Friday, May 1, 2015

Kuala Cry [DOP]

Cerita semalam

Hari ke sepuluh - 15/4/2015
Masjid Keputeraan Paloh 2 - Kuala Krai ( 70 km )

Burr.. sejuknya. Keluar ja dari masjid tengok keadaan sekeliling berkabus. Macam kat Laos pulak ~ wee. Nak mulakan kayuhan pun kaki rasa ketat ja. Kejang.


 Masjid Keputeraan Paloh 2

pandangan dari arah hadapan

Laluan di sini sangat mendamaikan. Tapi waktu pagi la, ketika lori dan kenderaan lain belum banyak lagi. Pukul 8 pagi pun masih berkabus. Aku berhenti untuk bersarapan di Kampung Bayu. Selama kat sini aku makan nasi kerabu saja. Dah kemaruk sangat. ~sedap.



Memasuki daerah Kuala Krai Selatan - nampak bekas banjir tahun lepas masih tidak ada perubahan.




Ini Sungai Lebir. Sewaktu aku meluncur menuruni  bukit aku terpandangkan seorang makcik, anak perempuan serta cucunya sedang menadah air bersih ke dalam tong besar. Rumah mereka terletak di sebelah sungai ni. Jika aku sempat rakamkan saat-saat itu memang 'rare'.  Nak patah balik dah jauh terlajak pulak.








Siapa pernah makan putu ? tapi hok yang ni lain sikit. Masa aku berhenti untuk membeli, tak de la kesah sangat, cuma kesahkan dengan warna dia ja yang warna kuning. Aku ingat sama ja semua putu. Biasa yang aku pernah jumpa warna putih dan hijau daun pandan. Bau sedap. Bila aku makan ada rasa ubi. Eh ? ni putu apa ni. Inilah pertama kali aku jumpa dan rasa. Putu ni menjadi hidangan makan tengahari aku. Kenyang jugak lah sampai ke petang.

Putu Halba

Aku sampai bandar Kuala Krai dalam jam 1500 petang. Kira awal jugak aku sampai. Cuaca mendung dan gelap menunjukkan hujan akan turun dengan lebatnya. Dalam otak aku cuma fikir masjid je la. Berpusing-pusing aku mencari masjid, siap tanya orang yang berniaga kat gerai tepi jalan besar. Semua tunjuk masjid yang kat atas bukit. Adoi.. bukit lagi.

Lepas solat zohor, aku pun duduk je la kat ruang solat wanita. Tak lama tu hujan turun mencurah-curah, itu aku rasa macam membuka peluang yang cerah untuk aku mendapat  keizinan bermalam kat situ. Ngeh..ngeh..ngeh. (Allah maha tahu ). Tiba-tiba sorang lelaki masuk ke ruang solat wanita dengan membawa besen untuk menampung air hujan yang menitik masuk ke dalam masjid. Bumbung masjid bocor rupanya.

Aku tak lepas peluang untuk bertanya siapa yang menjaga masjid ni. Dia memperkenalkan diri sebagai bilal kat masjid Guchil ni. Sambil menunggu hujan reda dia bercerita tentang kisah masjid ni yang pernah menjadi 'basecamp' untuk penempatan mangsa banjir tahun lepas. Dulu masjid ni asalnya dibina menggunakan kayu, tapi sekarang sudah berubah wajah menjadi masjid batu yang besar dan cantik. Jangan tak tahu, siap ada cctv lagi kat ruang solat. Mula-mula aku tak perasan, bila baca peringatan yang ditampal di dinding masjid aku terkedu. Alamak. Tadi aku dok tukar seluar dan tudung kira masuk dalam cctv lah..CHoi !.

Masa yang panjang aku gunakan untuk membasuh pakaian. Senang hati, kalau tak aku rimas dengan baju yang berbau. Sehingga selesai solat Isyaq, aku masih bertahan kerana keletihan dan mengantuk. Bila semua jemaah dah balik, bilal tadi datang menunjukkan aku tempat untuk berehat. Dia suruh aku tidur di ruang tingkat atas. Kalau ada apa-apa boleh terus panggil dia. ~ siap bagi no talipon. Hik hik.
Aku naik atas, pasang kipas laju-laju, masuk dalam sleeping beg terus pejam mata. ~ pening kepala lor.
Mintak maaf la 'penjaga' masjid kalau aku tidur lena sangat sampai tak peduli kot-kot ada usikan nakal dari kamu. Aku tak sedar. Zzz :p

Cerita esoknya..

Thursday, April 30, 2015

Guna kuasa magik dewa dewi [DOP]

Semalam punya cerita..

Hari ke sembilan - 14/4/2015
Kampung Kuala Ping - Masjid Keputeraan Paloh 2 ( 124km)

Urusan meminta bantuan dari rakan-rakan dari wassap grup 4x4 telah berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada Abd Salam kerana usaha beliau mencarikan rakan yang tinggal berdekatan Kampung Kuala Ping untuk membantu aku merentasi Tasik Kenyir hingga ke Felda Aring 10 menaiki kereta. Ahaa magik kan ? magik !

Sesudah subuh aku meminta diri untuk meneruskan perjalanan pada keluarga bilal Yaakob. Mudah mudahan keluarga beliau dirahmati dan dimurahkan lagi rezeki. Dibekalkan aku nasik kerabu sebungkus. Aku gantungkan nasi tu pada handle basikal. Terima kasih banyak-banyak.

Mengikut perjanjian dengan Zuki (rakan 4x4), dia akan berjumpa aku di Pengkalan Jeti Gawi di Tasik Kenyir. Maknanya aku kena kayuh menuju ke lokasi tersebut. Orang tak pernah sampai ke Kenyir, manalah tahu keadaan jalan kat sini. Keluar dari kampung Kuala Ping dengan muka riang ria. Lebih-lebih lagi lalu kawasan hutan. Suka benor.

harapan aku nak jumpa gajah
kampung yang terakhir
tu dia kelok sampai ke langit
Nampak ja papan tanda ni aku dah lemau, apakan daya kena gak hadap. Berhenti kat sini lama jugak sambil ambik napas. Hiff..hiff..!


Bukit Sipor
Lagi 1 km nak ke simpang Tasik Kenyir, aku terpaksa berhenti bila berhadapan dengan bukit ni. Terkedu aku, boleh ke aku kayuh naik bukit ni ? Seram betul. Lori pun boleh terhenti tengah jalan. Aku cuba kayuh, cuma dapat di bawah 10 kayuhan. Dah la tak bergerak, dada macam nak pecah pulak tu. Owh tak boleh. tak boleh macam ni. Tahap dewa dewi mana boleh siksa diri. Lebih baik aku turun dan tolak ja basikal ni. Paling sedih, tolak basikal pun cuma dapat 5 langkah lepas tu mencungap. Ayo yo..!
Selepas selekoh tu ada lagi mendaki, sebaik saja aku sampai kat simpang Tasik Kenyir sebuah 4x4 memintas dan pemandunya turun. Rupa-rupanya Cikgu Abd Rashid yang semalam datang mengejar aku. Dia kata rasa bersalah tak dapat nak bantu aku. Kemudian dia bantu naikkan basikal aku atas 4x4 dan dia hantar masuk sampai ke Pengkalan Jeti Gawi dalam kawasan Tasik Kenyir. Menurutnya masa ni adalah waktu rehat di sekolah, jadi dia ambik peluang keluar sekejap. Allahu Akbar !

mesti percaya yang Allah akan datangkan orang yang baik-baik membantu kita.


Lepas Cikgu Rasyid belanja aku minum dan belikan aku sebotol 100 plus dia pun balik ke sekolah semula. Aku kena tunggu Zuki pulak datang.  


Sekitar hampir jam 1100 pagi, Zuki pun sampai. Oleh kerana maklumat yang dia terima terlalu lewat, dia tak dapat nak bawa kereta pacuan empat roda kerana sudah keluar untuk mengambil barang. Berkerut jugaklah dahi aku. Bukan tak boleh bawak basikal dalam kereta Myvi, boleh ja cuma rosak dan calar pulak kereta orang ni nanti. Zuki kata 'jangan risau. tak pa.' ~ Alahai sangat tak best.


Dalam perjalanan aku lihat pemandangan sangat cantik, cuma laluan agak terbuka dan sudah pasti memang panas. Nampak jugak Perkampungan Gajah , tapi mungkin lain kali saja aku singgah. Laluan Kenyir - Felda Aring sememangnya berbukit-bukit dan jauh. Seandainya aku meneruskan kayuhan memang tak kan sampai dalam satu hari. Dahsyat.

Air terjun Buih
Air terjun ni menjadi tempat hentian bagi pemandu-pemandu lori untuk mengambil air atau berhenti rehat. Ada trek menuju ke atas dan aku pasti mungkin lagi cantik pemandangan di bahagian atas. Ada jugak aku nampak beberapa buah chalet dibina di tepi tasik. Hrm..boleh jadi tempat bermalam kalau kayuh basikal ni, bisik dalam hati. Aku cuma terkilan sebab tak dapat merakamkan gambar di sempadan antara Trengganu dan Kelantan di tengah-tengah laluan Jalan Felda Aring.


 Lebih kurang 107 km dari Tasik Kenyir kereta berhenti di sebuah hentian. Aku rasa itu lah Felda Aring 10. Banyak lori- lori membawa kayu balak berhenti di situ. Aku segera turunkan basikal dan beg di tepi kedai makan. Tanpa berlengah lagi aku pasang kedua-dua tayar basikal aku, naikkan beg ke atas rack. Ok siap ! Aku mengajak Zuki menjamu selera dulu kerana aku dah berniat nak belanja dia makan. Selepas itu Zuki akan pulang semula ke Kuala Ping dan aku meneruskan kayuhan melalui Felda Aring ke Chiku.



Untuk laluan kat Felda Aring ni aku tunjuk gambar je lah. Sebab tak ada pemandangan yang menarik selain dari pokok kelapa sawet dan bukit.







Di tengah perjalanan hujan turun dengan lebatnya. Aku teruskan kayuhan kerana bila hujan aku rasa lebih bertenaga untuk mengayuh. Hati mula berbisik ; mana simpang Chiku ni. Perasaan glabah mula menganggu, sebab jam hampir ke pukul 5 petang. Aku kayuh jugak tanpa henti, makin lama nampak kereta makin banyak berselisih, itu tandanya simpang dah tak jauh di depan. Uh uh kayuh laju sikit dan akhirnya aku dah nampak simpang Chiku. Sekarang kena tambah 4 km lagi nak ke Masjid Keputeraan Paloh 2.


Pokok pisang ni ditanam di halaman masjid. Ada beberapa batang pokok di tanam dan semuanya berbuah. Aku memang pelik, sebab tak pernah tengok dan tak pernah tahu wujudnya pokok pisang yang macam ni.


 Buah nya boleh makan ke ? Apa nama pokok pisang ni ? Betul-betul pelik lah.


Aku sampai di masjid hampir masuk waktu maghrib. Terus aku bersihkan diri dah bersedia untuk solat Maghrib dan solat Isyaq berjemaah. Bila habis waktu Isyaq, aku menegur seorang kakak bertanyakan siapa yang menjaga masjid ni. Dia pun memanggil suaminya. Riuh lagi keadaan bertanya itu dan ini. Setelah aku menerangkan situasi aku ketika itu, ahli qariah terus memberi aku ruang untuk berehat di bilik imam. Kunci bilik diberinya aku pegang. Bukan setakat itu ja, ada yang membelikan aku makanan lagi. Terharu sungguh lah.


Dalam bilik imam ada meja, kerusi dan penghawa dingin. Bilik air pun ada. Sangat ok buat aku. Malam ke sembilan berlalu dengan tenang sekali. Alhamdulillah. Zzz

Cerita hari esok..

Wanita tak dibenarkan bermalam di masjid. [DOP]

Cerita semalam

Hari ke lapan - 13/4/2015
Bukit Besi - Kampung Kuala Ping (74 km)

Keputusan aku untuk bermalam di surau tepi jalan tu memang terbaik, sebab sesampainya aku di Bukit Besi aku kena masuk simpang yang menghala jauh dari laluan utama. Masjid dan surau di tepi jalan pun tak ada. Naya ja kalau aku ikut hati semalam.


Aku terus ikut jalan Kuala Berang. Ketika melintas satu jambatan kecik aku memalingkan muka memandang air di dalam sungai di bawah jambatan tu. Teruja betul. Hijau dan jernih. Nampak batu batu kat dasar sungai tu. Kalau ada kawan ni, memang terjun terus. Kalau berkalau.. cit !

tanda lokasi, bila-bila boleh datang lagi


Penghujung jalan ni baru jumpa simpang yang menghubungkan Jalan Bukit Besi -Dungun menghala ke Kuala Berang. Di simpang tu ada banyak gerai makan dan stesyen minyak jadi aku berhenti makan dulu sebelum meneruskan perjalanan.

 Pagi -pagi kena layan trek felda jugak. Bertabahlah.


warna dan bentuk kubah menarik perhatian aku
pelan-pelan kayuh akhirnya sampai jugak
Aku tak berhenti kat bandar Kuala Berang hanya lalu ja sebab baru jam 1330 petang. Nak cari masjid atau surau dulu untuk berhenti rehat. Setelah meninggalkan bandar Kuala Berang aku melalui beberapa buah kampung seperti Kampung Tajin, Kampung Paya Akob, Kampung Matang, Kampung Kepah dan akhir sekali aku berhenti di Masjid Tengkawang. Sewaktu aku sampai di pintu masjid, aku ditegur oleh seseorang sambil memberikan aku ais krim roti, kemudian beliau bertanya tujuan dan ke mana arah aku seterusnya. Beliau adalah guru SMK Matang. Begitu teruja cikgu Abdul Rashid mendengar cerita pengembaraan aku. Bersungguh-sungguh benar beliau nak membantu perjalanan aku. Terima kasih cikgu.


Cikgu Rasyid ni juga seorang traveler, kerana itulah dia memahami kehendak dan keperluan pengembara. Bukan itu saja, cikgu Rasyid sentiasa menghubungi aku untuk mengetahui lokasi dan keadaan aku. Aku pulak yang naik segan dengan keperihatinan beliau. 

Hari semakin petang, oleh kerana aku tak pernah sampai ke kawasan ni, jadi aku tak pasti bagaimana rupabentuk jalan di hadapan. Aku ni cepat cemas dan gelabah tak keruan bila setiap perkara yang sudah aku tetapkan tidak menepati masa atau tidak capai sasaran. Aku cemas kerana tak mahu tanggung risiko yang boleh memudaratkan aku. Sebelum aku lagi gabra, aku kena buat plan kecemasan. Hahaha. Berhenti di masjid Kuala Ping. Masa tu pun dah masuk waktu Asar. Masjid dia besar dan ramai orang. Aku dah garu kepala, camana nak minta izin ni. Pada siapa ? Dah la kawasan kampung, boleh ke mereka terima pengembara wanita, sorang lak tu. 

Masa aku duduk kat tangga masjid ada seorang pakcik menegur. Dari mana nak ke mana ? Terus aku nyatakan tujuan dan hasrat untuk tumpang bermalam di situ. Lepas solat Asar ramai pulak yang datang berkerumun nak tau cerita. Imam tu cakap, terus terang dia tak benarkan tidur di masjid ni atas sebab-sebab keselamatan, kat kawasan situ ramai penagih jadi dia cadangkan tidur di rumah bilal. Bilal tersebut adalah pakcik yang mula-mula menegur aku tadi. Namanya bilal Yaakob. Aku tak ada pilihan selain dari menerima pelawaan bilal Yaakob.



basikal aku kunci di bawah rumah
Aku ni segan lah kalau bermalam rumah orang. Nanti buat tuan rumah sibuk buat itu dan ini. Kesian menyusahkan pulak. Lagi-lagi isteri bilal Yaakob tidak berapa sihat. Beliau tak boleh berjalan akibat belakang badannya ditimpa dahan getah masa umur 26 tahun masa sedang menoreh getah (kalau aku tak silap la. Maaf, ingatan aku dah tak kuat sangat ni. huhu ). Sekarang di rumah ni cuma tinggal pak Yaakob, isteri dan seorang anak perempuan yang bernama Ita.
Masa aku sampai di rumah bilal Yaakob cuma isterinya ja yang ada, anaknya Ita ke bandar Kuala Trengganu. Boleh pulak dia talipon anaknya suruh balik cepat. Ala, lecce la ganggu masa orang.
Lewat petang baru Ita balik. Sembang -sembang sambil minum petang , Ita ajak pergi mandi sungai. Dia pun bercerita, masa banjir dulu rumah dia naik air tenggelam jugak la sampai ke lutut. 





budi baik dikenang hingga mati. Terima kasih daun keladi
Sebelum maghrib, masa duduk kat beranda datang lah jiran dan sorang anak lelaki bilal Yaakob, ada lah bersembang tentang laluan yang akan aku ambil esok hari. Semua menasihatkan aku supaya tidak melalui jalan itu sendirian. Bahaya katanya. Dorang memang tak benarkan langsung. Aku terkedu. Lebih baiklah aku dengar nasehat orang kampung kerana mereka lebih tahu hal ehwal kawasan kampung  mereka. Nak tak nak terpaksalah aku gunakan kuasa magik yang kedua.

Lepas solat Isyaq, kami makan bersama dengan hidangan yang mudah atas permintaan aku. Nasi, ikan bakar , ulam- ulam dan budu. Tak payah susah-susah makcik. Makan macam ni pun dah buat aku makan bertambah. Terima kasih atas layanan terbaik.

*K U A S A   M A G I K  D I A K T I F K A N*

sambungan cerita seterusnya..