Wednesday, September 10, 2014

Laluan Pantai Timur [POT]

Hari ke -12
Ketereh - Kampung Raja
Rabu, 17hb April 2013

Subuh tu, aku dengar lantai papan berbunyi- bunyi tanda orang berjalan. Aku malas nak buka mata sebab aku tunggu jam loceng berbunyi dulu baru aku bangun. Abang Dzul dan RP dah bangun pergi ke masjid. Eh, ye ke.. ? maknanya aku tinggal sendirian la dalam tempoh tu. Gulps ! Tidak lah aku bertanya-tanya sampai lah jam berbunyi kemudian baru aku bangun dan mengemaskan tempat tidur serta baju masuk ke dalam beg. Nak mandi tak da air, pam air di rumah tu rosak, maka pagi tu aku cuma cuci muka dan gosok gigi ja. Tak apa lah bukan kotor pun, bukan berbau pun. Sapu ja minyak wangi banyak-banyak. Macam lah tak biasa, kan ? Sebelum keluar rumah, aku sempat mengambil gambar barang-barang lama seperti cermin muka, sikat dan dua bekas alat solek . Antik kan? Sayang rasanya kalau ditinggalkan terbiar macam tu ja. Sangat bernilai dan tak akan jumpa benda-benda yang macam tu dah zaman sekarang.


Hari ni Abang Dzul akan bersama-sama mengayuh basikal hingga ke Kampung Raja. Kereta ditinggalkan di rumah ni, kerana kata Abang Dzul ia lebih selamat. Jam 7.30 pagi mula bergerak keluar untuk menuju ke Nilam Puri.


Kami singgah bersarapan dulu di restoren nasi kerabu. Memang popular nasi kerabu di situ, daging salainya sedap. Abang Dzul memesan daging salai satu pinggan. Bila tak habis bungkus dalam plastik buat bekal. Pengembara memang begitu, tak akan membazir pada rezeki, apa yang ada dibungkus buat makan dalam perjalanan.




MASJID KAMPUNG LAUT
Untuk sampai ke sini tidak lah jauh dari restoren nasi kerabu (aku main agak-agak ja). Ianya terletak bersebelahan dengan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan di seberang jalan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Nilam Puri.
Di sinilah terletakknya  Masjid Kampung Laut yang dipercayai usianya melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan dengan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, Masjid Kampung Laut turut disenaraikan antara masjid paling "bersejarah" di Asia Tenggara. Masjid asal ini dibina tanpa menggunakan paku, cuma menggunakan teknik pasak.




Dulu, masa pertama kali aku tengok gambar masjid ni, hati aku terus melonjak-lonjak nak datang ke sini. Dengan tercetusnya idea mengembara dengan basikal, aku masukkan sekali lokasi wajib singgah. Tercapai juga hasrat aku, alhamdulillah.

BACHOK
Aku sudah memasuki kawasan Pantai Timur, di mana untuk hari-hari berikutnya, aku akan melalui kawasan pesisir pantai. Setiap hari aku akan menikmati pemandangan laut, kapal nelayan dan pokok nyiur yang melambai-lambai di tiup bayu laut.
Pantai yang pertama aku nak singgah adalah Pantai Irama, untuk menuju ke sana aku melalui jalan yang kurang dilalui oleh pengembara berbasikal tempatan, kecuali pengembara dari luar negara. Abang Dzul bawa ikut jalan mukim Gunong. Di situ terletaknya Tengku Mahkota Kelantan Endurance Training Center. Luas sungguh kawasan tu, dari tepi jalan aku dah boleh nampak beberapa ekor kuda sedang dilatih, ada juga yang dibiarkan lepas bebas meragut rumput di kawasan padang.




GUNONG
Kayuh punya kayuh tersesat juga, Abang Dzul ajak singgah di sebuah warung untuk berteduh dari terik matahari. Sambil-sambil tu bertanyakan arah jalan menuju ke jalan pantai. Kalau dah singgah, takkan duduk bebual kosong, pesan lah air segelas. Abang Dzul lah yang jadi juru cakap, aku ni tukang dengar saja, tak sesuai rasanya nak menyampuk. Lagi elok aku tangkap gambar kuda ni. Orang Gunong ni hebat-hebat belaka, kita di Selangor jangan bermimpilah nak bela kuda, tapi mereka bela kuda main tambat tepi rumah ja. Hebat tak ?


Air pun dah habis, Abang Dzul ajak sambung semula perjalanan. Dia kata, harus berpatah balik kerana tersilap masuk simpang. Sepanjang perjalanan, aku hanya melihat pemandangan jalanraya yang serabut. Serabut dan semak dengan bendera parti yang digantung dan ada juga yang jatuh dan bersepah-sepah menjadi sampah. Ini lah musim pilihanraya umum. Bendera parti penuh di sepanjang jalanraya. Aku rasa semak mata aku memandang.



MUKIM RUSA
Aku tak tahu jalan mana yang Abang Dzul bawa, aku hanya  mengikut dari belakang saja, dan sepanjang perjalanan itu aku cuba menyimpan segala apa yang aku lihat sebaik mungkin.
Di jajahan Bachok ni banyak gerai-gerai kecil yang menjual tuak. Pada mulanya aku agak was-was, orang Kelantan minum tuak ? tapi bila tengok dari segi rupa air yang dalam botol tu seperti biasa aku lihat. Banyak lah persoalan yang bermain di minda aku. Tiba-tiba Abang Dzul berhenti di depan sebuah gerai ‘tuak’.




Aha ! peluang baik buat aku untuk mengetahui apa sebenarnya ‘tuak’ ni.
Menurut Abang Dzul, orang Kelantan memanggil air yang keluar dari mayang kelapa ialah ‘tuak’. Orang di negeri-negeri lain akan panggil dengan panggilan ‘nira’, iaitu minuman yang dihasilkan dari mayang kelapa yang kandungan gulanya belum bertukar kepada alkohol. Kelantan popular dengan tuak kelapa. Rasanya memang sedap dan manis. Air tuak yang sudah lama akan bertukar menjadi cuka asli untuk digunakan dalam masakan. Di Malaysia terdapat tiga jenis tuak yang diketahui, iaitu tuak beras, tuak kelapa dan tuak nipah.


Lokasi gerai kecil ini di kawasan Mukim Rusa, Jelawat dalam jajahan Bachok.
Abang yang menjual air tuak ni siap suruh kami merasa 2 jenis air tuak, satu tuak kelapa yang biasa, lagi satu diambil dari kelapa pandan. Memang ada rasa beza pada keduanya. Tuak dari kelapa pandan berwarna agak gelap, sangat manis dan ada rasa aroma daun pandan. Sedap memang sedap lebih-lebih lagi bila minum di waktu cuaca panas terik dan dicampur dengan ais. Perggh ! memang terbaik.

Bukan hanya disuruh merasa, tetapi abang tu siap menerangkan bagaimana proses menghasilkan air tuak. Biasanya tuak ini dihasilkan dari menyadap mayang kelapa/nipah. Mayang kelapa atau nipah sekiranya dibiarkan akan menjadi buah, akan dipotong dan air manis yang menitik dari tandan yang dipotong itu akan dikumpulkan dalam bekas, biasanya bekas buluh, tapi sekarang mereka menggunakan botol-botol plastik saja.



PANTAI IRAMA
Perjalanan seterusnya menuju ke Pantai Irama. Kami sampai sekitar jam 12 tengahari. Pantainya jika dijaga kebersihannya pasti lebih cantik. Terlalu banyak sampah. Hrm, kotornya. Tak ada selera la nak duduk lama-lama kat sini.






Dari Pantai Irama kami bergerak melalui jalan kampung, jalan yang hanya muat dilalui dengan sebuah kereta saja. Jalan kecil yang berhampiran dengan pantai. Suasana tenang, redup dan damai sekali. Sekali-sekala berselisih dengan anak-anak yang baru pulang dari sekolah, ada yang menaiki motosikal, berbasikal dan berjalan kaki. Ada juga yang melambai-lambaikan tangan kepada kami. Comel ja.





Semakin lama semakin masuk ke lebuhraya pesisir pantai Melawi -Tok Bali yang sedang dalam pembinaan. Memandangkan hampir masuk waktu Zohor, Abang Dzul mengajak untuk berhenti solat di Masjid Mukim Kuala Melawi dulu. Kata Abang Dzul, dulu sebelum masjid baru dibina, Tok Bali pernah menjadi guru mengajar di pondok pengajian yang terletak di sebelah masjid tersebut. Tapi sekarang bangunan tu dah terbiar. Lepas solat, aku ambil peluang untuk menjenguk bangunan yang diceritakan. Perlahan-lahan aku naik ke tingkat atas bangunan tu. Kosong, bersepah dan agak suram sedikit. Seram rasanya, cepat-cepat aku turun sebelum orang kata aku menceroboh pula.





KAMPUNG TALONG
Cuaca mendung, langit gelap menandakan hujan akan turun bila-bila masa saja. Makin jauh masuk ke dalam kampung, makin sunyi rasanya, lagi-lagi mengikut jalan baru diturap, dengan batu kerikilnya, dengan tanah merahnya, lagi lah aku lambat mengayuh basikal, tu yang asyik tertinggal jauh di belakang.


Kayuh dan kayuh lagi, sampai lah aku ke Kampung Talong, Abang Dzul membelok dan menuruni ke jalan tanah merah sebelah jambatan baru. Katanya mahu berhenti makan tengahari. Kawasan ni dalam pembinaan, maka banyak lah lori dan pengorek tanah diletakkan di kiri kanan jalan. Aku perlu berhati-hati mengelak jalan tanah merah yang berlobang-lobang dan berlopak.
Sebaik saja sampai di warung yang terletak di tepi sungai, hujan lebat pun turun mencurah-curah. Anak-anak pemilik warung meluru keluar bermain dengan air hujan. Melompat-lompat  dan berlari-lari dalam hujan lebat tu. Seronok betul aku tengok  gelagat mereka. Mak ayahnya tak terkata apa-apa dah, cuma memandang dari dalam warung sambil gelengkan kepala.


Rezeki kami hari tu memang tak ada, menu untuk makan tengahari sudah habis, perut memang tengah lapar. Kami pesan air panas dan makan jajan yang ada dijual di situ. Aku terfikir tentang maggie. Saja tanya, maggie ada tak bang ? kalau ada boleh tak masakkan kami meggie ? Pemilik warung mengangguk-anggukkan kepala. Bila dia kata ada, masing-masing muka yang monyok terus tersenyum meleret. Alhamdulillah, ada juga rezeki.



Nah ! tu dia. Udang segar baru tangkap dari laut. Besar- besar pula tu. Kali pertama makan maggie paling sedap. Selak udang baru nampak mee. Tidakkah ia sangat menyelerakan ?
Lama juga kami berhenti rehat, walaupun hujan  gerimis kami ambil keputusan untuk teruskan perjalanan.

TOK BALI
Aku dah sampai di Tok Bali, pelabuhan kecil perikanan laut dalam  yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Kota Bharu. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ia telah menjadi lokasi berlepas alternatif bagi pelancong ke Pulau Perhentian selain dari lokasi berlepas utama di Kuala Besut. Sumber utama pendapatan orang-orang kampung ni adalah menangkap ikan dan industri perlancongan, kerana itu kerajaan negeri telah membina replika kapal nelayan di persimpangan sebelum melintasi jambatan Tok Bali. Aku fikirkan replika tu dibina menggunakan kayu, tetapi dibuat dari simen dan konkrit. Sempat lah memanjat naik atas kapal tu untuk bergambar.





PANTAI BISIKAN BAYU
Ini Pantai Bisikan Bayu atau nama lain Pantai Dalam Rhu. Menurut kisahnya, bayu lembut yang bertiup ke pohon cemara yang berbaris di sepanjang pantai, menghasilkan bunyi gemersik, bunyinya seperti bisikan yang menenangkan. Entahlah, mungkin aku patut bermalam dan berkhemah di tepi pantai dulu baru boleh tau kebenarannya.



Perjalanan terhenti lagi kerana besi ‘rack’ meletak bag RP patah. Mungkin kerana hentakan sepanjang jalan dan barang melebihi muatan menyebabkan ia patah. Untuk sementara waktu RP mengikatnya dengan getah tiub basikal.



SEMERAK
Ada banyak kampung di sepanjang pantai di sini, antaranya Kampung Semerak, kalau berbasikal di sini memang mengujakan. Toleh kanan kawasan rumah dan kebun. Lalu bawah pokok-pokok kelapa, redup ja. Toleh ke kiri pemandangan laut lepas yang membiru, boleh rasa tiupan angin yang menghembus ke muka ketika mengayuh basikal. Memang sentimental sekali.




 Tiba di satu kawasan, di mana aku lihat keadaan rumah-rumah mereka begitu dhaif sekali. Macam pondok buruk ja, macam reban ayam pun ada. Beberapa orang kanak-kanak yang comel dan lusuh pakaiannya sedang bermain-main di tepi jalan. Ada yang berkaki ayam, ada juga yang lari menyembunyikan diri bila nampak aku memanggil-manggil mereka. Aku berhenti sebab nak mengambil gambar, kemudian aku teringat, aku masih ada simpan gula-gula pemberian Kudean. Jadi aku keluarkan gula-gula dan bahagi-bahagikan pada mereka. Bila dah berbual-bual dengan kanak-kanak tu, baru aku tahu dari lenggok slang bahasa yang digunakan adalah bahasa Thailand.  Mereka bukan penduduk tempatan tapi  mereka ni pendatang yang menetap dan mendirikan perkampungan di pesisir pantai. Kalau salah, aku minta maaf. Ini hanya dari sedikit maklumat yang aku tahu.





PANTAI SABAK
Di Selangor ada nama tempat Sabak Bernam, di Kelantan juga ada tempat bernama Pantai Sabak. Kawasan ni mempunyai sejarah tersendiri. Dikatakan dahulu, di sinilah tentera Jepun mula mendarat di  tanah Malaya semasa Perang Dunia II. Ia berlaku pada malam yang bersejarah 8 Disember, 1941, apabila tentera Jepun mendarat di pulau kecil yang di muara Sungai Pangkalan Chepa (Kuala Pak Amat).

 Kubu pertahanan ni diperbuat daripada simen konkrit, yang mampu menempatkan 9-12 tentera Punjabi dari India, dan bertindak sebagai benteng semasa Perang Dunia II. Tetapi sejak kebelakangan ini tingalan sejarah ini telah dimusnahkan oleh hakisan laut. Kubu ni aku lihat telah dicat semula, di bahagian dalamnya sedikit kotor dengan sampah sarap. Tempat ni agak terbuka kerana hanya terdapat sedikit pokok-pokok rhu yang tumbuh di tepi pantai. Patut lah kawasan mudah terhakis.




Sebentar lagi aku akan memasuki Kampung Pantai, daerah Kuala Besut. Tempat- tempat yang aku ceritakan ni semuanya berada dalam satu laluan di sepanjang pantai. Tanda persempadanan antara Kelantan dan Trengganu pun tak ada, atau mungkin ada, tapi aku tak tahu. Di sini, rumah-rumah kos rendah dibina dekat sangat dengan pantai. Bila dah rapat dan padat, keadaannya seperti setinggan di pinggir laut. Bagaimana lah agaknya kalau tiba musim tengkujuh. Pokok-pokok kelapa atau rhu untuk menghadang angin tak ada, tebing penahan ombak pun tak ada. Bahaya sungguh aku tengok keadaannya.
Kesimpulannya, laluan Kg Semarak (Pasir Putih) ke Kg Pantai  (Kuala Besut) dan menembusi pekan Kuala Besut memiliki pemandangan yang sangat-sangat la menarik. Rugilah jika kita tidak mengambil peluang menikmati alam semulajadi yang ada dalam negara sendiri.


KUALA BESUT
Nah, sudah tiba di negeri Terengganu Darul Iman. Negeri yang mempunyai sumber petroleum yang menjadi penyumbang pendapatan negeri Terengganu. Terkenal juga dengan makanan tradisional seperti keropok lekor dan nasi dagang.
Sekitar jam 6 petang, kami baru sampai di Kampung Kuala Besut, terus saja menuju ke restoran berhampiran jeti Kuala Besut. Dapat lah berehat sekejap sambil makan keropok lekor yang dihidang panas-panas. Berhadapan dengan restoren tu ada lapangan awam, ada wakaf yang dibina untuk  penduduk kampung beriadah. Pemandangan di sekitar situ pun cantik dan bersih.





Malam ini masih tak tahu nak bermalam di mana. Abang Dzul sibuk menghubungi kawan-kawannya bagi mencari maklumat lokasi. Akhirnya seorang kawannya mengesyorkan untuk menginap di Komplek Rakan Muda Kampung Raja. Setelah membayar harga makanan,
kami bergerak menuju ke lokasi yang jaraknya 6.5km dari jeti. Dalam gelap malam, kami berhati-hati menyelusuri jalanraya yang banyak dengan kenderaan. Setiap lorong lorong dan simpang kurang jelas kelihatan, berkali-kali juga bertanya arah jalan. Akhirnya sampai juga walau pun badan dah letih hingga bawa basikal pun terhoyong hayang.

KAMPUNG RAJA 

Komplek Rakan Muda, selama ini aku tak pernah tahu tempat ini terbuka untuk umum. Banyak kemudahan yang disediakan dengan bayaran yang tertentu. Kemudahan-kemudahan yang ada di sini seperti asrama, dewan, bilik mesyuarat, bIlik kuliah, gelanggang permainan dan lain-lain. Kami bertiga diberikan tempat menginap di bilik asrama. Harga untuk 1 malam ialah RM7 seorang, dan diberikan cadar dan sarung bantal.


Mujur dah sampai ke tempat penginapan, kerana sekali lagi basikal RP pancit. Tak mengapa, ada masa yang panjang untuk membaikinya. Untuk tidak membuang masa, aku meminta RP untuk tolong menguruskan pembayaran penginapan sementara Abang Dzul pergi membersihkan diri dan aku pula menjaga basikal. Setelah selesai, aku tanya berapa harga untuk seorang, RP cuma menjawab ‘tak pe semuanya dah dibayar menggunakan duit kelab. Aku tercengang. Duit kelab mana pulak, sedangkan pengembaraan aku tidak bernaung dan tidak ditaja oleh mana-mana kelab. Aku terus mengeluarkan wang RM10 dan terus beri ke tangan RP. Terima kasih dan minta maaf, prinsip aku tetap, selagi aku mampu, aku akan guna duit sendiri.

Sebelum diberi kunci bilik, ada satu insiden histeria yang berlaku di surau Komplek Rakan Muda tu. Masa itu waktu maghrib menjelang Isyak, aku nak mandi di tandas bersebelahan dengan surau tersebut. Sedang aku menyiapkan barang keperluan untuk mandi, tiba-tiba aku dengar suara budak perempuan menjerit-jerit, diikuti dengan suara kawan-kawannya yang lain, bukan setakat menjerit, tapi turut menangis-nangis. Meremang bulu roma aku. Langsung tak jadi nak pergi mandi.
Dalam keadaan riuh rendah, datanglah seorang ustaz menenangkan keadaan. Aku dapat tahu yang mereka mempunyai program qiamullail 2 hari 1 malam di sini dan pelajar perempuan tersebut pertama kali berjauhan dengan keluarganya. Mungkin itulah punca agaknya.

Keadaan sudah pun reda, tapi minda jahat aku pula dengan sengaja membayang-bayangkan perkara yang mengerikan. Ah ! sudah lah tandasnya banyak yang rosak, gelap dan menyeramkan. Terdengar pula bunyi air menitik, tap tap tap. Nak mandi pun rasa tak selesa. Akhirnya aku gunakan tandas lelaki untuk mandi. Ketika mandi, aku ada la terdengar macam-macam bunyi dalam tandas tu, tapi aku buat tak tau ja. Cepat-cepat aku mandi, bersiap dan keluar dengan muka tenang.
Aku diberikan bilik bersebelahan dengan bilik Abang Dzul dan RP. Sebelah bilik aku adalah tandas, memang selesa dan aku rasa sangat selamat. Bilik ni besar ada 3 buah katil dan almari pakaian. Memang seronoklah tidur, tapi bila teringat semula kisah histeria tadi buat aku mula rasa cuak. Malam ini aku tidur ditemani basikal kesayangan dengan semua lampu aku pasang. Hah, terang benderang. Cukup puas hati. Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzzz




Info kayuhan hari ke 12 :
Jarak kayuhan : 100km
Masa : 7.30 pagi - 8.30 malam

No comments:

Post a Comment