Kuala Perlis- Changlun
Khamis 11hb April 2013
Sebelum Tok Aisyah bangun, aku dah bangun dulu. Terus jerang air, kemas dapur dan menyapu sampah sikit di ruang makan. Ye lah, kita menumpang mestilah membantu serba sedikit. Lagipun Tok Aisyah uzur tak berapa kuat dan sihat. Bila siap bancuh air , aku pun panggil Tok Aisyah bersarapan. RP pun ada membeli kuih muih balik dari solat subuh di masjid. Dalam banyak-banyak kuih yang dia beli, ada 1 yang menarik minat aku.
Aku tengok macam putu mayam, tapi kenapa ada kuah ? Aku tanya Tok Aisyah, macamana nak makan ? Tok Aisyah kata, memang putu mayam, tapi orang belah Perlis makan dengan kuah laksa. Ha ? Sejujurnya aku tak makan pun. Bukan tak suka, tapi benda baru takut aku tak habis nanti dah membazir. Biarlah Tok Aisyah saja yang makan.
Selesai bersarapan, aku kemas dapur dan kutip baju-baju yang masih basah dan jemur di luar rumah. Matahari pagi ni cukup panas untuk mengeringkan baju-baju aku. Entah jam berapa RP keluar untuk ke kedai basikal pun aku tak perasan.
Aku harap kedai basikal cepat beroperasi, cepat siap, cepat aku meneruskan perjalanan. Kelibat RP masih belum muncul. Tunggu lagi. Sedang aku sebuk mengemas barang-barang ke dalam beg pannier, kedengaran suara orang memberi salam. Janji jam 8:00 pagi, memang tepat dia sampai. Ayopa ! Abang Ronn sudah datang. Aku satu apa tak siap lagi. Kelam kabut aku pergi mandi dan bersiap. Zass! Dah siap !
Sekitar jam 10:30 pagi baru RP balik. Katanya ‘spoke’ patah. Aku dah boleh rasakan, hari ni pun mesti sampai malam lagi. Layankan je la.
Sebelum memulakan perjalanan aku ucapkan terima kasih tak terhingga pada Tok Aisyah kerana membenarkan aku menumpang tidur dan menumpang membasuh pakaian. Moga kebaikan Tok Aisyah diberikan balasan oleh Allah dengan kesihatan yang baik. Amin.
Hari ini Abang Ronn akan jadi jurupandu, bawa aku jalan-jalan sekitar Kangar. Dari rumah Adi, kami ikut jalan kampung, ikut sawah bendang lalu tepi parit, tapi sayang sawah baru dibajak. Cuma nampak hijau bukit bukau saja. Matahari makin tegak di atas kepala. Mujur jalanraya redup dilindungi dengan pokok.
Kelihatan Abang Ronn Cukup bergaya dengan basikalnya. Semua yang menyambut aku guna ‘seat’ Brooks. Putih ja mata aku tengok. Sabar aja lah. Ada rezeki nanti dapat jugak aku pakai jenama Brooks.
Alang-alang dah sampai Kangar, apa kata panggil Mizi datang jumpa aku. Abang Ronn terus memanggil Mizi meminta dia datang ‘la ni jugak’. Tu dia, ayat keramat. Sepantas kilat Mizi sampai. Wah, seronoknya aku, dapat jumpa geng gunung.
Macam-macam cerita bila dah jumpa kawan, dari bab basikal masuk topik mendaki gunung. Agak lama juga kami berhenti makan, akhirnya Abang Ronn ajak kami beredar. Bila aku sampai tempat letak basikal, aku tengok tayar belakang basikal aku pancit. Hok alloh! Dengan tak berlengah lagi aku terus turunkan beg dan keluarkan perkakas untuk menukar tiub tayar. Terkial-kial aku nak keluarkan tayar, bukan tak reti buat, tapi aku segan bila ‘otai-otai’ dok perhatikan apa yang aku buat. Langsung jadi bodoh tak keruan. Agaknya bila Abang Ronn tengok aku buat kerja lambat sangat, dia pun tolong aku tukar tiub, pam dan pasang tayar. Malunya.
dedua cekak pinggang tu.. |
Selesai proses menukar tiub, aku meneruskan perjalanan, tapi kali ni Mizi pula yang akan menjadi pemandu arah untuk keluar dari tanah jajahan Kangar. Abang Ronn ada urusan lain, jadi dia kena pergi dulu. Sebelum pergi Abang Ronn pesan, ‘kalau tak jejak ke Kaki Bukit, pengiktirafan tak akan diberi.’ Aku tersengeh ja. Plan aku memang tak nak pergi sampai sana, sebab nanti kena berpatah balik ikut jalan yang sama. Malas. Bila dah Abang Ronn kata begitu, nak tak nak kena pergi juga.
KANGAR
Dengan menaiki motosikal, Mizi menghala masuk ke bandar Kangar. Ada sesuatu tempat yang hendak ditunjukkan kepada aku. Apa agaknya ya ?Seingat aku jalan menghala ke Kaki Bukit paling damai. Redup dan sejuk ja. Agak sunyi, sekali sekala baru ada kenderaan yang lalu. Dari jauh kelihatan sebuah basikal dari arah bertentangan. Aku melambai-lambaikan tangan, dan penunggang basikal tu pun perlahan-lahan menghampiri. Macam biasa, soalan rutin. Dari mana nak ke mana, asal dan umur. Ha ha. Aku tengok gaya dan muka pun dah boleh agak umur sekitar 17-19 tahun. Nama dia Adrian, asal dari Denmark. Mengembara solo cara ‘backpack’, tiba di Cambodia dia membeli basikal. Mula berbasikal dari Cambodia, masuk ke Thailand dan kini berada di Malaysia ikut pintu sempadan di Wang Kelian. Hah,Wang Kelian ?.
Aku dah bayangkan laluannya memang mengerikan. Dahsyat lah budak ni, dengan basikal sarat dengan muatan sanggup dia menghadap Wang Kelian punya penangan. Kalau aku memang tak sangguplah. Tapi kalau dah terpaksa, aku hadap je perlahan-lahan.
Bila aku tengok dia, aku teringat pada anak aku. Hebat, berani dan berdikari sungguh anak mat saleh ni. Anak aku sama umur pun tak sampai tahap mengembara sendirian. Memang aku tak nak lepaskan pergi lagi. Biasa lah, mentaliti orang melayu memang macam ni. Aku kena ubah, kalau tak sampai bila-bila anak tak pandai berdikari, lemah dan manja.
Sambil bersembang, RP bagi dia makan pisang untuk tambah tenaga. Pisang yang diberi oleh Abg Ronn untuk buat bekalan. Seronok tengok muka dia bila jumpa pengembara yang sama macam dia. Beria-ria dia bercerita saat-saat mendaki bukit, terjelir lidah mendaki bukit yang curam. Lucu.
Ikutkan hati memang nak bersembang lama, tapi aku kena capai sasaran ke Kaki Bukit dulu, perhentian seterusnya masih jauh lagi. Aku pun mengucapkan selamat jalan dan beransur-ansur bergerak meninggalkan dia sendirian. Semoga dia mendapat pengalaman yang hebat di sepanjang perjalanan nanti.
KAKI BUKIT
Makin menghampiri pekan Kaki Bukit, makin laju aku kayuh basikal. Dalam kepala otak aku cuma nak cari tempat yang dikatakan Abang Ronn. Ada batu tanda ke ? ada tugu ke ? Aku mencari sampai ke Gua Kelam, dah tak de jalan lagi lepas tu. Eh, mana dia. Aku hantar pesanan ringkas (sms) pada Abang Ronn bertanyakan tempatnya. Abang Ronn jawab, asal sampai ke Kaki Bukit, itu dah kira sah la. Oo, macam tu ja ke ? Jadi aku pilih Pejabat Pos Kaki Bukit untuk dijadikan titik penghujung perjalanan aku di kawasan jajahan Perlis. Haa selesai pun.Kemana pula lepas ni ? Padang Besar.
Dari Kaki Bukit ke Padang Besar hanya 14 km saja. Tak la jauh sangat. Jam sudah menunjukkan pukul 3:19 petang. Ketika sampai di simpang tiga, aku menghala masuk ke sebuah masjid yang berada di tepi jalan arah ke Padang Besar. Aku cakap pada RP, boleh la berhenti solat dulu, solat jamak Zohor- Asar terus. Dia mengangguk. Selesai bersolat, aku terus berkayuh tanpa henti sehingga tiba di satu kawasan yang banyak pokok jati ditanam secara tersusun.
Di pintu masuk tertulis ‘ Pusat Pelawat Dirian Pokok Jati tertua di Negeri Perlis’. Hairan juga aku, tempat apa ni ? aku cuma mengambil gambar untuk dibuat rujukan. Setelah mencari maklumat di internet baru lah aku tau. Di sini tempat penanaman dan pembiakkan pokok jati, dan cerita menarik tentangnya ialah Sultan Perlis pernah menitahkan agar singgahsana baginda dibuat dari pokok jati yang berasal dari Perlis.
LADANG BURUNG UNTA
Di sepanjang laluan ke Padang Besar banyak tempat-tempat menarik rupanya, selain dari taman pokok jati, aku jumpa ladang burung unta. Sebenarnya aku dah terbabas, tapi aku berpatah semula hanya kerana tak mahu menyesal di kemudian hari. Dah sampai, kenapa tak nak singgah kan ? bukannya kena bayar pun. Masuk percuma. Ketika aku sampai ada sebuah keluarga berada di situ. Ladang pun macam tak berapa terjaga. Burung unta yang di dalam kandang ada lah dalam 5 ke 6 ekor.Tercari-cari juga kat mana kaunter pertanyaan, nak juga aku bertanya tentang ladang ni, tapi tiada siapa pun yang menjaga. Bukan rezeki aku lagi agaknya. Kelihatan di langit awan hitam berkumpul menandakan hujan lebat akan turun di kawasan itu. Belum sempat aku memakai baju hujan, hujan turun mencurah-curah. Alang-alang dah basah, biar basah terus. Sedang asyik mengayuh terjumpa papan tanda ni. Menarik dan unik. Ingat nak singgah minum teh tarik, tapi bila tengok waktu dah petang sangat. Aku terus aje lah.
Pukul 5:04 petang aku sampai di Komplek Imigresen Padang Besar dengan basah kuyup.
CHUPING
Lokasi bermalam untuk hari ini adalah di Changlun. Sebelum itu aku mesti melalui Chuping di mana ladang tebu dan kilang gula terbesar di Malaysia berada di situ. Papan tanda memang banyak tapi mengelirukan, akibatnya aku tersesat jauh masuk ke kawasan kuaters perumahan. Ini semua gara-gara meminta pendapat RP. Memang aku marah pada diri aku sendiri, menyumpah-nyumpah dalam hati. Ye la dah mengembara bersama, tak boleh lah nak ikut pendapat sendiri. Tapi sudah silap daa. Lain kali, projek sendiri, keputusan sendiri.Nah, kerana kesilapan sendiri aku terpaksa berpatah semula hingga ke simpang utama. Lebih kurang jam 7:38 malam aku sampai dan berhenti kawasan ini :
Anda berada di Chuping, Perlis. Kawasan terpanas di Malaysia. Suhu tertinggi yang pernah direkodkan 40.1 darjah celsius.
Anda berada di Chuping, Perlis. kawasan ladang tebu terbesar di Malaysia.
Kawasan tu memang jauh dari penempatan, gelap dan sunyi pulak tu, jika terdesak memang boleh ja kalau nak bermalam cuma kurang sesuai dan tiada sumber air. Terasa nak buang air kecil pun aku tahankan ja. Naluri aku kuat mengatakan tempat tu tak selamat. Jadi, setelah mengambil gambar, aku teruskan perjalanan hingga sampai di kawasan perkampungan. Masa tu perut memang rasa lapar sangat, sampai tahap menggigil.
CHANGLUN
Nama Changlun ni sebenarnya berasal daripada bahasa Thai yang membawa maksud Gajah(chang) Jatuh (lun). Pekan Changlun mempunyai kedudukan yang cukup strategik kerana ia menjadi laluan utama ke sempadan Bukit Kayu Hitam Malaysia-Thailand di Utara, Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM)Sintok, di Timur, Jitra dan Alor Star di Selatan dan laluan ke Negeri Perlis Indera Kayangan di sebelah Barat.
Jam 8:45 malam aku sampai di Changlun dan berhenti di sebuah restoren. Rasa lega hati aku sebab dapat makan. Makan pulak tu gelojoh, aku rasa tak sempat nak kunyah 44 kali, 3 kali je terus telan. Punya la lapar tahap maksima. Bila perut dah kenyang baru lah otak aku boleh berfikir, baru berfikir nak cari masjid untuk bermalam.
Oleh kerana terlalu penat aku tiada tenaga langsung untuk mengambil apa-apa gambar. Lepas makan, terus cari masjid yang terdekat. Alhamdulillah jumpa pun masjid jamek Changlun. Masjid tu tidak berkunci. Takut juga nak masuk, nanti dikatakan menceroboh. Aku pusing sekeliling kawasan masjid dengan harapan berjumpa penjaga masjid, tapi langsung tiada siapa. Alah, kira boleh je lah. Aku bawa basikal ke bahagian belakang tandas masjid dan mula mengeluarkan barang-barang keperluan untuk membersihkan diri.
Tandasnya besar, tapi aku seorang ja yang mandi. Dah la tengah malam, dengar pulak bunyi air paip menitik-nitik tak berhenti. Kering-kering hati aku ni ada gak rasa seram. Nak mengelakkan rasa takut aku buka semua lampu yang ada. Ha, puashati, kemudian aku mandi dengan kadar yang segera. Zast ! Dah siap, cepat-cepat aku keluar. Lega.
‘Hammock’ telah siap digantung. Wah, malam ni aku tidur lena. Berbuai hingga ke pagi la gayanya. Setelah memastikan basikal sudah berkunci, beg dan barang-barang lain di susun dengan kemas, aku terus masuk ke dalam ‘hammock’. Malam itu angin agak kuat bertiup. Bumbung tempat aku tidur sampai terangkat-angkat ditiup angin. Terasa gerun pulak dalam hati, bukan tu saja, bisikan-bisikan jahat mula berlegar dalam minda aku. Tak boleh jadi ni, syuhh..syuhh. Tidurlah wahai mata esok nak jalan jauh. Aku kosongkan fikiran dan baca ayat qursi berulang kali sampai aku terlena. Zzz.
Info kayuhan hari ke 6:
Jarak kayuhan : 141.64 km
Masa : 10.45 pagi- 8.45 malam.
No comments:
Post a Comment