Tuesday, September 9, 2014

Celop kaki tanda iktiraf [POT]

Hari ke-11
Gua Musang - Rantau Panjang
Selasa 16hb April 2013

Sudah masuk hari yang kesebelas aku mengembara, perancangan laluan aku untuk hari ke 11 terpaksa diubah sedikit. Sepatutnya kayuhan hari ini bermula dari Jeli, tetapi harus akur dengan perancangan host di jajahan Kelantan kerana Abang Dzulkapri sudah menyediakan plan terbaik untuk aku. ‘I just  follow you..follow you..’
Janji jam 7 pagi nak mulakan perjalanan, tapi 7.40 pagi baru keluar dari rumah. Selepas bersarapan dengan hidangan ringan yang disediakan oleh isteri Abg Dzul, kami bertiga mengemaskan bag masuk ke dalam bonet kereta. Tiga buah basikal dimuat naik ke atas bumbung kereta. Sebelum bergerak, ucapan terima kasih aku kepada isteri Abg Dzul kerana bermurah hati menumpangkan aku bermalam di rumahnya. Alhamdulillah.


Berhenti bersarapan dulu di restoren Kak Zah, seperti biasa pilihan yang ada di negeri Che Siti Wan Kembang ialah nasi dagang pelbagai lauk, nasi kerabu dan nasi lemak. Aku cuma pilih nasi dagang gulai ikan tongkol dan teh tarik ja. Ada juga kuih tradisi rakyat Kelantan yang siap dibungkus kecil-kecil terhidang di atas meja, kalau nak ambil saja, bayar kemudian. Sambil makan aku dengar ja Abang Dzul bersembang dengan kawan-kawannya. Nak menyampuk tak biasa, lebih baik diam, kan ?






RANTAU PANJANG

Perjalanan diteruskan mengikut jalan Meranti - Jelawang - Jeli ke Rantau Panjang ikut jalan kampung Lalang Pepuyu. Hanya penduduk tetap ja tahu jalan potong ni. Jalan yang Abang Dzul bawa memang cantik, memang sesuai untuk mengembara dengan basikal. Abang Dzul ada juga cadangkan aku supaya mulakan kayuhan dari situ, tapi malas lah. Sebab suasananya cantik sangat, nanti lambat sampai ke Rantau Panjang kalau dah asyik berhenti-henti mengambil gambar. Rosak pula program untuk hari ni. Jam 11 pagi kami tiba di pekan Rantau Panjang. Cuaca cukup terang dan panas terik. Abang Dzul bawa aku bersiar-siar untuk melihat aktiviti harian masyarakat di sini. Ahai, memang lah aku suka sangat dan berbesar hati dapat meronda di seluruh pekan Rantau Panjang.






Tempat ni memang syurga pada mereka yang suka membeli belah. Segala macam barang ada dijual dengan harga yang murah. Kalau pandai tawar menawar, pasti untung berbaloi-baloi. Ikut hati memang lah nak beli macam-macam, tapi bila fikir balik apa tujuan aku datang ke sini, terus tertutup nafsu aku ni.
SUNGAI GOLOK
Penjelajahan aku hingga ke tepi Sungai Golok. Sungai Golok adalah sebuah bandar sempadan utama sempadan Malaysia-Thailand di wilayah Narathiwat, Thailand. Aktiviti biasa penduduk kedua-dua belah negara jelas dapat kita lihat di sini. Mereka bebas memasuki sempadan dengan hanya menaiki sampan dengan tambang sebanyak RM1 saja.





Kata Abg Dzul, kalau nak mengelilingi Semenanjung Malaysia, tak sah kalau tak celup kaki ke dalam air Sungai Golok. Ha ha. Abang kawasan jajahan Kelantan sudah buka rekod pengiktirafan. Tak mengapa, baiklah aku ikut saja tuntutannya. Turun lah aku terkedek-kedek  ke pelantar jeti. Nak celup kaki agak leceh sebab aku pakai stokin, malas lah pula nak buka dan pakai semula. Jadi untuk memudahkan cara aku cuma mencelupkan tangan ke dalam air sungai tu. Haa, tu dia tertonggeng-tonggeng aku nak menyampaikan tangan ke permukaan air sungai dan pengiktirafan telah diperakui. Yay !.


Seluruh pekan aku jelajah, termasuklah Kompleks Imigresen Rantau Panjang. Pekan tu tak lah besar sangat, tapi padat dengan kenderaan dari luar yang masuk ke pekan tu.






Matahari tegak di atas kepala. Cuaca cukup panas terik, nak buka mata  luas-luas pun susah, jadi kami berhenti rehat di gerai dalam kawasan hentian bas. Oleh kerana cuaca berbahang, selera makan langsung hilang, kami cuma memesan air saja. Sambil itu boleh juga melihat gelagat masyarakat di sekitar.



Lokasi seterusnya menghala ke pekan Pengkalan Kubor, terletak dalam jajahan Tumpat. Jarak hanya 42km dari Rantau Panjang. Kali ni Abang Dzul  memandu kereta dan aku teruskan berbasikal.
Semasa melalui di sebuah kampung, tak ingat apa nama kampung tu, dari jauh aku nampak beberapa orang budak lelaki sedang seronok mandi dan berenang di sebatang...erm. Entah, nak panggil apa ni ya ? parit, longkang atau terusan ? Kat sini pun boleh...hi hi hi



Teringat masa aku kecil dulu, suka sangat balik kampung sebab nak  mandi kat parit tepi jalan. Zaman tu parit airnya bersih dan jernih tak macam ni, tapi kira boleh lah. Tengahari rembang, kalau dapat terjun dalam air pun nikmat juga. Aku tengok pun jadi seronok. Macam nak jadi budak-budak semula. Indahnya hidup di kampung.

KAMPUNG JAMBU
Aku singgah di Wat Phothivihan. Wat ini adalah sebuah kuil Buddha Thailand di Tumpat, terletak di Kampung Jambu. Ia terkenal dengan  patung Buddha berbaring terbesar di Malaysia. Panjang patung ini 40 meter, dibina pada tahun 1973 dan siap pada tahun 1979. Kos pembinaan sebanyak RM350, 000 telah diperolehi daripada derma serta sumbangan daripada pelbagai persatuan Buddha di Malaysia dan Thailand.



Ambil gambar sekadar perlu, sebab tak mahu buat Abang Dzul menunggu terlalu lama. Apa yang penting, gambar basikal aku mesti ada. Sebenarnya aku takut masuk kawasan Wat ni. Ye lah, ini kan tempat suci bagi penganut Buddha, manalah tahu, kalau aku ada terbuat perkara-perkara yang tidak disenangi oleh penjaganya. Kadang kita tak sedar, bagi kita biasa, tapi bagi mereka salah. Semua tu kena fikir tau. Kata kuncinya ialah ‘hormat’.

BUNOHAN
Kami terpaksa berhenti kerana basikal RP pancit. Untuk tidak membuang masa, Abang Dzul meminjamkan basikalnya kepada RP. Sementara itu aku duduk berteduh depan kedai runcit. Mata terpandangkan papan tanda di seberang jalan. Aku teringatkan satu filem bertajuk ‘Bunohan’. Memang tak tengok pun cerita tu, tapi subjek aku sekarang ni mengenai nama Bunohan itu sendiri. Nama tempat rupanya. Apa yang menarik kat sini ya ? Kejap aku googel. Maaf lah sebab aku tak bertanya sendiri pada orang kampung tu, waktu aku sampai pukul 3.30 petang, mana ada orang duduk kat luar rumah waktu-waktu macam tu. Baik tidur ja dari merayau naik basikal tengah panas buta  macam aku ni kan ? Ahaks.


Ada banyak cerita mengenai Kampung Bunohan ni, tapi aku ambil 1 dari yang banyak-banyak tu. Tempat ni mendapat nama berikutan satu kejadian pembunuhan ngeri yang berlaku pada tahun 1950 dulu. Walau bagaimanapun, kejadian berkenaan bukan dilakukan oleh penduduk dari kampung terbabit, sebaliknya dilakukan oleh penduduk dari daerah lain yang tidak diketahui tentang identitinya tetapi dilakukan di kampung tersebut. Mayat mangsa kemudiannya dihumbankan di sebuah sawah padi di mana di kawasan itu terdapatnya saluran longkang. Memandangkan ketika itu membunuh adalah satu perkara yang dianggap besar, maka mereka menamakan dengan nama Bunohan.

Tadi aku dah jumpa patung Buddha yang sedang baring, kali ni aku jumpa lagi satu patung Buddha sedang duduk pula. Patung tu terletak di dalam Wat Machimmaram ( sitting Buddha). Aku cuma dapat tengok dari jauh ja sebab masa memasuki kawasan Wat, beberapa ekor anjing datang menyalak-nyalak dan mengejar aku. Ho ho ho. owh tidak! Jangan cari nahas. Aku berpatah balik dan sempat tangkap gambar dari jauh ja. Tapi kalau nak tengok apa yang ada dalam Wat ni sila lah mencari di agen carian.


Abang Dzul kata, di Tumpat memang banyak Wat. Ada satu lagi yang bernama Wat Phikulthong Vararam ( standing Buddha). Kalau ikut hati memang aku nak lawat semuanya tapi masa sangat terhad, dapat melawat 2 buah wat pun sudah memadai.

PENGKALAN KUBOR
Pengkalan Kubor ialah sebuah bandar sempadan dan daerah di dalam jajahan Tumpat . Menurut cerita penduduk setempat , pengkalan ini pernah mempunyai banyak kubur orang Melayu satu ketika dahulu. Lagi 2 km saja nak sampai di Komplek Imigresen Pengkalan Kubor. Sabar betul Abang Dzul mengikut aku dari belakang.






Bila sampai saja, Abang Dzul ajak masuk terus ke jeti, masa lalu di kaunter kastam, Abang Dzul meminta izin pada pihak kastam untuk masuk sebentar dengan basikal. Kakak yang jaga kaunter kastam tu tanpa banyak soal memberi keizinan. Whoa ! cam tu ja ? punya la aku gembira, senyum sampai ke telinga. Rasa bangga pula bawa basikal masuk sampai ke jeti. Dari jeti aku dah boleh nampak pekan Tak Bai. Tidak lah jauh mana, memang mudah untuk menyeludup masuk ke dua-dua sempadan negara.






 Terdapat perkhidmatan feri membawa penumpang menyeberangi sungai ke Tak Bai dengan dikenakan tambang yang tertentu. Jadual dan harga tambang feri :



Seperti Rantau Panjang, Pengkalan Kubor juga mempunyai kawasan bebas cukai yang menjual barang-barang, terutamanya pakaian, kasut, beg dan peralatan dapur pada harga yang amat berpatutan. Kawasan bebas cukai ini sebesar padang bola sepak. Ia terletak di tepi muara sungai, bersebelahan dengan Kompleks Imigresen.

PANTAI SERI TUJUH
Kami bergerak menghala ke Pantai Seri Tujuh yang tak jauh dari Pengkalan Kubor. Pantai ni diberi nama Seri Tujuh kerana ada 7 buah teluk yang membentuk lanskap yang menjadi tarikan pelancong. Tempat ni memang meriah, ada pasar malam, ada taman permainan seakan mini ‘fun fair’. Aku kayuh pelahan-lahan di laluan pejalan kaki, sambil melihat gelagat pengunjung di situ. Walaupun bukan cuti hujung minggu, kawasan pinggir pantai tu penuh dengan orang ramai.




Dah jam 6 petang, perut baru terasa lapar, aku singgah beli kacang rebus dan air buat alas perut untuk sementara. Lokasi seterusnya agak jauh sedikit lebih kurang 42 km, jadi Abang Dzul cadangkan semua naik kereta.  Malam ini aku akan bermalam di rumah pusaka Abang Dzul yang terletak di Ketereh. Selesai mandi dan solat, Abang Dzul ajak keluar makan malam.

KETEREH
Ada dua kejadian pada hari itu yang mengerikan. Yang pertama, bila dompet Abang Dzul tertinggal di sebuah surau ketika kami singgah untuk solat Asar. Hingga ke malam, beliau masih tak perasan yang dompetnya tiada. Waktu kami dalam perjalanan keluar makan, Abang Dzul terima satu panggilan talipon dari seseorang yang mengatakan dompet beliau ada pada simpanannya.
Terkejut besar Abang Dzul, dia terus buat janji temu untuk jumpa malam tu juga. Dari Ketereh patah balik ke surau yang terkakhir kami berhenti tadi, aku pun tak ingat apa nama tempat tu. Kerana keletihan sepanjang perjalanan aku bantai tidur. Tak sedar langsung tentang beg dompet sampai lah berhenti untuk makan malam.
Lepas makan, sebaik saja kereta mula bergerak aku tidur lagi. Entah lah, aku rasa  tak mahu melepaskan peluang menggunakan masa yang ada untuk berehat secukupnya.

Berbalik pada kejadian yang kedua, oleh kerana masing-masing sudah terlalu penat, aku dan RP tertidur sepanjang jalan. Lagi ngeri bila Abang Dzul pun mendakwa dia pun tertidur sewaktu memandu. Apa ?!! Kus semangat. Habis siapa yang memandu sehingga ke rumah ?
Abang Dzul tersedar bila dia membelok masuk ke simpang rumah tinggalan keluarganya. Syukur, tiada apa-apa kecelakaan yang berlaku. Aku dapat tahu cerita kedua ni pun bila dah sampai di rumah. Abang Dzul senyum dan ketawa kecil bila RP bercerita. Haihs, misteri sungguh.

Malam tu, Abang Dzul dan RP tidur di ruang tamu. Aku tidur dalam bilik, tetapi pintu bilik aku tak tutup. Aku rasa cuak nak tidur dalam bilik yang tertutup. Rumah pusaka Abang Dzul besar. Ada 5 buah bilik kalau aku tak silap. Dah lah rumah lama tinggal, masa masuk tadi pun aku tak bagi salam. Orang tengah mengantuk, mana ingat semua tu, yang aku tau nak tidur saja. Bila dah baring, mata memandang atap rumah barulah  fikir dan dengar macam-macam bunyi. Kali ni aku baca doa lebih sikit dari biasa. Bismillahirrahmanirrahim, ayat qursi, pejam mata dan berzikir hingga lena. Zzz…

Info kayuhan hari ke 11 :
Jarak kayuhan : 47.4km
Masa : 11 pagi- 6.00 petang

No comments:

Post a Comment