Wednesday, September 24, 2014

Pagi-pagi sudah bikin panas [POT]

Hari ke 19 
Desaru - Johor Bharu 
Rabu 24hb April 2013

Subuh. Dari dalam hammock  aku mendengar suara Tok Ji dan RP berbual-bual, cuma aku malas nak bangun. Sengaja bermalas-malas  sehingga Tok Ji memanggil nama aku. Tun ! bangun dah subuh.


Dah pukul berapa ni eh. Ah tak ada jam pula. Aku terus bangun dan melipat hammock, menyusun bag, kemudian baru aku mandi. Selesai mandi aku solat subuh dan bila semuanya siap aku pun mula menuntun basikal aku ke tempat Tok Ji dan RP berada. Aku kira mereka sudah siap berkemas, tapi barang-barang masih bersepah. Basikal masih terbarai belum dibaiki.
Aduh, bertambah panas hati aku pagi-pagi ni. Tadi beria- ria mengejutkan aku tidur macam dah siap segala. Tengok-tengok masih begini.


Kalau tau tak siap lagi, tak ada la Tun kelam kabut, boleh sambung tidur, aku suarakan apa yang aku rasa. Dengan pantas RP menyindir, “ Ai, 40 tahun hidup masih tak puas-puas tidur ?”.
Wah ! menyirap darah aku terasa panas naik ke muka. Ya, memang tak puas tidur, sebab kederat Tun tak sama dengan kederat orang lelaki. Kena faham, hormat dan kena ingat tu !
Kena fikir punca, bukan sedap mulut nak bicara ikut suka.
Bengang betul aku. Aku terus pergi ke tepi pantai untuk tenangkan hati dengan melihat pemandangan awal pagi di pantai Desaru.



Aku tak tahu apa masalah basikal RP, mungkin RD nya patah, itu sebab dia minta pinjam alat pemotong rantai dari aku untuk  menjadikan basikal tu kepada ‘single speed’. Hingga jam 7.45 pagi, masih belum siap-siap lagi. Aku dorong basikal aku hingga ke pondok pengawal. Mahu singgah untuk mengucapkan terima kasih atas budi bicara mereka memberi aku keizinan bermalam di situ.



SUNGAI RENGIT
Hari ini agak lewat aku memulakan perjalanan. Walau apa pun, kayuh tetap kayuh. Kayuh untuk menghargai alam semulajadi. Kayuh untuk menikmati udara segar, juga kayuh untuk ketenangan akal, hati dan budi. Pagi ini, satu lagi kematian yang ku temui. Seekor kala jengking yang cantik berkilat kulitnya, tapi telah kaku di tepi jalan. Ketika dia mahu melintas ke seberang jalan, sepitnya telah digilis hancur. Sayang seribu kali sayang. Begitu lah kehidupan, yang kecil tak dipandang, yang besar menjadi badang.


Aku tinggalkan ia di situ dan meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Sungai Rengit. Sepanjang perjalanan menghidangkan aku dengan pemandangan ini.


Kaki terus mengayuh hingga masuk ke satu kawasan perindustrian, jalan yang tidak begitu sempurna dengan tanah merah dan berdebu. Kiri kanan ada loji-loji gas yang sangat besar. Di bahagian yang lain pula lori tanah keluar masuk menjadikan laluan di situ sesak dengan kenderaan lain yang terpaksa memberi laluan kepada lori-lori tanah tadi. Di hujung lencongan ada sebuah pondok, dan  beberapa orang sedang berehat di situ. Di situ juga aku  nampak laut terbentang luas. Airnya sungguh jernih hijau kebiru- biruan. Terpukau aku. Tok Ji memberitahu, nama tempat ini adalah Teluk Ramunia.


Sepanjang pesisir pantai Teluk Ramunia ni, jalan rayanya begitu hampir dengan laut. Rumah dan masjid letaknya berhadapan dengan laut kira-kira lebih kurang 50 meter saja. Indah dan damai ja suasana sebegitu. Aku rasa penduduk di sini tak perlu gunakan kipas atau penghawa dingin. Hanya buka tingkap dan pintu rumah, angin akan masuk menderu-deru.


Pagi ni kena cari kedai basikal, sepatutnya aku tak perlu masuk hingga ke pekan Sungai Rengit, tapi disebabkan kerosakan pada basikal RP, terpaksa masuk juga. Walau pekannya kecil tapi mengelirukan, maklumlah baru pertama kali sampai. Aku biarkan RP dan Tok Ji menguruskan hal basikal, aku pula  mencari apa yang boleh dimakan. Tengok pada keadaan matahari yang tegak tinggi di atas kepala, agaknya dalam pukul 11 pagi. Perut pun sudah terasa lapar. Berhadapan dengan laut ada gerai menjual buah dan air, jadi aku singgah untuk menghilangkan dahaga.
Mungkin kerana masa menunggu yang banyak terbuang buat aku tak senang duduk. Di sebelah gerai ini ada telefon awam. Aku terus mencari duit syiling yang sememangnya melambak-lambak dalam bag duit aku.  Apa yang terlintas dalam fikiran aku adalah untuk menghubungi Ija bagi memaklumkan segala berita perjalanan aku. Agak kecewa juga bila aku dapat maklumat bahawa sejak telefon aku hilang, tiada berita yang pihak Admin POT terima. Jika ada pun melalui pihak lain. Sedangkan aku menyangkakan yang RP akan membantu mewakilkan aku buat sementara waktu untuk melaporkan segala berita perjalanan kepada Admin POT. Apa yang dia lakukan seolah-olah perjalanan ini menjadi pengembaraan dia sendiri dan segala jadual perjalanan ini dimaklumkan kepada admin kelab basikal yang dia bernaung. Tersentap aku, terasa macam kena tikam dari belakang. Tak tahu lah nak bayangkan keadaan aku masa tu. Langsung hilang selera aku nak habiskan makanan yang aku beli tadi.
Terus jadi tak keruan, dalam fikiran aku bercelaru. Cuba sedaya upaya menenangkan keadaan. Cuba juga berfikir secara rasional dan profesional. Bila dah rasa tenang aku mencari RP dan Tok Ji di kedai basikal.

JOHOR BHARU

Jam 4.40 petang aku sudah menghampiri jambatan Sungai Johor. Jambatan yang terpanjang dan yang menggunakan kabel tunggal terpanjang di Malaysia. Jambatan ini menghubungkan Tanjung Penyabung dan Pulau Juling.





Sebaik saja melepasi jambatan Sungai Johor, RP dan Tok Ji berhenti di tempat rehat tol Pasir Gudang, aku pun ikut berhenti. Sejak kehilangan telefon, aku dah tak boleh berkomunikasi dengan pihak admin. Segala maklumat semuanya melalui RP. Katanya ada seseorang sudah menunggu di kawasan ni. Tapi siapa ya ?.



Tak lama kemudian datang En.Azmi Zakaria. Pada masa tu aku memang tak cam langsung. Aku fikir itu kawan RP jadi tidak lah aku nak menyampuk ketika berbual. Aku jadi pendengar saja. Sehinggalah dia menghulurkan aku sepucuk sampul surat. Katanya itu sumbangan ikhlas dari dia. Aku jadi tercengang. Kenapa bagi saya ? aku bertanya. Untuk belanja sepanjang perjalanan nanti, jawab En Azmi. Rasa serba salah aku nak terima pemberian dia. Segan dan malu pun ada. Tak pe lah, aku akan gunakan pada sesuatu yang boleh aku kenang. Terima kasih banyak-banyak pada En Azmi.
Aku ingat takat itu ja bantuan yang diberikan, tapi tidak. Dia panggil kawan lain untuk datang membantu bagi urusan tempat bermalam. Di situlah aku mula berkenalan dengan Su. Su seorang yang peramah dan dengan sekelip mata kami dah mesra. Macam dah kenal lama pulak. Kalau setakat negeri Johor, itu adalah gelanggang permainannya.



Su membawa kami pulang ke rumahnya di Taman Permas Jaya, tapi singgah makan dulu di Taman Cendana. Sementara menunggu makanan yang dipesan, mata aku ternampak ada Klinik 1 Malaysia. Jadi aku mengambil peluang ini untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya aku dapat ubat bagi mengurangkan gatal di pergelangan kaki yang semakin membengkak.


Tiba di rumah Su, aku meminta izin untuk membasuh baju-baju yang kotor. Dalam pukul 10.30 malam, datang lah abang Sahid mengajak kami keluar makan. Abang Sahid ni seorang yang berpengalaman dalam pengembaraan berbasikal. Sudah beberapa kali dia mengelilingi Semenanjung Malaysia hingga menjadi acara tahunan. Baru-baru ni dia baru selesai mengembara ke Serawak, Brunei dan Sabah.


Sampai di restoran mamak, datang lagi seorang geng basikal yang bernaung di bawah kelab basikal KBC memeriahkan lagi perjumpaan malam tu. En Man Ismail datang dari Johor Bharu begitu bermurah hati memberikan aku cenderahati. Mereka semua yang menyambut aku ni  bukan calang-calang orang. Masing-masing punya pengalaman yang berbeza dalam aktiviti berbasikal. Seronok dapat kenal dan jumpa ke semua mereka.


Esok, Su akan mengiringi aku hingga ke bandar Johor Bharu dan kemudian aku akan berjumpa Abang Sahid. Dari sana dia akan mengiringi aku hingga ke Pontian Kechil. Entah jam berapa Abang Sahid menghantar kami semula ke rumah Su. Masing-masing dah keletihan terus saja masuk tidur.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi

Info kayuhan hari ke 19 :
Jarak kayuhan :144km
Masa : 7:45 pagi- 8:00 malam

No comments:

Post a Comment