Thursday, September 11, 2014

Penembak curi keluar dari persembunyian [POT]

Hari ke- 16
Kuantan- Pekan - Nenasi
Ahad 21hb April 2013 

Jam 7.00 pagi, aku keluar dari bilik menuju ke lobi, Abang Zaini sudah sedia menunggu dengan basikal Polygon Hybrid dan ‘seat’ Brooks nya. Brooks lagi ? haihs. Sebelum itu, aku dibawa melawat di sekitar kawasan kem. Luas juga kawasan kem ni, siap ada kelab basikal mereka sendiri. Dari Kem Bukit Galing kami menuruni bukit  hingga memasuki bandar Kuantan, seterusnya menuju ke Kampung Tanjung Api untuk bersarapan pagi. Sempat juga aku mengambil gambar jeti bot nelayan yang terletak di sebelah restoren tempat kami makan.




Dari Tanjung Api, kami menghala ke jambatan Tanjung Lumpur, jambatan yang merentangi sungai Kuantan dibina bagi memudahkan perjalanan penduduk di perkampungan nelayan  Tanjung Lumpur dan Peramu yang dulunya terpaksa menaiki bot untuk ke bandar ini.
Jambatan itu juga berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pemandu kenderaan yang hendak ke Pekan, Rompin atau Johor Bahru selain menggunakan Jalan Gambang.


PANTAI SEPAT- KUALA PENOR - CHEROK PALOH
Tanjung Sepat atau lebih dikenali sebagai Pantai Sepat adalah sebuah perkampungan nelayan Melayu biasa yang terletak kira-kira 10 km dari Kuantan dan terletak dalam perjalanan ke selatan untuk bandar diraja Pekan. Dari Kuantan, ia boleh diakses melalui Jalan Abu Bakar  dan merupakan cara alternatif untuk ke bandar diraja Pekan. Pantai ini terkenal di kalangan penduduk tempatan kerana tempat ini tenang dan tenteram.



Aku suka ikut laluan pesisir pantai dan jalan kampung, redup dan nyaman saja. Tak banyak kenderaan yang lalu. Abang Zaini dah jauh di hadapan, di satu-satu tempat dia akan berhenti menunggu. Aku  mengayuh dengan kayuhan paling sederhana, sekali-sekala memegang ‘handle’ bar dengan sebelah tangan, itu maknanya ‘dalam hati aku ata sunyum’.


Dari belakang RP memberitahu aku yang beliau nampak ada seorang jurukamera bermotosikal yang mengikut sepanjang perjalanan aku.


Sangkaannya itu adalah jurukamera akhbar. Ha ha, mengarut ja. Aku buat tak endah, sebab pada aku ianya tak penting langsung. Apa yang penting, keseronokan berbasikal di sini begitu mengujakan. Sebuah motosikal  melintasi aku, masih aku abaikan. Kemudian motosikal tu berpatah balik, aku terus saja mengayuh basikal tanpa menoleh sedikit pun. Dan akhirnya satu tepukan keras di bahu kanan aku. Adoi ! aku menjerit kesakitan. Bila aku toleh, punya lah terkejut tak terkata. Abang  aku rupanya. Eh ! dia ke yang asyik kehulu hilir melintas sebelah aku tadi ? Apa dia buat sampai ke sini ? Cari  burung ke ? Takkan dia mengekori aku kot. Aih! bengong aku memikirkan.
Abang terus mengajak aku untuk berhenti minum di kedai yang berdekatan. Di situ baru lah dia bercerita. Sejak semalam lagi dia sudah mengekori aku hingga ke pintu masuk Kem PGA Bukit Galing, Beserah. Sewaktu aku bersarapan di Tanjung Api pun dia sudah memerhatikan aku dari jauh. Macamana aku tak perasan eh ? Hingga lah bila melalui jalan ke Pantai Sepat, dia terpaksa keluar dari persembunyian dengan menepuk bahu aku sebab tak tahan nak simpan rahsia lagi. Hahaha. Nak kenakan aku tapi dia balik terkena.Terbaiklah paparazi ni, memang ‘surprise’. Aku sayang abang aku sangat-sangat.


Perjalanan diteruskan melalui Kuala Penor dan Cherok Paloh, tempat- tempat ni berada di pesisir pantai. Cuaca terlalu panas hingga membuatkan aku kehilangan air dalam badan dengan cepat. Bukan aku saja yang kehausan, Abang Zaini pun turut terasa bahang panas.




Sebagai pengembara berbasikal, bukan keadaan cuaca saja yang menjadi cabaran dan halangan, haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing juga menjadi cabaran sampingan yang menghalang perjalanan. Jika bernasib baik dapat bertemu dengan haiwan liar, seperti babi hutan, gajah, harimau, beruang madu, badak dan haiwan-haiwan yang kecil. Tak pasti pulak di Malaysia pengembara berbasikal akan jumpa haiwan liar seperti yang aku senaraikan tu. Berkemungkinan besar kita akan bertemu dengan haiwan liar jika kita berbasikal di tengah malam melalui jalan-jalan yang disenaraikan sebagai hutan simpan. Kebiasaan yang aku sendiri pernah jumpa hanyalah haiwan-haiwan liar yang telah mati dilanggar kenderaan berat.



UBAI 
Dipertengahan jalan, Abang Zaini terjumpa dengan pengembara berbasikal yang bernama Chin Wah Yi, katanya menetap di Kuantan. Abang Zaini cukup gembira bila dapat tahu di Kuantan juga ada komuniti basikal ‘touring’, lebih-lebih lagi bila En Chin menggunakan basikal berjenama Surly. Basikal yang menjadi idaman kalbu Abang Zaini.




Tiba di Petronas Ubai, kami berhenti rehat sebentar dan membeli air buat bekalan tambahan. Sayang sekali, bila aku nak meneruskan perjalanan, Abang Zaini memaklumkan perjalanannya sampai di situ saja, dia akan berpatah balik semula ke Kuantan. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Zaini atas bantuan sepanjang perjalanan. Semoga kita bertemu lagi.



TANJUNG SELANGOR
Tanjung Selangor terletak di Pahang ? Kalau aku tak mengembara, sampai bila-bila aku tak kan tahu wujudnya tempat ni. Kenapa dan mengapa dinamakan ‘Selangor’, kenapa tak namakan saja dengan Tanjung Pahang ? Kenapa begitu, kenapa begini..bla bla bla. Ah ! Tak tercapai akalku untuk memikirkannya. Aku cuma tahu Tanjung Selangor adalah sebuah kampung nelayan. Perjalanan aku hari ini semuanya masih berada di laluan pesisir pantai. Tak hairan lah kalau sepanjang jalan akan ada pokok-pokok rhu banyak ditanam. Sampai di satu tempat aku nampak lokasi yang memang sesuai untuk berhenti rehat.






Oleh kerana tak tahan dengan cuaca panas. Aku terus  membelok masuk ke pantai tu. Dapat lelapkan mata barang sekejap pun jadi lah. Alangkah nikmatnya bila dapat meluruskan tulang belakang.


KUALA PAHANG
Inilah kampung nelayan yang terakhir aku jumpa sebelum sampai ke Pekan. Sampai sini pun dah jam 1 petang. Singgah makan dulu di D’ Kuala Cafe. Aku memesan set nasi + daging salai masak lemak cili api. Fuh..memang sedap. Konsep hiasan dalaman kafe ni pun begitu moden dan selesa.



Jangan ingat di kawasan pendalaman tak ada kafe, siap ada ‘wifi’ tau. Dulu Kuala Pahang hanya kawasan perkampungan nelayan saja, tapi kini terkenal dengan aktiviti memancing setelah pertandingan GP Joran di adakan di sini. Bukan itu saja Kuala Pahang telah dipilih menjadi Pusat Transformasi Luar bandar (RTC). D’Kuala Cafe dan Kedai kain 1 Malaysia di antara kedai yang terletak di bangunan RTC yang dibina khas untuk kemudahan penduduk sekitar. Untungnya penduduk di sini.


Selepas makan aku kemudiannya  berpusing-pusing di sekitar jeti nelayan, menjenguk aktiviti orang-orang di sini.



PEKAN


12 km lagi aku akan sampai ke bandar Pekan dan akan melintasi Sungai Pahang melalui jambatan Sultan Abu Bakar. Setahu aku, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil bunga pekan yang banyak tumbuh di tebing sungai Pahang. Namun begitu, ada juga yang berpendapat bahawa Pekan mendapat namanya dari pengertian perkataan bandar, pasar atau tempat orang berjual beli.

Inilah rupa bunga pekan. Aku rasa, aku pernah tengok bunga ni, aruah mak pernah tanam dekat depan rumah bawah pokok pinang. Masa tu aku mana lah tau namanya bunga pekan, aku kemas keliling rumah,sapu-sapu sampah, cabut-cabut rumput dengan dia-dia sekali aku cabut. whoops!
Dulunya, bandar Pekan dikenali sebagai Bandar Diraja dan pernah menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur. Sehingga kini ia sebuah bandar tua yang mempunyai banyak kesan sejarahnya.


MASJID SULTAN ABDULLAH
Bandar ni tak la sesak sangat, sangat sesuai jika kita menjelajah dengan berjalan kaki atau dengan berbasikal, lagipun tempat-tempat menarik memang berada di Laluan Warisan.
Seperti bangunan batu berbentuk ‘Morish’ ini dibuka pada tahun 1932, namanya adalah Masjid Sultan Abdullah sempena nama ayahanda kepada Sultan Abu Bakar. Pada tahun 1976, masjid Sultan Ahmad Shah yang lebih besar telah dibina, maka sejak dari tarikh itu ia sudah tidak digunakan lagi. Masjid ni terletak di tepi sungai Pahang, suasana persekitarannya redup dan tenang saja.


 Ini pula Masjid Sultan Ahmad Shah, masjid baru yang menggantikan Masjid Sultan Abdullah.


Waktu aku sampai di Pekan hujan baru saja berhenti, abang mengajak untuk singgah minum air kelapa dulu di gerai tepi sungai Pahang berhadapan sebuah masjid. Abang kata, cukup sampai di sini saja kerana dia hendak kembali pulang ke Kuala Lumpur setelah dua hari mengekori aku. Tiada apa yang  aku mampu ucapkan selain dari ucapan terima kasih atas keperihatinan dan sokongan moral selama ni.

MUZIUM SULTAN ABU BAKAR
Ia terletak di Jalan Sultan Ahmad  berhadapan dengan Sungai Pahang. Muzium ini mempunyai sejarah yang didokumenkan dengan baik . Semua yang berkaitan dengan sejarah Pahang dan keturunan diraja dipaparkan dalam dua dewan yang sangat besar yang dahulunya salah satu istana diraja. Aku tak masuk melawat, cuma berlegar-legar di luar saja.
Di hadapan muzium terdapat hiasan lanskap yang sangat menarik dan unik. Ada sebuah kolam yang cetek di mana diletakkan beberapa buah arca berbentuk burung bangau di dalamnya.


Selain dari arca burung, ada arca berbentuk kuda diletakkan di atas padang rumput di sebelah kolam. Memang terpegun dengan seni buatannya. Terfikir juga macamana kayu-kayu tu di lekatkan, guna paku atau cara pasak ? Setelah mencari maklumat di internet barulah tahu akan kisahnya. Arca-arca tersebut diperbuat daripada kayu-kayu hanyut di sungai dan kemudiannya digam dengan menggunakan gam perahu dan ia dibuat di Semarang, Indonesia. Ada di antara arca tersebut mencecah harga sehingga RM81,000.00. Uhf, mahalnya.



Kenderaan tentera pun ada dipamirkan di sini.



NENASI
Ketika  hendak menuju ke Nenasi, aku keliru antara Nenasi dan Pekan Nenas. Dalam fikiran aku cuma nak cari tugu berbentuk nenas. Aku ingat tempat yang sama rupanya tidak. Patut lah tanya orang kat Nenasi mereka tak tahu di mana tugu tu. Hahaha. Tak buat kajian betul-betul, tu la jadinya. Dah pukul 6 petang, aku masih lagi mengayuh basikal. Perut dah berbunyi-bunyi minta diisi. Mana ada kedai, penempatan pun jauh-jauh. Kalau ada pun kawasan perumahan yang baru. Mujur lah ada nampak pasar malam di kawasan taman perumahan. Berhenti sebentar beli barang makanan mee goreng dan air cendol. Sedang aku makan, datang la seorang kakak yang berniaga di situ. Katanya dia berkenan tengok cara aku mengembara. Oleh kerana dia berniaga, maka dapat tengok orang lain yang buat pun jadi lah.





Sampai di masjid Kampung Nenasi di Mukim Bebar sudah jam 8 malam. Aku tunggu hingga habis solat Isyak, bila semua jemaah dah balik, aku terus bersihkan diri dan gantung hammock di tiang di beranda masjid dan kemudian aku terus tidur. Sebelum tu RP memberitahu aku yang dia mahu keluar mencari rakan lama di kampung itu. Sekali lagi aku menegaskan kepadanya ,waktu rehat, masing-masing bebas dengan urusan peribadi.

Setelah masuk ke dalam hammock, aku dah tak ambil peduli tentang keadaan sekeliling, tapi dalam aku lena tidur aku macam terdengar-dengar orang kejutkan aku, tapi disebabkan terlalu letih, mata tak mampu nak celik. Aku abaikan ja. Langsung tak tau apa yang berlaku sepanjang malam tu. Sehingga la keesokan pagi, RP bagitau aku yang malam tadi dia keluar dan meninggalkan aku sendirian di masjid kerana dia dijemput datang ke rumah kawannya. Aku tinggal sorang-sorang kat masjid yang besar tu ? Seorang ? dalam gelap ? mak oi ! Phews nasib baik aku tidur mati. Ha ha ha.

Info kayuhan hari ke 16 :
Jarak kayuhan : 141km
Masa : 7:00 pagi - 8:00 malam

No comments:

Post a Comment