Thursday, September 25, 2014

Cara ku dan cara mu pasti berbeda [POT]

Cara aku mengembara


Aku hanya orang biasa-biasa saja. Aku juga tak mampu memiliki basikal khas untuk bertouring, cuma menggunakan sebuah basikal ‘second hand’ Bridgestone MB-6 Cromo buatan tahun 1994. Basikal tu aku beli dengan harga 800-1k, itu pun membayar ansuran secara bulanan.
Bag ‘pannier’ pun tidak berjenama, bag hasil jahitan Wak dibuat dari kain kanvas. Murah saja.
Basikal itu aku beli ‘kosong’ bermakna aku perlu menambah ‘handle bar’, ‘mud guard’, lampu depan / belakang, cermin sisi dan odometer. Semua itu aku tambah perlahan-lahan dan cari yang paling murah. Ada juga pemberian dari rakan-rakan. Terima kasih wahai sahabat. Begitu lah persediaan aku untuk perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia.


Dalam muka surat  ini akan aku sentuh perbagai perkara mengenai pengembaraan berbasikal jarak jauh di Semenanjung Malaysia mengikut pengalaman yang telah aku lalui. Ini adalah 1% pengalaman yang aku miliki. Banyak lagi yang aku perlu tempuhi dan pelajari.


1. Pemilihan basikal
Seperti yang aku ceritakan awal tadi, aku gunakan basikal ‘second hand’ ja. Tetapi selagi ianya bernama basikal, dan mampu dibawa dan membawa, segala sistem brek, gear dan speed berfungsi  dalam keadaan baik, maka ia boleh digunakan untuk mengembara. Tak perlu tunggu untuk memiliki basikal yang berjenama seperti Koga Miyata, Surly atau Novara baru kita hendak mengembara.‘Road bike’, MTB dan Folding pun boleh kita gunakan untuk mengembara. Hanya tambahkan ‘rack’ , ‘mud guard’ dan tukar tayar kepada saiz yang sesuai.


2. Pemilihan teman kayuhan
Siapakah teman, rakan atau mereka yang akan bersama-sama mengembara bersama kita ?
Tidak kira ianya lelaki atau perempuan, kita wajib tahu tentang latar belakang pengalaman dan kemampuan mereka dalam bidang kembara. Sebelum sesuatu perjalanan jarak jauh dilakukan, perlu ada syarat-syarat agar perjalanan nanti tidak terganggu oleh sikap dan cara yang tidak disenangi oleh kedua belah pihak. Jadi, sebelum berlaku, lebih baik diberi penjelasan dari awal tentang ‘do and don’t’. Ini penting kerana, walaupun perjalanan berjaya dilaksanakan tetapi hasilnya : berjaya tapi tidak gembira, berjaya tapi sakit hati, berjaya tapi tiada isi. Faham maksud aku ? ‘Chemistry’ atau keserasian itu penting.


3. Keperluan kemahiran teknikal
Sebagai pengembara, lebih-lebih lagi pengembara berbasikal, tak kira lelaki atau perempuan, paling kurang kemahiran yang harus dia tahu adalah cara membaiki dan menukar tiub bocor. Kemahiran yang selebihnya kita akan belajar sedikit demi sedikit. Perkara ini ditimbulkan kerana kita tidak tahu laluan yang akan kita tempuh di hadapan bagaimana keadaannya. Adakah di dalam bandar, kawasan kampung, jalan kebun kelapa sawit atau jalan di tengah hutan. Jika di bandar, belum tentu kita berjumpa kedai membaiki basikal, hanya kedai membaiki motor yang biasa kita lihat. Kawasan kampung juga begitu. Andaikata tayar basikal kita bocor di tengah-tengah hutan seperti di Padang Sanai, Kedah, atau di kebun kelapa sawit seperti di Felda Tenggaroh, Johor. Tiada siapa yang boleh kita minta bantuan. Jadi bagaimana ?
Di samping itu kita perlu bersedia dengan risiko-risiko bila melalui jalan-jalan seperti tarmac, batu kerikil dan tanah merah.


Tarmac :
- Ketika cuaca panas akan menyebabkan tayar kita mengembang, jika tekanan angin di dalam tayar terlalu tinggi, berkemungkinan tayar boleh meletup.
- Wayar- wayar halus dari sisa serpihan tayar lori banyak bersepah- sepah di jalan raya dengan mudah menusuk ke dalam tayar basikal.


Batu kerikil :
- Biasa terdapat di laluan tengah bendang (sawah padi), jalan-jalan kampung dan jalan yang dalam pembinaan. Risiko untuk tayar bocor dan koyak akibat ketajaman baru-batu kerikil amat tinggi. Ketika melalui jalan begini harus berhati-hati dan pandu dengan perlahan agar mudah mengelak jika terlihat batu tajam.
- Kadang- kadang ia boleh menyebabkan kita terjatuh kerana pergerakan batu-batunya.


Tanah merah :
- Jalan tanah merah ketika kering sangat berdebu dan berlubang-lubang, kadang-kadang akan menganggu pandangan ketika berkayuh. Silap perancangan kita akan terlanggar setiap lubang dan tanpa kita sedar akan mengakibatkan hentakan kuat pada rim dan tekanan pada jejari. Akhirnya, rim boleh bengkok, dan jejari akan patah.
Jika hujan, jalan tanah merah akan menjadi licin. Mudah untuk kita jatuh kerana tidak mampu mengimbangi bebanan pada basikal.
Kesemua yang aku tulis di atas adalah situasi-situasi akan menyebabkan kita kerugian banyak masa dan akan menjejaskan perjalanan, jika kita tidak tahu langsung untuk membaiki kerosakan.


4. Kayuhan ketika sakit
Dalam kayuhan jarak jauh, sudah tentu banyak kesakitan-kesakitan yang kita akan hadapi. Bila menghadapi kesakitan seperti ini , saddle berjenama Brooks pun sudah tak mampu menolong untuk menghilangkan kesakitan. Jadi bagaimana cara untuk mengatasinya ?
Adakah :
1. Hentikan kayuhan dan pulang ke rumah ?
2. Teruskan kayuhan hingga tamat dengan memperlahankan kelajuan kayuhan?
3. Berehat beberapa hari hingga baik, kemudian sambung perjalanan?
Kebiasaan bagi para pesikal adalah menikmati kesakitan seperti :
Melecet di celah kelangkang dan di bahagian punggung.
Kekejangan betis dan peha
Kebas hujung jari tangan dan kaki
Nyilu pada lutut
Sengugut (untuk wanita)


Semua yang tertulis di atas adalah kesakitan yang pernah aku rasa. Dalam perjalanan yang panjang aku tak boleh terlalu manja dengan kesakitan. Walaupun kadang-kadang terpaksa tidur meniarap atau duduk mengereng supaya tidak tersiksa. Suka atau tidak aku akan cari cara untuk mengurangkan gangguan ketika dalam perjalanan. Aku memang tak tahu secara klinikal untuk mengurangkan kesakitan tapi aku cuba cari cara mengikut kesesuaian diri aku. Tidak juga mengatakan cara aku ini sesuai untuk semua orang, mungkin boleh mencuba.


Melecet dan sakit di punggung, ketika berkayuh, kerapkali aku terpaksa mengubah sedikit kedudukan di atas ‘saddle’. Kurangkan berhenti, kerana setiap kali nak memulakan perjalanan, itu lah yang paling azab.
Kekejangan otot atau ‘krem’, itu biasa disebabkan ketinggian seat tidak sesuai. Jadi aku rendahkan sedikit kedudukannya.
Kebas hujung jari, kerana terlalu lama memegang dan menahan handle membuatkan aliran darah tidak dapat mengalir dengan baik. Ketika berkayuh aku menganti-gantikan pegangan handle dengan sebelah tangan saja.
Nyilu pada lutut ada kaitan dengan ketinggian kedudukan seat dan cara kita berkayuh.
Senggugut, sapu minyak panas, bam atau yoko-yoko di kawasan yang sakit.


5. Kayuhan ketika cuaca panas
Biasanya berkayuh di tengah panas amat melelahkan. Kadang kala ia menganggu pemandangan, lebih-lebih lagi jika di jalan yang lurus. Pada siapa yang tak tahan, mungkin akan mengalami sakit kepala.
- Banyakkan minum air mineral (tutup biru/hijau), air yang manis untuk memberi tenaga semula yang telah banyak hilang melalui perpeluhan. Sepanjang perjalanan, aku lebih banyak berhenti untuk membeli air nira, air kelapa atau membeli buah tembikai. Itu saja yang aku amalkan, alhamdulillah aku tidak mengalami hidrasi atau sakit kepala. Kerana khasiat air nira dan air kelapa adalah lebih untuk menyejukkan badan.
- Pakai kacamata yang berwarna hijau, biru atau hitam untuk menghalang kemasukan cahaya matahari yang berlebihan ke dalam mata yang mungkin akan menganggu pemandangan ketika berkayuh.
- Pakai baju lengan panjang untuk mengelakkan lengan melepuh, jika tidak, gunakan kain nipis untuk menutup lengan.
- Gunakan buff atau skaff untuk menutup muka.


6. Kayuhan ketika hujan
Ramai di antara kita mengelak untuk berkayuh di dalam hujan kerana faktor keselamatan. Pada aku, hujan atau panas tidak akan menghalang aku untuk meneruskan perjalanan. Bila dah rasa titisan air hujan menitis, aku segera memakai baju hujan, menutup barangan penting dengan plastik, menyalakan lampu belakang dan depan pada basikal. Perlu diingatkan supaya memakai baju pantul cahaya supaya kenderaan besar nampak akan kewujudan kita tengah jalan raya. Helmet juga wajib sentiasa pakai, walau apa keadaan sekali pun. Berkayuh ketika hujan juga seronok kerana kita akan rasa sejuk dan ianya lebih mencabar tetapi mestilah lebih berhati-hati.


7. Kayuhan ketika malam
Bila kita banyak berhenti dalam ertikata berhenti kerana berehat, kerosakan pada basikal dan masalah-masalah yang lain, maka banyak masa yang telah terbuang, jadi ia memerlukan kita menggantinya semula kerana destinasi yang hendak dituju belum sampai. Akibatnya, hingga ke lewat malam kita terpaksa mengayuh basikal. Tidak digalakkan untuk berkayuh hingga jauh malam kerana badan kita sudah terlalu letih dan memerlukan tenaga gantian untuk keesokkan harinya. Kita perlu mendapat rehat yang mencukupi. Lagipun tiada apa yang dapat kita lihat di dalam gelap.
Ya, mungkin ada di kalangan kita akan mengatakan ianya lebih seronok kerana keadaan cuaca lebih sejuk dan kurang kesesakan lalu lintas. Walaubagaimana pun ada pro dan kontra di situ, bergantung kepada tujuan kayuhan tersebut. Sekiranya kita terpaksa melakukan kayuhan malam, faktor keselamatan perlu lebih diberi perhatian.
- pakai lah helmet dengan lampu kepala
- cermin mata lutsinar, untuk menghalang serangga kecil yang berterbangan masuk ke dalam mata.
- baju keselamatan pantul cahaya
- lampu depan dan belakang yang berkelip


8. Kemampuan dan kebijaksanaan
Walaupun kita kuat dan gagah tubuh badan, tetapi jika tiada kebijaksanaan untuk menguruskan cara perjalanan kita, tetap akan menimbulkan pelbagai masalah. Aku telah melalui keadaan seperti ini hampir setiap hari sepanjang 23 hari pengembaraan mengelilingi Semenanjung Malaysia. Pembaziran terlalu banyak masa dengan perkara-perkara remeh-temeh yang kurang bijak. Telah aku sebut di atas bagaimana perkara kecil boleh mengheret kepada perkara yang lebih besar dan akhirnya menyebabkan seluruh perancangan rosak.


Perlu diingat, basikal juga ada had muatan yang dibenarkan. Walaupun kita rasa kita mampu untuk membawa basikal dengan barang muatan yang lebih, tetapi sebenarnya basikal tidak mampu untuk tampung lebihan bebanan. Akibatnya, akan timbul masalah-masalah kecil di mana dari kecil akan melarat kepada masalah yang lebih besar, sekali gus akan menganggu perjalanan kita.


9. Laluan
Untuk pengembaraan ini, aku telah mengambil keputusan untuk mengikut laluan pesisir pantai dan persempadanan negara. Ia sangat menarik kerana ia akan lebih mendekatkan lagi aku kepada masyarakat setempat, mengetahui adat dan bahasa, sekaligus dapat melihat suasana kehidupan harian mereka. Jika bernasib baik aku dapat melihat tempat bersejarah yang mungkin telah terpinggir.


10. Jalan
Di Semenanjung Malaysia, kita amat bertuah kerana memiliki jalanraya yang begitu baik sekali. Jadi tidak perlu bimbang dan bingung ketika mencari arah. Setiap simpang dan sepanjang jalan telah disediakan papan tanda yang cukup sempurna. Jika tidak pasti, gunakan kemahiran ‘GPS’ tempatan, yakni bermanis muka serta beramah mesralah  dengan penduduk setempat. Itu lah cara yang selalu aku praktikkan. Ianya sangat berkesan.


11. Kategori kembara berbasikal
1. ‘Light’ : Kembara yang tidak memerlukan pengembara membawa banyak barangan. Cukup sekadar, pakaian dan sedikit alat gantian. Benda yang paling penting adalah wang tunai dan kad kredit. Makan dan tempat tidur boleh didapati hanya dengan menggunakan kad kredit/wang tunai.
2 .’Hardcore’ : Kembara yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal, kerana pengembara akan membawa segala keperluan asas seperti bahan untuk memasak, alat gantian basikal dan khemah. Mereka akan memasak sendiri makanan dan tidur di mana-mana sahaja. Wang tunai yang sedikit dibawa hanya digunakan untuk membeli keperluan makanan dan keperluan alat ganti basikal.


12. Berkayuh ketika haid
Ini adalah keadaan yang kurang selesa bagi kaum wanita, tapi tidak menjadi halangan untuk kita terus mengembara dengan berbasikal. Cuma ia akan sedikit menganggu keselesaan dan mengurangkan kelajuan pada kayuhan. Lebih-lebih lagi pada hari pertama hingga hari ketiga. Kita akan cepat berasa letih dan sakit di bahagian tertentu. Banyakkan minum dan jangan terlalu memaksa diri untuk terus berkayuh. Jangan jadikan haid sebagai alasan untuk tidak mahu meneruskan kayuhan. Cari cara dan pasti boleh.


13. Solat ketika mengembara
Tiada sebab yang menghalang kita untuk menunaikan solat. Cuma, apa yang perlu kita fahami adalah bagaimana cara, berapa lama dan di mana ?
Bagaimana cara : Lihat di sini , ia adalah kefahaman dan pencerahan tentang solat untuk musafir. Allah telah memberi keringanan kepada kita, jadi tak perlulah dirumitkan lagi.
Berapa lama : Untuk kita melakukan solat qasar jamak Zohor/Asar atau Maghrib/ Isyaq, paling lama pun diperuntukkan selama 10 minit saja. Solat Jumaat tidak wajib dilakukan bagi musafir kecuali jika dia berniat untuk tinggal selama 4 hari di tempat itu.
Di mana : Kita boleh melakukan solat di mana-mana saja asalkan tempat itu bersih. Di Malaysia tidak ada masalah untuk kita bersolat kerana masjid dan surau banyak di sepanjang jalan. Islam itu mudah, mengapa disusahkan. Perlu diingat, jika ingin mengejar pahala, jangan sampai mencuri masa orang lain.


14. Barang keperluan penting
Senarai barang keperluan penting yang aku bawa ada di sini. Tapi tak semua yang aku ada, barang-barang seperti GPS dan tripod aku tak mampu milik lagi. Hanya guna apa yang ada.


5. Adab dan etika di tempat asing
Sebagai seorang pendatang, yakni, orang yang datang ke tempat asing harus lah menjaga adab dan etika. Kurangkan bercakap perkara-perkara yang sia-sia dan lebihkan mendengar. Hormati sensitiviti penduduk setempat. Jaga tutur kata agar tidak menimbulkan kejengkelan terhadap mereka. Tidak perlu tunjuk pandai, tak perlu bercakap banyak, lebihkan senyuman itu lebih baik. Sentiasa meminta izin jika hendak berhenti bermalam di sesuatu tempat seperti  masjid atau surau.


16. Masa
Orang yang berjaya adalah orang yang menghargai masa. Setiap detik , setiap saat adalah sangat berharga kerana dengan 5 minit, kita dapat mengayuh  beberapa kilometer jauhnya. Pengembaraan yang terhad memerlukan masa yang tepat. Jadi setiap saat mestilah dikira. Perjalanan projek ini telah disesuaikan dengan tahap kemampuan kayuhan aku. Bila dan di mana aku harus berhenti semuanya telah ditetapkan. Jadi tidak timbul kalau aku cepat atau lambat. Nama pun ‘touring’ bukan ‘racing’. Kalau ia diganggu dengan masalah-masalah teknikal dan perkara remeh temeh, lagi lah lambat jadinya. Kesimpulannya, jangan perlekehkan kepentingan ‘masa’, kerana ia memang berkait dengan semua perkara.


17. Rangkaian silaturahim
Ia adalah suatu keajaiban. Kita tidak pernah kenal, kita tidak pernah berjumpa, kita juga tidak pernah berbicara tetapi dengan kayuhan ini, semuanya menjadi seperti keluarga. Rasa kecintaan terhadap basikal telah membuatkan kuasa silaturrahim menjadi begitu hebat sekali. Percaya atau tidak, sepanjang perjalanan aku ini, di setiap negeri telah ada yang menanti. Setiap masa mereka menunggu berita di mana aku berada dan dengan ikhlas menunggu dan menyambut aku. Di Perak, P.Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Menakjubkan !
Terima kasih Tuan dan Puan. Jasa kebaikan Tuan dan Puan akan terus dikenang hingga akhir nafas. Terima kasih sekali lagi.


18. Titik kesempurnaan mengelilingi Semenanjung.
Dalam kembara ini, aku telah dicabar untuk sampai ke lokasi paling hujung di Semenanjung, kerana mereka2 mengatakan bahawa tidak sah pengembaraan ini jika tidak sampai ke lokasi itu ini :
1. Kaki Bukit (Perlis )
2. Pengkalan Kubur ( Kelantan )
3. Kg Sungai Rengit ( Johor ) @ Pengerang
4. Tanjung Piai ( Johor )


dan aku berjaya. Syukur Alhamdulillah.




Begitu lah serba sedikit ulasan mengenai dari pengalaman POT aku.

9 comments:

  1. assalamualaikum bro tumpang tanya sikit,ini semua pusing satu malaysiakan so bro ikut jalan luar/highway atau jalan kampung/jalan dalam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam, kembara ni pusing Semenanjung MY ja, ikut jalan pesisir pantai, jalan kampung dan tepi2 sempadan MY/Thailand.

      Delete
  2. owh more tu jalan dalam lah,tanya sikit maps yang dekat atas tu guna apps apa

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau kita dari kelantan nak perlis kita tetap kena lalu ayer lanas gerik & lain lain kan,jalan dekat situ mencabar tak

      Delete
    2. owh jalan Jeli- Gerik adalah laluan wajib. Jika dah biasa mendaki bukit rasanya tak la mencabar. Cuma nak diingatkan kalau nak lalu kat situ seelok-eloknya jam 7 pagi -5 petang. Atas sebab-sebab keselamatan kerana laluan tu laluan haiwan liar.

      Delete
  3. owh okay-okay semua nformation yang yang diberi sangat berguna,terima kasih kerana sudi membantu

    ReplyDelete
  4. Info terbaik.. jazzakumuLLAHU khair...

    ReplyDelete
  5. Blh tnya. Cmana dgn kos nk pegi mengembara ni. Rm brapa ksmuanya.. cmana nak cas fon..

    ReplyDelete