Kerana RINDUkan kau yang teramat sangat, aku kembali lagi ke sini. Tak mengapa jika kau telah melupakan aku. Namun tidak bagi aku. Kau tetap mekar di hati.
5hb Oktober
HANOI
Penerbangan aku ke Hanoi pada jam 0630, menaiki pesawat AK516. Berdebar ? ya, sikit. Bukankah tarikh ni jatuh pada Hari Raya Aidil Adha ? ya, jadi ? Jika nak berhari raya boleh di mana-mana saja kan ? Aku mengambil keputusan untuk berhari raya di atas kapal terbang, mudah mudahan aku berpeluang untuk melihat suasana raya di negara orang pula. Selama 3 jam 15 minit tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Vietnam, dan selama itulah ingatan aku kembali mengingati pengembaraan aku di tahun 2011. Di dalam hati terdetik untuk menjengah kembali laluan-laluan dan tempat-tempat yang pernah aku lawati dulu. Aku rindu saat itu.
Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, aku melihat perubahan yang sangat besar. Bangunan sudah bertambah dan lebih diperluaskan. Aku memerhati dan mencari-cari 'booth' pejabat pos yang ada di ruang legar lobi lapangan terbang, kerana pejabat pos itulah benda pertama yang aku nampak sebaik tiba di Vietnam dulu. Aku mencari juga 'Tourism Information' kerana tempat itulah yang dituju untuk mendapatkan maklumat tentang perjalanan seterusnya.
Aku tak terus keluar dari lobi lapangan terbang, malah aku mencari kedai yang pernah aku berhenti minum. Saja-saja ja nak berada dalam mode bertenang sambil mengimbau kenangan lalu.
Setelah bersedia, aku mulakan langkah keluar dari pintu utama. Jeng jeng !
Erk ! dah lawa dah ? fuyooo.. Aku dah tak payah tercangak-cangak mencari pengangkutan awam untuk ke bandar Hanoi. Aku tak payah mengendong bag yang berat separuh dari berat badan aku ke hulu hilir dah. Semuanya tersedia di hadapan pintu. Dulu pilih naik bas awam, harga memang murah, tapi kena 2x bertukar bas. Kali ni aku malas susah-susah. Naik ja 'shuttle bus' dengan harga tetap $2 | 40k vnd | rm6 terus sampai ke hadapan Stesen Keretapi Hanoi.
Untuk pengembaraan aku kali ni, aku memilih untuk menyewa motor dari Hanoi jadi aku perlu mencari kedai motor tu terlebih dahulu. Agak sukar mencari alamatnya, maka aku memerlukan bantuan 'taxi motor' untuk menghantar ke lokasi tersebut. Awal-awal lagi dah kena 'paw' dengan dorang ni. Harga biasa cuma 30kvnd = rm4.50, tapi dorang mintak 40kvnd= rm6. Ahaks, tak pelah. Aku baru sampai, masih belum sesuaikan dengan keadaan sekeliling dan pengiraan matawang Dong ni. Kira halal lah tu.
Kedainya dicelah-celah lorong yang kecik. Jika tak mahir memang takkan jumpa lokasinya.
Pemiliknya bernama Mr. Phung. Aku dapat maklumat tentang kedai ni pun melalui internet. Aku memang cadangkan pada sesiapa yang nak menggunakan perkhidmatannya sila klik di sini. Dia ni memang boleh bertolak ansur. Kadang sesetengah kedai motor akan mintak kita letakkan cagaran passport atau sejumlah wang (nilai dolar) untuk urusan penyewaan. Tapi dia tak kesah, aku cuma bg aku punya lesen memandu MY untuk dia simpan. Sorrylah aku takkan bagi aku punya passport, apatah lagi duit dolar. Dah la aku pun sengkek.
Hari sewaan bermula keesokkan harinya. Maksudnya : Datang kedai 5hb, tp kiraan sewaan bermula 6hb. Phew, lega aku dengar. Hari pertama dia bagi aku bersiar-siar dengan motor tu dengan percuma. Motor yang dia syorkan untuk diguna pakai adalah Sufat 110. Nampak cam tak hensem dan oldskool tapi gagah di pergunungan dan jalan 'offroad'. Sewa sehari dia bagi $10 = rm32 termasuk 'pannier bags' , helmet, baju hujan dan minyak rantai.
Urusan seterusnya adalah membeli tiket keretapi ke Lao Cai. Siapa yang nak rasa pecah kepala dan nak rasa lebih 'adventure' silalah menguruskan sendiri pembelian tiket tersebut. Aku ? malas ah, mintak Mr.Phung yang uruskan. Aku tinggal bayar harga ja walaupun agak 'mark up' skit tapi boleh la janji tak sakit kepala. $40 seorang = rm132
Keretapi yang menyediakan gerabak barang cuma ada 1 iaitu SP3. Keretapi ni boleh bawak kita dan motor sekali jalan. Jadi jangan salah beli tiket ya. Harga bergantung pada keadaan. Tahun 2011 tiket keretapi aku cuma 450kvnd =rm66. Yang ni beli sendiri tak gunakan agen. Tahun 2014 ni, agen belikan tiket harga 515kvnd = rm79. Jadi, silalah kira berapa rm agen ambik dari bayaran $40 tadi.
Tiket untuk penghantaran motor pula berharga $15 =rm47. Untuk menambahkan sakit kepala lagi,
kaunter tiket untuk kita dan motor berbeza. Jadi kena pergi 2 tempat berbeza untuk menguruskannya. Jenuh o dengan keadaan tempat yang sesak macam tu.
Kini stesen keretapi Hanoi sudah berubah menjadi lebih besar dan baru. Jejantas untuk pergi ke setiap platform sudah dibina. Platform-platform lebih terurus dengan papan tanda pemudah cara. Satu ja aku nak pesan, korang jangan isi minyak penuh-penuh kat motor ni sebelum naik keretapi, sebab minyak yang korang beli tu akan disedut sekering-keringnya oleh pekerja mereka. Minyak tu dorang amik dan jual sebagai duit poket.
Salah satu undang-undang keselamatan memang la bahan api tak boleh ada dalam gerabak. Oleh itu, sila lah buat camana aku buat tempohari. Aku cuma isi 20kvnd = rm3 ja untuk aku guna ronda-ronda bandar Hanoi. Sampai kat tempat pengurusan motor, aku tengok dorang beria-ria nak menyedut tangki motor ni, sedut-punya sedut keluar sikit ja. Ha ha ha..mulut mengomel dan muka masing-masing bengkek ja. Aku buat dek, buat muka bodo. Ngeh..ngeh..ngeh..
Yang bestnyer, dah tak ada ulat-ulat yang kerjanya nak meng 'paw' pengembara macam aku. Mungkin kerana stesen ni dah terang benderang dan ramai pegawai stesen yang sentiasa memberi bantuan kepada para penumpang. Yay !
Ahai, seronoknya dapat naik keretapi ni, teruja sangat-sangat dapat tidur atas katil dua tingkat macam dulu. Tahun 2011, aku terlepas nak tengok pemandangan sungai Merah (Song Hong), gunung, kampung dan sawah akibat tidur lena sangat, tau-tau dah sampai Lao Cai. Tapi tidak untuk kali ni. Aku tak mahu lepaskan peluang kali kedua. Akhirnya dapat jugak aku tengok kesemuanya kerana keretapi agak lewat sampai ke destinasi sebab kerja-kerja membaiki landasan.
6HB OKTOBER
-LAO CAI - SAPA-
-LAO CAI - SAPA-
Sekitar 0740 baru sampai di Stesen keretapi Lao Cai. Sekali lagi aku terpegun kerana ia turut mengalami perubahan. Setelah menurunkan motor dari gerabak dan memuat naik beg ke atas motor, perjalanan pun dimulakan. Sebelum tu kena cari stesen minyak dulu sebab minyak motor kering terus. Terpaksa lah menolak.
Kali ni Sapa hanyalah tempat untuk transit sebelum menuju ke Ha Giang, walaupun begitu aku akan bermalam di Sapa dan bersiar-siar melawat ke lokasi yang aku tak pergi dulu. Aku nak cari air terjun yang ada di situ. Sambil-sambil tu nak jugak menjengah ke kampung tempat aku berhenti makan tengahari dan mandi dulu. Sepanjang jalan aku melihat suasananya dan teringat aku saat berjalan kaki dari pekan Sapa hingga ke kampung Ta Van. Sangat jauh dengan bagpack disandang dibahu. Ketika itu memang aku rasa kepayahan, tetapi bila dah lama-lama ianya menjadi suatu nostalgia indah pulak. Walau tak masuk ke kawasan rumah, dapat tengok jalan masuk pun jadi lah. Ahaks, dahsyat sungguh bahana RINDU aku ni kan ? Gambar di bawah ni la jalan masuk ke 'homestay' milik Hmong tersebut.
Setiap pelancong yang masuk ke sini haruslah membeli tiket lawatan sebanyak 40kvnd = rm6.
Tempat yang pernah aku berhenti seperti dalam episod terdahulu (gambar aku dengan backpack) telah berubah, pelantar anjung tinjau sudah dibina untuk kemudahan pelancong melihat pemandangan lembah dan gunung dengan lebih jelas.
Kali ini aku akan pergi lebih jauh hingga ke Muong Hua Valley untuk mencari Cloudy Bridge. Cloudy Bridge ialah jambatan yang dibuat dari rotan. Di situ ada disediakan homestay dengan rekabentuk rumah tradisional kaum Hmong. Jika nak merasa melintas melalui jambatan tu akan dikenakan bayaran sebanyak 5kvnd = 75sen.
Waktu yang paling indah untuk merakamkan suasana di atas jambatan ini adalah di waktu pagi sebab masa tu ada kabus. Baru lah epik kena dengan namanya 'cloudy bridge'.
Di Sapa aku menginap ni Diamond Hotel dengan harga 200kvnd =rm30 dan itu lah budget untuk penginapan aku untuk hari-hari seterusnya. Kalau tak dapat harga bilik yang murah, terpaksa la aku tidur di dorm yang berharga $5 satu malam. Tapi seboleh-bolehnya aku tawar menawar harga dulu. Ahaks !
Seingat aku, dalam satu hari, lebih dari 4 kali aku berpusing-pusing di pekan Sapa. Setiap ceruk lorong aku jengah, sehingga lah aku teringat pada satu kedai bernama " Auberge Dang Trung Agency". Aku cuba cari, tapi tak jumpa. Lokasi yang sama, cuma kedai tu sudah berubah bentuk dan masih dalam pembinaan. Ada apa dengan kedai tu ? Kalau nak tau sila klik dan baca kisahnya di link yang aku sisipkan di atas.
-HA GIANG-
Sasaran utama aku ke Utara Vietnam ini adalah untuk menjejaki lokasi-lokasi unik di sekitar Ha Giang. Ada beberapa tempat yang menarik minat aku untuk dijejaki. Tahun 2011, aku ada melalui provinsi Ha Giang tapi di bahagian tengah dari Sapa melalui highway QL279 terus menuju Bac Quang ke Babe Lake sejauh +-321km. Ketika itu tiada pengalaman dan tiada bayangan tentang lokasi yang nak dituju, apatah lagi keadaan jalan rayanya. Dari pagi hingga ke malam tak sampai- sampai dan rasa betul-betul lunyai. Mungkin sekarang jalan rayanya dah siap agaknya.
Dan kini, pengurusan perjalanan telah dibaik pulih dengan persediaan secukupnya. Melalui highway QL4D, QL70, QL2, QL4C dan di tepi- tepi sempadan China/Vietnam membuatkan pengembaraan berbeza dengan yang dulu. Kebimbangan tentang minyak motor juga tak ada sebab di sepanjang laluan stesen petrol memang banyak.
Sedikit maklumat untuk siapa yang mahu memasuki Provinsi Ha Giang, perlu membeli 'permit mandatory' untuk memasuki 'kawasan sempadan' (secara khusus, Yen Minh- Dong Van -Meo Vac), Permit tu boleh dibeli di pejabat Imigration yang terletak bersebelahan dengan pejabat pelancongan di bandar Ha Giang. Harganya $10. Permit itu akan diminta oleh pengusaha hotel bila kita mahu menginap di sana.
Aku tak beli pun. Ahaks ! tapi dalam hati berdebar-debar jugak lah. Bimbang kalau-kalau tengah jalan ditahan polis, tak ke naya. Walau pun 2 3 kali jugak ditahan polis tapi mereka arahkan untuk pergi segera bila tengok kita bukan orang tempatan.
Ketika sampai di bandar Ha Giang, tak timbul soal permit, tapi bila nak menginap di Dong Van, baru dorang mintak. Buat-buat tak tahu la..what permit ? I don't know about that. I'm from Malaysia. Bila dengar nama Malaysia, terus penjaga kaunter tu call bos dia dan mungkin bos dia kata 'nevermind lah'. Akhirnya dapat gak bermalam di situ. Nah ! lepas gak dari mengeluarkan duit sebanyak rm30. Phews !
Antara tarikan menarik di Provinsi Ha Giang :
-QUAN BA-
"Twin mountain" diperakui sebagai tapak warisan negara oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam. Sebenarnya, Quan Ba mempunyai landskap karst yang luas, namun banyak yang menganggap Twin Mountain sebagai ciri yang paling indah. Bukan itu saja, terdapat juga cerita dongeng mengenainya.
Konon, di daerah ini, ada mempunyai seorang lelaki H'Mong yang tampan dan mempunyai bakat meniup "Dan Moi ". Bunyi "dan moi" berkumandang amat merdu sekali. Di langit ada seorang pari dengan nama "Hoa Dao", dia mendengar bunyi "dan moi" dan cuba untuk mencari jalan untuk datang bumi. Dan ia jatuh cinta dengan jejaka Hmong dan akhirnya berkahwin. Tidak lama kemudian Ngoc Hoang mendapati Hoa Dao terbang dari bumi, yang menjadikan dia marah. Hoa Dao memohon untuk mendapatkan hak jagaan bayi laki-laki tetapi gagal. Sehingga ia telah meninggalkan payudara badannya kepada anaknya. Kemudian, payudaranya berubah menjadi gunung kembar 'Co Tien'. Menurut legenda, susu dari payudaranya menciptakan iklim sejuk, buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai rasa yang lazat. Air mata beliau berubah menjadi Sungai Mien.
8HB OKTOBER
-DONG VAN-
Dong Van Plateau Karst terletak pada ketinggian 1.000 m-1.600 m dan seluas 2,350km². Dari bandar Ha Giang, kita akan melalui di Lebuh Raya Kebangsaan 4C sejauh 43km ke Quan Ba. Seterusnya melalui Can Ty Pass, hutan pain, jalan yang curam, jurang yang dalam dan selekoh tajam, selepas itu kita akan sampai ke dataran tinggi karst ini. Semua formasi gunung dia terbentuk dari batu berwarna hitam. Sangat menarik dan unik.
Jika diberi peluang sekali lagi aku memang nak berkhemah di sini, nak rasa kesejukan waktu malam, nak mendengar bunyi haiwan yang ada di sini. Cumanya, di sini sumber air agak sukar didapati. Mereka menggunakan air takungan sumber dari air hujan.
Menurut artikel yang aku baca, pada 3 Oktober 2010, di Lesvos (Greece), Dong Van Plateau Karst telah diiktiraf sebagai ahli rasmi Global Geo-taman Network (GGN) untuk nilai-nilai yang utama pada landskap, palaeobiology, geologi, geomorfologi dan budaya tempatan. Dong Van Plateau Karst telah menjadi geo-taman yang pertama dari Vietnam dan yang kedua di Asia Tenggara (selepas Langkawi Geo-taman di Malaysia).
Info menarik jika korang berminat nak mengembara ke Ha Giang. Pilih la waktu yang paling sesuai.
Pada bulan Jun dan Julai, gunung hijau sering dilimpahi sedikit hujan
Bulan Ogos dan September, ladang teres menjadi lebih berwarna-warni kerana musim menuai sudah hampir. Manakala di bulan Oktober dan November adalah ketika backpacker berduyun-duyun ke Ha Giang kerana lapangan bunga sedang mekar. Ha Giang terkenal dengan bunga daisy kuning yang mengkagumkan dan bunga-bunga liar yang banyak tumbuh di sepanjang jalan.
-LUNG CU-
Aku suka menggunakan aplikasi 'google map'. Kemudiannya aku akan klik pada butang 'gambar'. ketika itu banyak gambar akan keluar di setiap lokasi. Begitu juga kisahnya dengan pengembaraan aku kali ni. Semua lokasi ini aku cari menggunakan google map. Kemudian aku susun dan rangkumkan ia dalam satu laluan setelah mengira jarak sesuatu tempat dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.
Dari kejauhan, aku melihat pemandangan di Lung Cu amat menakjubkan macam poskad. Di bawahnya sawah bendang terbentang luas. Bendera kebangsaan berkibar megah di atas Gunung Naga. Menara Bendera itu sendiri setinggi 1.600 m di atas permukaan laut. Rekabentuknya mengikut seperti Menara Bendera di Hanoi, dengan lapan gendang gangsa menjaga di sisi menara bersegi delapan. Menara 135 tangga mempunyai keluasan 54sq.m, melambangkan perpaduan 54 kumpulan etnik Viet Nam. Aku lambat datang la, sebab padi kat sini sudah pun dituai. Dah la nampak kering kontang pemandangannya.
Ok lah, memandangkan selama 11 jam aku atas motor menghadap gunung ganang dan jalan 'offroad' kemudiannya nak kena mendaki beberapa tingkat tangga lagi, membuatkan aku dah malas. Lagi pun nak naik tu kena bayar. Ha ha ha aku kedekut lagi. Kalau nak tengok suasana pemandangan dari atas boleh la tengok di sini.
Aku harus berpatah semula ke bandar Dong Van kerana tak pasti kat sini ada hotel atau tak. Ni nak bagitau sikit, walau kat mana ceruk gunung aku menginap, WIFI memang tersedia di setiap bilik hotel di Utara Vietnam ni. Kagum lah.
9HB OKTOBER
-MA PI LENG PASS-
Pagi-pagi lagi aku dah keluar dengan hasrat nak melihat dan mengambil gambar lokasi ni. Konon nak ambik gambar banyak-banyak. Konon je lah. Pastikan jika hendak mengembara ke Ha Giang sediakan kamera dan bateri secukupnya. Aku guna 2 kamera pun masih tak cukup kerana setiap pandangan 360 darjah adalah amat menakjubkan. Aku jadi gila meroyan sekejap asyik snap ! snap ! snap ! sampai habis bateri, rasanya screen kamera tu kecik sangat. Seboleh-bolehnya nak rakamkan pemandangan secara penuh baru puas hati. Tapi apakan daya, kamera kompak ja. Redha je la kan. Ye dak ?.
Aku nak bagi nasehat sikit, kalau nak datang ke sini biarlah datang tengahari. Jangan datang pagi-pagi cam aku, sebab tak nampak apa. 360 darjah nampak kabus ja. Frust gak la. Rancanglah perjalanan korang elok-elok yaaaaa. Panorama yang aku impikan macam ni, yang aku dapat macam kat bawah ni. Walaubagaimana pun syukur alhamdulillah, sampai jugak aku kat sini. Kitakan hanya merancang, selebihnya Allah punya kuasa.
Di hentian ini juga ada servis menyewa baju tradisional kaum pribumi. Jika sesiapa berminat boleh la memilih kostum mana yang berkenan di hati dengan harga sewaan 50kvnd = rm7.50 ( kalau aku tak salah dengar la )
Ma Pi Leng Pass adalah laluan melewati lereng gunung di Vietnam. Ia berada pada ketinggian 1,500 m (4.921 kaki) DAN jalan ini pertama kali dibina oleh orang-orang minoriti orang Zao, H'mong, Tay dan "Lolo" (di China yang dikenali sebagai orang Yi ).
Berada di sini sangat best. Kenapa aku cakap best ? Ketika aku duduk di batu penghadang jalan di tepi cenuram, (kalau tergelincir mau tergolek dan terus hilang dari pandangan) terasa diri ni sangat kecik di tempat yang sangat luas. Subhanallah.
Pandang ke atas, puncak gunung yang tinggi dan berbalam-balam, pandang ke bawah pulak, lembah yang sangat jauh sayup mata memandang. Kat sini cuaca sentiasa dingin dan hanya terdengar bunyi desiran angin yang berhembus ke serata lembah. Sesekali terasa suasana sepi sesepinya, terkelip-kelip mata aku memandang sekeliling. Kalau menjerit mau bergema suara aku. Nak je aku bentang tikar dan baring golek-golek sambil menghayati keindahan alam sampai puashati. Agak-agak korang boleh bayangkan tak ? cuba berimaginasi sikit.
Menarik....
ReplyDeleteSeronak tengok orang mengembara..
sila kongsi cerita kembara abam Bard pula, jgn simpan ja. Rugi.
DeleteAlamak kak tun saya belum sampai lagi nehh.
ReplyDeleteEcey, sat2 lagi sampai la tu..
DeleteMana gambar pengembara? Tingin nk tgk...hehehe salam kenall...
ReplyDeleteSalam kenal juga, gambar si pengembara tu yg segak bergaya sebelah motor. Ahaks.
Delete