Sunday, September 7, 2014

Sakit ? Tak ! saya dah besar [POT]

Hari ke- 10
Tasik Banding - Jeli- Gua Musang
Isnin 15hb April 2013

Seperti hari-hari sebelumnya, aku akan bangun seawal yang boleh, walaupun di saat itu, berada di dalam ‘sleeping bag’ adalah perkara yang sungguh enak sekali. Aku paksakan diri untuk bangun walaupun badan terasa sakit-sakit akibat tidur di atas bangku simen.
Hari ini aku akan menghadapi satu lagi kecuraman pendakian melalui Banjaran Titiwangsa. Sebelum itu kena isi perut dulu bagi menambah tenaga yang akan digunakan ketika mendaki nanti. Gerai dan restoren  belum beroperasi lagi pagi-pagi ni, jadi aku kena lah masak nasi. Boleh lah buat alas perut buat sementara.



Cuaca pagi tu memang cantik, langit biru dan cerah. Sementara menunggu RP berkemas aku dorong basikal hingga ke tepi tasik dan membelakangkan lanskap tasik serta banjaran gunung ganang untuk aku rakamkan panorama yang sangat menarik. Subhanallah, hanya dengan sebuah basikal, aku mampu ke sini. Walaupun jauh, berkat kegigihan dan kesabaran, akhirnya sampai juga. Tasik Banding ni lokasi untuk kaki pancing. Bukan itu saja banyak aktiviti yang disediakan antaranya melawat ke penempatan orang asli, melihat kawasan bunga reflesia, berkayak dan banyak lagi. Aku tinggalkan tasik ini dengan senyuman, kerana perjalanan aku mesti disambung semula.


Berbasikal setiap hari membuatkan jiwa aku semakin selesa dan bebas, seolah-olah sudah menjadi rutin hidup untuk terus  berbasikal. Seronoknya. Dihadapan nanti ada lagi satu cabaran yang mesti dihadapi. Pendakian yang curam sehingga ke kawasan rehat dan rawat Titiwangsa. Sejak keluar dari jeti Tasik Banding, kayuhan sudah menjadi semakin berat, makin lama kayuhan aku makin perlahan. Aku cuba kawal pernafasan, supaya degupan jantung tidak terlalu laju. Tenangkan fikiran, fikir yang seronok dan baik-baik saja. Bila nafas hampir putus aku terpaksa berhenti.






Bila nafas dah stabil sambung semula kayuhan dengan perlahan-lahan. Agak-agak terasa macam dada nak pecah aku berhenti lagi dan lagi. Bila mau sampai daa. Tapi tak mengapa, biar lambat asal selamat. Aku berhenti di hentian rehat dan rawat di pertengahan banjaran. Hentian itu memang tempat untuk pemandu lori berhenti rehat untuk makan dan solat. Ada disediakan sebuah surau kecil yang di kelilingi taman kecil. Dapat lah aku lelapkan mata sementara menunggu RP solat dhuha.




RnR TITIWANGSA
Kembali meneruskan perjalanan. Orang kata laluan Grik-Jeli lah yang paling mencabar, jika mengelilingi semenanjung Malaysia pastikan dapat merasa kenikmatan pendakian di sini. Rasa macam tak sempurna kalau aku tak melalui jalan ni. Jadi, seboleh-bolehnya aku mesti hadapi segala kepayahan di sini. Ternyata, laluan di sini memang terbaik.







Hampir jam 2.30 petang, nampak lah papan tanda kawasan rehat Titiwangsa. Fuh, lagi sikit nak sampai, aku tingkatkan kayuhan aku, laju sedikit daripada biasa dan akhirnya sampai juga. Alhamdulillah. Cantik dan luas mata memandang pemandangan di atas puncak banjaran ni. Gunung ganang nampak berbalam-balam dari jauh. Di ketinggian 2,100 meter dari aras laut terasa angin bertiup agak kuat sikit. Hentian ni menyediakan tempat  makan, berehat dan tempat untuk bersolat, kerana itu tempat ni sentiasa sesak.


Aku berhenti makan tengahari dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Jeli.Yang pastinya selepas ini aku tak perlu mendaki lagi. Persiapkan diri untuk meluncur laju. ~wee
Masanya telah tiba, 29km dari hentian Titiwangsa basikal aku meluncur  laju dan laju sangat. Aku perkemaskan pegangan ‘handle’ supaya tidak goyang, jalan raya kosong jadi aku lebih berani untuk membiarkan basikal aku tanpa menggunakan brek. Kalau anda di luar sana dapat rasa seperti apa yang aku rasa saat itu, mesti akan tersenyum puas.




EMPANGAN PERGAU

Ketika aku memasuki negeri Kelantan, cuaca di sempadan Kelantan/Perak ketika itu mendung dan hujan gerimis. Pada aku bukan lah masalah besar, redah saja. Aku suka suasana menuju empangan Pergau. Kiri kanan jalan diapit oleh pokok-pokok yang menghijau. Redup dan sejuk mata memandang lanskap yang begitu.


Dari jauh dah boleh nampak empangan Pergau, empangan hidroelektrik utama di Kuala Yong dan yang terbesar di Malaysia.






HOT SPRING
Aku tak perlu untuk mengayuh basikal kerana jalannya menurun saja, tangan mengendalikan ‘handle’ dan brek, mata bebas menikmati pemandangan. Sebelum sampai ke daerah Batu Melintang, aku berhenti sebentar di kawasan kolam air panas Jeli. Keadaan kawasannya tidak berjaga, dan papan tanda arah pun tidak jelas. Nak masuk ke tak nak ? tengok keadaan yang menyeramkan aku batalkan hasrat untuk masuk. Fakta menarik tentang kolam air panas di Jeli ini adalah dikatakan bahawa kolam air panas ini termasuk dalam carta yang terpanas sekali dan mempunyai nilai kesihatan yang baik kerana kandungan sulfurnya yang sangat tinggi. Tempat ni kurang menjadi perhatian kerana tiada pengangkutan bas awam kecuali jika kita menyewa teksi .




Perjalanan di teruskan hingga sampai ke  batu tanda “Selamat Datang ke Kelantan’. Kelantan menjadi negeri ke 5 dalam pengembaraan aku, negeri yang  kaya dengan sumber asli. Selain itu dahulunya, Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah.




GUNUNG RENG
Nun di hujung sana aku nampak sebuah bukit yang begitu unik. Hati tertanya-tanya, bukit ke gunung ? Ada beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di tepi jalan, jadi aku berhenti dan bertanya, adik tau tak apa nama tempat tu, sambil menunding jari ke arah bukit tersebut. Adik tu jawab dalam lorat Kelantan , Gunung Weng.
Aku kurang jelas, dan bertanya untuk meminta kepastian.Ha ? Weng ? dia mengangguk kepala. Tak pe balik nanti aku carik kat internet, bisik dalam hati.



Gunung ini menyimpan sejarah yang memilukan. Walau bagimanapun, kini tempat tersebut sudah menjadi pusat pelancongan dan rekreasi. Yang sebetulnya nama tempat itu Gunung Reng, adakah aku yang silap dengar atau adik tu salah sebut. Atau mungkin sebutan W dan R hampir sama, lagi-lagi dalam slang Kelantan. Aku yang kurang faham agaknya. ngEE!


 Langit kelihatan gelap dengan awan hitam yang berkumpul. Menyeramkan, seolah-olah hendak menelan seluruh kawasan itu. Aku rasa, hujan lebat akan turun tidak lama lagi. Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Dah tak jauh lagi rasanya untuk sampai ke pekan Jeli.



Di Jeli hujan turun dengan  selebat-lebatnya, tapi aku tetap mengayuh. Siraman air hujan dan simbahan air dari tayar kereta dah tak menjadi masalah pada aku. Aku teruskan kayuhan walau badan sudah basah kuyup. Jarak pandangan semakin teruk sekali. Di hadapan aku ada sebuah jambatan, aku mesti berhati-hati melaluinya kerana jambatan tu terlalu sempit. Hujan terus turun, air hujan memenuhi atas jambatan hingga menengelamkan laluan. Keputusan aku untuk mengambil laluan yang paling tepi di atas jambatan mengundang kecelakaan, di mana tayar basikal termasuk dalam longkang kecil di bahu jalan  mengakibatkan aku hilang imbangan lalu tumbang ke bahu jalan. Aku hanya sempat menahan dengan lutut supaya basikal tidak jatuh terus.Trajedi di Jeli, aku tergolek. Habis seluar koyak, lutut luka. Owh minta maaf pada Abg Syaaban, bendera miliknya yang aku pinjam patah lagi.
Penutup lampu belakang basikal tertanggal. Mujur tiada kenderaan lain yang lalu ketika itu.
Cepat-cepat aku bangun dan memeriksa basikal, bimbang ada yang patah atau rosak. Alhamdulillah semuanya dalam keadaan yang baik. Dengan muka selamba, aku terus mengayuh basikal. Hi hi hi. Sakit ? hrm..tak ! Saya dah besar.
Kayuh tetap kayuh, hujan panas aku redah juga. Aku perasan setiap pemandu kereta yang berselisih dengan aku memandang dengan senyum sinis. Pasti mereka fikir aku ni buat kerja gila. Hujan-hujan pun nak kayuh basikal. Pada aku, alang-alang dah basah, biar basah terus. Kalau berhenti pun mesti sejuk menggigil dan kaki akan krem. Percikan air dari tayar kereta dan lori sudah menjadi keseronokan pula, habis tersimbah satu badan. Mandi percuma hari ini. Layankan saja.

JELI
Destinasi akhir untuk hari ini adalah di masjid Jeli. Dalam kepala otak aku cuma nak mencari masjid saja. Setiap pekan dan bandar mesti ada masjid, jadi ia pekerjaan mudah bagi aku. Lagi beberapa minit saja lagi nak masuk waktu maghrib, akhirnya aku tiba di masjid Jamek Jeli. Basah kuyup lencun, menggigil-gigil aku menahan kesejukan. RP meminta izin pada penjaga masjid untuk tumpang membersihkan diri dan bermalam di ruang legar masjid. Alhamdulillah, mereka membenarkan. Tiba-tiba talipon aku berbunyi, panggilan dari Abang Dzulkapri Hakim bertanyakan lokasi aku berada sekarang. Beliau mengatakan beliau dalam perjalanan ke situ.

Hrm, siapa ni ya ? Sesungguhnya mereka yang menyambut aku di setiap negeri memang aku tak pernah kenal. Terima kasih pada admin ‘page’ POT yang sentiasa memantau perjalanan dan lokasi aku, dari situ lah rakan-rakan setiap negeri mengikuti perkembangan perjalanan aku dan bermurah hati untuk membantu dan bertemu dengan aku. Syukur.
Hujan lebat terus turun tanpa henti. Aku dah siap membersihkan diri. Barang-barang yang basah aku keluarkan untuk dikeringkan. Tak lama kemudian Abang Dzul pun sampai. Aku memang tak kenal, main agak-agak dan senyum saja lah. Dia datang bersama isterinya. Terasa segan dan malu, kerana menyusahkan mereka. Aku tak kesah untuk tidur di mana-mana pun, ianya lebih selesa. Bila aku tanya dia datang dari mana ? jawabnya Gua Musang. Gulps ! ohoi 116km tu. Jauhnya datang.


GUA MUSANG
Selesai menunaikan solat Isyak, basikal pun dinaikkan ke atas bumbung kereta. Jam 9.00 malam, kereta bergerak menuju ke Gua Musang. Aku dah tak larat nak buka mata. Terlelap terus, sekejap-sekejap aku terjaga, tapi masih tak sampai lagi. Letih. Abang Dzul membawa aku pergi makan, tapi aku tak ingat aku makan apa sebab memang mengantuk sangat.
Entah jam berapa kami sampai di rumah Abg Dzul. Aku minta izin untuk membasuh pakaian kotor. Selesai membasuh aku jemur di bawah kipas. Isteri Abg Dzul menyuruh aku tidur di dalam bilik anaknya. Dapat gak aku tidur atas tilam empuk. RP dan Abang Dzul masih terus berbual di dapur. Tenaga aku sudah berada di paras 0, tak larat nak ikut serta. Aku set jam di talipon, kemudian aku pun tidur.
 Bismillahirrahmanirrahim. Zzz

Info kayuhan hari ke 10 :
Jarak kayuhan : 95.44km
Masa :8.00 pagi- 7.30 malam

No comments:

Post a Comment