Wednesday, September 10, 2014

Pengembara boleh menginap di Komplek Rakan Muda Besut [POT]

Hari ke -13
Kampung Raja- Seberang Takir
Khamis, 18hb April 2013

Sayup-sayup terdengar azan subuh berkumandang. Lena benar aku tidur tanpa sebarang gangguan yang bukan-bukan. Hiks. Aku capai tuala dan terus menuju  ke tandas. Sempat juga menjeling ke arah bilik sebelah, depan pintu bilik ternampak basikal RP masih belum dibaiki. Hrm, tak kan tak siap lagi ?
Elok aku segera mandi dan bersiap, jangan aku pulak yang lewat nanti. Selesai mandi aku kemaskan barang-barang masuk ke dalam bag, kemudian aku buka cadar dan sarung bantal untuk dipulangkan semula di pondok pengawal. Ok, siap !
Pukul 7.00 pagi masing-masing sudah mengeluarkan basikal dan bersedia untuk memulakan perjalanan untuk hari ke 13.





7.30 pagi kami berhenti untuk bersarapan di restoren Mak Su Yah dulu, dan kemudian kembali mengayuh basikal menuju destinasi berikutnya. Hari ini aku dan Abang Dzul akan berpisah mengikut haluan masing-masing. Abang Dzul akan menuju ke Jerteh, sementara aku pula akan menuju ke Kuala Trengganu. Terima kasih Abang Dzul di atas segala bantuan sepanjang dua hari pengembaraan. Semoga Allah membalasnya dengan  memberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan lagi rezeki.



Dalam perjalanan, aku tengok RP mengayuh terlalu perlahan. Kenapa pula kali ni ? jangan lah ada rosak lagi. Aku pandang tayar, rupanya basikal RP tayarnya kurang angin, jadi kena mencari kedai basikal  di sepanjang jalan, tapi sayang cuma kedai membaiki motosikal saja yang kami jumpa. Tak mengapalah berhenti jugalah untuk tumpang mengepam angin.




PENARIK
Setelah berpuashati dengan keadaan basikal RP, aku pun terus menyambung perjalanan. Kira-kira satu jam kemudian baru sampai di Penarik. Penarik terkenal dengan pantai yang cantik dan terkenal dengan aktiviti riadah perkelahan. Di sini juga tempat para nelayan menaikkan hasil tangkapan laut mereka. Selain itu, di sini bermulanya jalan pantai di daerah Setiu.



Pantai Penarik memang menarik. ~wee






Kayuhan diteruskan menuju Merang melalui jalan Kg Penarik, Kg Bari Besar dan Bari Kecil.

MERANG
Merang adalah titik berlepas untuk melancong ke P.Redang, P.Lang Tengah, P.Bidong dan pulau-pulau lain yang berdekatan. Ia masih menjadi kampung nelayan sejak generasi terdahulu. Cuma kini lebih maju dari segi pelancongan pulau ke pulau. Satu lagi  nama tempat yang hampir sama dengan Merang iaitu Marang. Jarak antara keduanya lebih kurang 61km saja. Jadi jangan keliru ya.
Aku berhenti makan tengahari di Merang. Di situ juga aku berjumpa dengan seorang pengembara berbasikal dari... Alah ! aku lupa dia dari mana. Namanya pun aku dah lupa. Dia berhenti rehat selama dua hari di Merang dan selepas itu akan terus ke Singapura. Aku memerhatikan saja gelagat mat saleh ni, di tangannya ada bungkusan plastik yang berisi sayur taugeh. Sambil berbual dia makan sayur taugeh mentah macam makan kuaci. Rasa nak tergelak pun ada tetapi setelah aku membaca khasiat sayur taugeh di internet persepsi aku berubah. O em gee ! Lepas ni aku pulak nak makan taugeh.



Berhampiran jeti Merang ada dibina benteng pemecah ombak untuk menetapkan kedalaman muara sungai, yang mana pembinaan ini telah menghasilkan laguna buatan manusia. Ini menjadikan kawasan ini sesuai dijadikan sebagai tapak perkhemahan. Di Pantai Merang ini juga terdapat sebuah Taman Awam yang disediakan cuma beberapa minit sahaja dari Jeti Merang.




Di Merang RP bertemu dengan rakan lama. Salah seorang rakannya mengusahakan bot pelancong di jeti Merang. Beria- ria mereka memujuk supaya bermalam di Merang. Tapi aku tetap menolak kerana perjalanan aku hari ke 13 hanya akan berhenti di Seberang Takir.



BATU RAKIT
Tak lama kemudian aku terima panggilan dari seseorang yang tidak dikenali juga yang ingin mengetahui lokasi aku berada kerana dia akan menyambut serta menunggu aku di Batu Rakit. Batu Rakit ? kat mana tu..heheh aku pun tak tau. Aku terus mengayuh basikal mengikut papantanda yang aku nampak. Bila aku tak pasti dengan laluan, aku bertanya pada sesiapa saja yang aku jumpa.



 Sepanjang laluan memang pemandangan tepi laut saja.



Akhirnya ditengah terik matahari petang, aku sampai di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di depan Universiti Malaysia Terengganu. Seorang yang segak berbaju batik sedang menunggu aku ditepi jalan dengan kamera kompak di tangan.

Uih, siapakah ? Seperti sudah kenal berpuluh tahun kami menyapa dan bertanya keadaan perjalanan. Dia membahasakan diri sebagai En.Jaafar dan kemudiannya terus mengajak aku berhenti minum untuk meredakan kelelahan. Aku ikut saja. Semasa aku membelok masuk ke suatu simpang, aku ternampak  sebuah bas yang begitu unik bentuknya. Memang tak sempat nak capai kemera, berselisih macam tu ja. Jadi untuk menunjukkan gambaran tentang bas tu aku cari di internet. Itu ja kaedah yang ada. Ahaks. Cantik kan. Bas yang berukir senibina tradisional. Hanya ada di Terengganu.

gambar dari internet.
Gerai makan yang dipilih terletak di sebelah lapangan terbang. Nah ! lihatlah makanan yang dipesan. Banyak betul, dengan air kelapa muda, ikan goreng tepung, udang dan sotong. En. Jaafar kata, semua ni mesti kena habiskan. Terima kasih atas rezeki ni ya Allah.



Layanan yang diberikan cukup-cukup buat aku terharu. Tak pernah kenal, tak pernah bertemu apalagi berbual tetapi lihat saja penerimaannya. Lebih kurang pukul 5 petang, aku dibawa ke tempat untuk bermalam. Aku lalu di sebelah Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu dan berhadapannya adalah Pantai Telaga Batin.


TELOK KETAPANG
Untuk malam ke 13, aku akan bermalam di kem pengakap Tengku Muhammad Ismail di Teluk Telaga Batin, Telok Ketapang. Pada masa yang sama ada program yang sedang dijalankan, jadi aku kira menumpang sekali lah dengan adik-adik dari Kelana H Trengganu. Aku berfikir, apa jawatan Encik Jaafar ni ya ? macam tinggi ja pangkat dia ni. Cuma bagi arahan dan segala-galanya sudah diuruskan. Camtu ja ? Senangnya.




Malam selepas Isyak, En. Jaafar dah berjanji untuk membawa aku bersiar-siar di bandar Kuala Trengganu. RP tak ikut serta kerana beliau sudah ada program sendiri bersama rakan baiknya dari Merang. Pada petang tu jugak kawannya datang menjemput dan membawanya semula ke Merang. Katanya esok sebelum jam 7 pagi dia akan sampai semula di kem. Aku tiada bantahan. Selesai solat Isyak aku ditemani oleh anak lelaki En. Jaafar dan seorang kawannya yang bernama Budi meredah kegelapan malam. En. Jaafar menjadi jurupandu di hadapan, aku dan anaknya di tengah dan kawannya Budi menjadi ‘sweeper’ menjaga keselamatan di belakang. Malam gelap, bukan aku nampak apa-apa pun, hanya mengikut cahaya dari lampu belakang basikal dan cahaya lampu jalan saja. Nak kayuh laju tak berani, dan perjalanan mengikut jalan pintas menuju ke bandar Kuala Trengganu. Ternyata, pemandangan waktu malam juga menarik. Dapatlah aku tengok Masjid Kristal dari atas jambatan Sultan Mahmud. Sungguh cantik. Bila aku nak ambil gambar tiba-tiba lampu masjid itu dipadamkan. Haiya !




Ramai juga orang datang beriadah di sini.  Owh, terlupa pula, esok kan hari Jumaat, hari cuti umum bagi rakyat Trengganu, patutlah ramai orang. Aku tengok lampu-lampu hiasannya seperti di I-City Shah Alam. Meriah. Sayangnya, kamera aku tak mampu mengambil gambar dengan cantik di waktu malam. Semuanya kabur. Oleh kerana tak banyak tempat yang boleh dilawati, kami cuma bersiar-siar di KT Waterfront dan kemudiannya berpatah semula balik ke kem.



Di sini lah aku tidur bersama dengan adik-adik pengakap. Walaupun En Jaafar mempelawa aku untuk tidur di dalam khemah bersama-sama adik pengakap tapi aku lebih suka tidur di dalam hammock. Gantung ‘hammock’ saja pada tiang tu dan bersedia untuk belayar. Bekalan letrik memang ada, jadi lebih memudahkan aku untuk mengecas semua peralatan eletronik terutama untuk kamera. Beg dan barang-barang peribadi, aku susun di bawah hammock jadi tidak akan menganggu ruang adik-adik pengakap yang lain. Basikal sudah dikunci dan di tutup dengan kanvas agar tidak basah ditimpa hujan.


Malam itu aku tidur awal, walaupun dihadapan khemah aku majlis untuk para pengakap sedang berlangsung, walau riuh rendah suara mereka sedang beraktiviti, aku tak peduli. Sebab dah terlalu letih. Tidur lagi penting.
Bismillahirrahmanirahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz

Info kayuhan hari ke 13:
Jarak kayuhan : 95.4km
Masa : 7:00am- 5:00pm

No comments:

Post a Comment