


Simpang masuk ke lokasi ini memang tak ada papan tanda. Cuma ada sebuah kedai makan di jalan kecik di simpang masuk madrasah tu.


Waktu aku sampai masih dalam waktu asar. Tak ada orang pun yang boleh aku tanyakan sesuatu.
Tunggu je la. Adalah setengah jam duduk melangot kat tepi pagar. Akhirnya datang seorang ustaz merangkap pemilik madrasah ni. Aku luahkan hasrat dan tujuan aku datang ke situ untuk melihat batu tanda titik Semenanjung yang terletak di bawah salah satu pondok kediaman pelajar pondok serta tompang bermalam. Beliau tersenyum kemudian mempelawa aku bermalam di rumah tamu miliknya memandangkan hari pun semakin petang.


Jadi malam tu aku dapat bermalam di tempat yang selesa sekali. Waktu maghrib dan isyaq aku dapat melihat kehidupan para pelajar di sini yang terdiri dari yang remaja dan mereka yang sudah berumur. Kerana di siang hari kawasan tu kosong macam tak berpenghuni. Solat maghrib dan Isyaq berjemaah. Tempat solat wanita dan lelaki berasingan bangunan. Hanya disambungkan dengan pembesar suara di bangunan solat wanita.


Siapa yang berhajat untuk belajar ilmu agama boleh datang dan tinggal di sini seberapa lama yang mereka mahu. Tempat tinggal, api dan air percuma. Hanya kos makan dan keperluan pribadi saja perlu ditanggung oleh pelajar itu sendiri. Ada juga pelajar berumur sebaya mak dan nenek kita yang tinggal dan membina rumah di sini. Segala kebajikan pelajar dibawah tanggungjawab pemilik madrasah ni.


Malam itu aku dijemput untuk makan bersama dirumah salah seorang penuntut yang membahasakan dirinya 'mak ngah'. Juadah yang simple tapi membuka selera aku hingga bertambah berkali-kali.~Ikan pekasam.


Sebelum balik ke rumah tamu, ustaz datang ziarah ke rumah mak ngah. Ada sedikit nasihat yang diberikan oleh ustaz kepada aku. Aku terima dengan baik segala nasihat yang diberikan beliau.

* S E L A M A T     M A L A M *

Cerita seterusnya..

Tuesday, April 28, 2015

Aku, basikal dan Alam semulajadi [DOP]

Cerita semalam..

Hari Kedua -7/4/2015
Surau orang Asli Gombak - Taman Desa Damai, Bentong (57km)

Sepanjang malam aku tidur seperti biasa tiada gangguan dari mana-mana makhluk termasuk nyamuk. Cuma kerap terjaga akibat ketidak selesaan tidur di tempat rata. Jam 0500 aku dah bangun, bimbang nanti bilal datang tengok aku masih berselubung. Lecce !.
Jam 0630 aku dah mula menolak basikal naik ke atas jalan utama, sebab surau terletak di bawah bukit. Sebelum memulakan kayuhan, aku bersarapan roti canai dan membungkus nasi buat bekalan untuk makan tengahari nanti. Hari ni aku akan melalui jalan yang berbukit-bukit. Laluan yang sering digunakan oleh atlit berbasikal untuk membuat latihan. Pada aku, ini adalah kali kedua aku melalui jalan ni. Kali pertama dengan menggunakan basikal MTB GT Avalanche 2.0 tahun 2012. Rasa macam nak pecah dada, mana tak nya, basikal untuk 'downhill' aku guna untuk 'uphill' memang mendapat lah. Harap kali ni baik-baik ja.

jumpa pun Alang Sendayu
Masa kayuh tu, macam-macam aku fikir. Teringat lah cerita cyclist kena rompak lah, teringat masa aku 'pewai' kayuh MTB dulu lah tapi aku tetap berwaspada dengan keadaan sekeliling. Kadang-kadang datang rasa malas nak kayuh kat tempat yang pernah aku lalu dulu. Pasal tu kejap-kejap berhenti, ambik gambar, kejap berhenti rehat, minum air jangan cerita lah berbotol-botol. Dengan keadaan cuaca yang panas berdenting aku gagahkan jugak mengayuh pedal basikal.


Aku suka lalu kat kawasan yang macam ni. Rindu bau hutan, rindu bau rumput. Redup dan dingin ja. Tengok kiri kanan tak ada orang aku pun set kamera untuk ambik gambar sendiri. Peaceee !

km jarak dari K.Lumpur ke Bentong adalah sama
Kayuh sorang-sorang ni seronok. Tak de tekanan. Ikut suka hati nak kayuh macamana gaya pun. Ikut suka hati nak laju atau lambat. Lagi pun jarak kayuhan hari ni cuma -+ 55km je. Jadi boleh lah aku nak melenggang kangkong. Ahaks !

gambar yang ditembak ketika aku melepaskan lelah.
Dalam diam abang dan kakak aku mengekori dari belakang




Di suatu selekoh berselisih dengan sorang 'uncle' yang gigih mendaki. Sempat juga bersembang dengan beliau. Bukan calang-calang orang juga uncle ni. Sudah habis jelajah seluruh negara China dengan berbasikal. wOw.




aku pernah dibawa ke sini
Aku teruskan pendakian, walau perlahan. Akhirnya tiba juga di terowong sebelum menuruni bukit menuju ke rnr Genting Sempah. Abang aku cakap selepas ni jalan rata sehingga ke Bentong. Lega hati aku dengar. Sebelum meneruskan perjalanan, aku berhenti makan di gerai berhampiran. Datang sebuah lori yang penuh berisi pisang. Apa yang menarik perhatian aku adalah pemandunya cuba untuk turun membeli makanan tetapi dia terpaksa batalkan hasratnya kerana ada sekumpulan monyet sudah sedia untuk melompat naik ke atas belakang lorinya untuk memakan pisang. Apa yang 'uncle' tu buat adalah memandu ke depan dan ke belakang berulang-ulang kali sementara menunggu pesanan makanannya siap. Kesian 'uncle' dan monyet tu.


Abang dan kakak aku dapat menemani sampai takat tu ja. Mereka terpaksa pulang semula kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan. Sekarang aku bersendirian semula. Aha..dalam perjalanan menuruni bukit ada terjumpa dengan air terjun ni. Seandainya tiada had masa pasti aku berhenti dan berkhemah saja di sini. Malangnya. tak boleh !


Ini Thomas dari German, aku jumpa dia sewaktu menuju ke Bentong. Aku turun bukit dan dia sedang mendaki. Seperti lazimnya pengembara dari luar negara yang akan datang kepada kita. Begitulah sikap mereka bila bertemu sesama pengembara berbasikal. Orang kita segelintir masih kurang bersikap begitu, walaupun berselisih, menyapa pun tidak. Mengenai Thomas ni, aku tanya malam nanti dia tidur di mana, dia cuma jawab 'I don't know yet '... hrm.. Nomad rupanya mamat ni.


Tiba di Bentong aku jadi 'blur'. Mana masjid terdekat kat sini ? macam tak ada ja atau pun aku kena masuk kawasan bandar. Ah ! Aku terus kayuh mencari papan tanda masjid sampai jumpa. Aku sangat yakin, dalam MY, setiap kampung atau taman mesti ada masjid. Kalau cari mesti jumpa, dan akhirnya..


Nah ! amik kau. Masjid ni terletak dalam kawasan taman, dan atas bukit pulak tu. Mak oii..sesak dada aku bila tengok bukit di hadapan. Kayuh je la. Sampai di kawasan masjid aku berjumpa dengan salah seorang AJK masjid. Aku pun nyatakan hasrat untuk tompang bermalam. Alhamdulillah diberi izin.


Sama juga seperti di surau Orang Asli malam sebelumnya, ada kuliah agama diadakan setiap malam di masjid ni. Kuliah mengenai bab Tauhid yang disampaikan oleh Ustaz Ramli dari Mempaga. Dalam banyak-banyak ilmu yang disampaikan aku cuma sempat catit satu doa yang aku rasa amat berguna untuk aku. Sebab aku suka masuk hutan. Baca dulu di pinggir hutan, sebelum masuk hutan.

" Salaamun 'Alaa Nuuhin fil 'aalamiin, innaka haamidum majid "
maksudnya : Salam sejahtera kepada Nabi Nuh di alam semesta.

Dikisahkan ketika peristiwa banjir besar di zaman nabi Nuh di mana perbagai jenis haiwan dihimpunkan dalam satu tempat. Doa ini dibacakan agar haiwan-haiwan itu tidak berkelahi  sesama sendiri. ~wallahu'alam.


Usai solat Isyaq, semua jemaah dah beransur pulang aku pun mula mengeluarkan pekakas memasak. Lauk baki tengahari ada lebih, jadi aku cuma masak nasi ja. Ohoi ~ laparnya. Sementara tunggu nasi masak aku ambik peluang basuh baju. Siap semua kerja baru aku makan.


bapak kunci aku bawa mengembara- korang jgn ketawa !
 Perut pun dah kenyang, basikal pun dah aku kunci. Masa untuk tidur. ~ Zzz.

*****
Cerita seterusnya..

Sunday, April 26, 2015

Tour The DOT of Peninsular MY 2015

Hampir 2 tahun menyepi setelah pengembaraan aku yang pertama pada 6hb April 2013 mengelilingi Semenanjung Malaysia, kini sekali lagi aku ingin keluar dari pintu rumah dengan berbasikal untuk mencari titik pusat Semenanjung Malaysia yang berada di negeri Pahang Darul Makmur. Menurut pembacaan aku ada 3 lokasi yang berbeza di mana terletakknya titik tengah Semenanjung. Hasrat aku adalah untuk menjejak ke tiga- tiga lokasi ini. Lokasi tersebut adalah :

1. Berdasar rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung : Hutan Simpan Ulu Cheka
2. Pengiraan jisim : Kampung Belimbing, Jerangsang, Benta, Lipis.
3. Kaedah matematik : Kampung Paya Siput, Lancang, Temerloh.
                                  * Madrasah Darul Ulum

Memandangkan salah satu lokasi berada di dalam hutan simpan, maka aku perlu abaikan saja. Tak kuasa aku nak masuk dalam hutan. Hanya 2 lokasi saja yang aku fikir ia lebih mudah untuk dicari.

Projek ini dirancang sejak pertengahan bulan Jun 2014 lagi, aku telah menyiapkan peta laluan, mengenal pasti lokasi rawat dan rehat, tempoh perlaksanaanya serta bla bla bla dengan mengikut contoh pengembaraan aku yang lepas. Kini projek tersebut telah dilaksanakan.

Hari pertama - 6/4/2015
Jalan Nangka - Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak ( 67.3km)


Total kesemua muatan termasuk berat badan aku 62kg -+
maggie, beras, minyak, buah kurma, pewangi baju dan sabun basuh

Berbekalkan wang saku sebanyak rm150+ 500bhat aku dengan slumbernya mengayuh basikal keluar dari pintu rumah. Segala saki baki masalah yg ada aku tinggalkan ja depan pintu rumah. Keperluan anak-anak semua aku dah sediakan dengan secukupnya. Anak-anak aku pun cam tak kesah ja mak dia nak pergi mengembara. Langsung tak sedih ? Lecce lah ! Ahaks.


Takut ? rasa takut tak ada cuma gementar sikit bila mengenangkan laluan yang akan aku tempuh nanti iaitu lebuhraya KESAS. Uhf, jangan banyak fikir yang bukan-bukan kayuh je la. Sampai di RnR dekat Hicom tu aku berhenti. Melepaskan lelah.


Aku sandarkan basikal dan buka kerusi lipat. Sambil duduk makan roti aku meneliti peta yang aku bawa. Tak semena-mena abang aku muncul dari belakang. Eh ! kejar aku sampai sini ke ?  Haduih. Dia bertanyakan laluan yang akan aku ambil. Aku jawab ikut KESAS. Dia kata pilihan aku akan menyusahkan aku kerana laluan jauh dan berbukit-bukit. Nanti lambat sampai Gombak. Uhf, mana la aku mahir jalan pintas ni. Semua harap google map ja. Kalau jalan yang aku buat tu jauh, aku bersetuju mengikut laluan yang akan dia tunjukkan.






Setelah menempuh kesesakan lalulintas di hari Isnin maka aku terpaksa berhenti rehat kat sini dulu sementara abang aku balik ke rumah menguruskan keperluan keluarganya. Nanti jam 2 petang dia kembali semula dan akan membantu menunjukkan arah laluan kayuhan menuju ke Jalan Gombak. Menurut maklumat bangunan ini akan dipindahkan ke lokasi lain. Apa akan terjadi dengan lokasi ini ? Hutan yang sedikit yang ada di sekitar bangunan ini pun nak dihilangkan ?


Seperti yang dijanjikan jam 1430, abang aku datang semula. Keluar dari persimpangan yang berpimpang siur aku nampak ada seorang mat motor tunggu tepi jalan. Dari jauh dia dah tersengeh-sengeh. Siapa lah tu ya ? Berborak sekejap, selfie dan aku minta diri sebab hari hampir petang. Bimbang pulak aku sampai Gombak dah petang sangat nanti.



Muzammil mengiringi aku separuh jalan dan kemudian dia terus ke tempat kerjanya. Terima kasih kerana sudi tunggu aku, semata-mata nak beri sokongan moral. Terharunya. Manakala abang aku pulak hantar hingga simpang masuk ke jalan lama Gombak. Dia kata terus ja nanti sampai Alang Sendayu. Fuhh..berdebar. Kayuh lah aku sorang-sorang dengan pakai baju kurung warna merah. Hahaha gonjol !


Hari menjelang petang dan cuaca kelihatan redup, langit pulak nampak gelap ja seolah-olah sudah hampir waktu maghrib, mulalah aku rasa cuak. Mana Alang Sendayu ni, jauh lagi ke ? Jam dah menunjukkan 17.20, akhirnya aku ambil keputusan berhenti di perkampungan orang Asli kerana di situ ada Surau Orang Asli Al Hidayah.




Ujian pertama bermula : Meminta izin kepada penjaga surau.
Aku jenguk ke dalam surau, ada seseorang sedang mengaji. Wah, peluang ni. Aku beri salam, perkenalkan diri dan terus aku nyatakan hasrat mahu menumpang membersihkan diri dan bermalam di situ. Sebelum tu aku kena jawab soalan lazim :
1. Dari mana nak ke mana ?
2. Seorang diri ?
3. Tak takut ke ?

Alhamdulillah dapat kebenaran. Syukur sangat.
Aku diberitahu yang surau ni sentiasa diimarahkan dengan aktiviti keagamaan. Ada ustaz yang datang mengajar ilmu agama. Malam ini ustaz akan mengajar mengaji. Aku tengok lemah lembut ja ustaz yang mengajar tu kerana para pelajarnya terdiri dari pelbagai peringkat umur. Jutaan terima kasih aku ucapkan buat pengerusi surau En Sidek, tuan imam Encik Sudin dan bilalnya En Johan kerana kesudian memberi keizinan bermalam di surau Al Hidayah.



Ok, lepas maghrib kakak dan kawan sekolah aku datang menjengok. Kakak aku belanja aku makan kenyang-kenyang dan top upkan kredit hp aku. Terima kasih Angah. Jam 2200, surau dah kosong hanya bunyi cengkerik bersahut sahutan. Tinggallah aku sorang ja dalam tu. Pintu surau aku kunci semuanya. Aku tutup lampu, pasang kipas dengan 5 kelajuan kemudian masuk dalam sleeping bag. Baca lah segala ayat pendinding diri, tutup mata dan TIDUR.

* mesti korang tertanya2 tak de gangguan mistik ? jawapan aku.. hahaha YIEL LEK ! sebab aku awal-awal sudah setkan minda aku supaya tidak melayan imaginasi yang karut marut. Allah kan hado. Chill larh.

Cerita seterusnya di sini..