Changlun- Kampung Belantik
Jumaat 12hb April 2013
Subuh. Azan sedang berkumandang. Aku yang lena berbuai, terkejut dan mengelupur bangun dari ‘hammock’. Alamak ! kenapa jam telefon tak berbunyi ? atau aku yang tak sedar. Dek kerana seronok tidur dalam hammock, sampai terbabas waktu. Kelam kabut aku kemaskan ‘hammock’ dan pergi membersihkan diri. Pening kepala aku kerana bangun mengejut. Pagi tu, bukan aku seorang saja yang menggunakan tandas masjid, tapi ramai kakak dan makcik- makcik singgah untuk bersolat. Dari mana pulak ramai-ramai ni ? Dari cerita-cerita mereka yang bercakap sesama sendiri baru lah aku tahu, rombongan tu hendak ke Bukit Kayu Hitam. Riuh rendah dalam tandas tu.
Bila aku fikir balik, patutlah masjid ni tak berkunci. Memang sengaja dibuka untuk kemudahan orang awam berhenti solat atau berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam.
Tepat jam 7:00 pagi aku memulakan perjalanan. Keadaan cuaca masih gelap dan aku mengayuh perlahan- lahan. Jalan keluar dari Changlun agak mengelirukan, terpaksa lah aku bertanya pada seorang abang yang hendak menghantar anaknya ke sekolah. Abang tu kata, aku perlu berpatah balik dan selepas trafik light ambil susur ke kanan. Alhamdulillah, mujur tak jauh.
Lebih kurang 30 km, setelah melintas kampus UUM (Universiti Utara Malaysia) di Sintok, aku tiba di simpang tiga. Aku tak pasti mana satu jalan yang mesti aku ikut. Kebetulan pulak lalu lah satu kumpulan MTB. Apalagi aku pun memanggil dan bertanya kepada salah seorang pemuda yang sedang mengayuh basikal arah jalan nak ke Padang Sanai. Dia menyuruh aku terus saja mengikut jalan yang dia lalu tadi.
PADANG SANAI
Laluan arah ke Padang Sanai makin lama makin mendaki, jalan raya pun semakin berpasir. Itu yang membuatkan aku rasa kayuhan bertambah berat. Sunyi, cuma kedengaran bunyi suara burung-burung dan cengkerik hutan. Langsung tiada kenderaan yang lalu lalang. Jika ada pun hanya lori tanah yang keluar masuk dari kuari. Fuh ! kalau malam-malam lalu jalan ni memang menyeramkan. Dari apa yang tercatit di peta semenanjung Malaysia, ada sebuah air terjun di kawasan ini yang dipanggil air terjun Puncak Janing. Tapi tak pasti pula ada atau tidak laluan masuk dari Padang Sanai. Aku tercari-cari juga kalau ada jalan masuk ke sana, tapi tiada.Dari Sintok ke Padang Sanai dalam 36km saja, tapi laluannya memang menjerihkan, aku dah mula rasa malas, malas nak mengayuh basikal. Sampai satu tahap, bila pandang depan, tengok jalan yang makin menaik dan menaik di tambah dengan jalan berpasir buat aku rasa dada aku sesak sangat, ‘ah cukup lah, aku nak berhenti.’ Aku keluarkan makanan yang ada, sedikit roti dan buah kurma. Itu yang aku makan. Bila rasa sesak di dada mula reda, aku teruskan perjalanan, tapi hanya dengan menolak basikal, jika aku kayuh aku akan menggunakan 3x ganda tenaga untuk membolehkan basikal bergerak di atas jalan yang berpasir. Tak larat haih.
Mula rasa cuak, betul ke tidak jalan ni ? Bila aku nampak kereta melintas, aku terus tahan untuk bertanyakan arah jalan ke Padang Sanai, dan jawapan yang aku terima memang betul ini lah jalan ke sana. Phew !
Tolak. Tolak dan tolak.
PADANG TERAP
Masuk kawasan Padang Terap, baru lah jalanraya kembali elok dan cantik. Ketika itu aku berselisih dengan sekumpulan penunggang MTB. Sempat melambaikan tangan saja. Aku pun dah semput, tak berminat nak berlebih-lebih.Beginilah keadaannya di waktu matahari tegak meninggi. Kawasannya yang terbuka luas mata memandang, kiri kanan pokok-pokok getah yang baru ditanam. Whoa ! dia punya panas mengigit-gigit kulit. Walaupun begitu , pemandangannya sangat cantik. Langit yang biru, awan berkepul-kepul berselerakan, terapung-apung ja. Sekali sekala dapat melihat pergerakan pancaran matahari bila awan yang menutupi sinar matahari menjadikan keadaan sekejap terang, sekejap redup. Subhanallah.
Sampai di Padang Sanai kiraan meter basikal aku dah cecah 1 ribu km. Ini baru separuh Semenanjung, ada lagi beribu-ribu km lagi aku kena tempuh.
KAMPUNG BANGGOL 9
Tepat jam 12:03 tengahari, aku pun sampai ke Kampung Banggol 9. Nampak ada gerai kecil di tepi jalan, terus aku berhenti. Perut memang tengah lapar sebab tak bersarapan sangat pagi tadi. Aku tinjau-tinjau juga apa yang dijual, tak banyak pilihan, kuih muih pun dah habis sebab itu jualan untuk sarapan pagi. Aku nampak ada lebihan rendang ayam dan sambal sotong, yay. Kegemaran aku ! Terus minta nasi putih sepinggan dan air teh O ais.Pinggan dan gelas tak ada, kelam kabut makcik tu balik ambil di rumah. Biasanya, mana ada orang duduk makan di gerainya, pelanggan beli dan bawa pulang. Bila aku datang,nak makan minum pulak, mana tak kelam kabut. Layanan orang Kedah memang terbaik. Peramah.
Nikmat sungguh makan bila perut tengah lapar, ditambah lagi rendang asli Kuala Nerang, perggh. Hasrat hati nak tambah nasi lagi, tapi sebab rendang sudah habis. Aku jilat jari saja lah.
Cuaca tersangatlah panas, terasa nak berehat lama sedikit di gerai makcik ni, sambil tu boleh dengar dia bercerita kisah Kampung Banggol 9 dan kisah jual tanah.
Mula-mula aku tak berapa nak faham bila dia sebut pasal jual tanah, sebelum ni cerita tentang beli tanah. Eh! kaya betul makcik ni, siap jual beli tanah bagai, aku ingat jual tanah ekar, rupanya jual tanah bukit yang dikorek kemudian jual pakai lori. Baru aku tahu, selain berkebun, mereka yang ada tanah yang berbukit dapat hasil dari penjualan tanah-tanah tu. Ahoi ! gondol dan rata lah lanskap di kampung ni nanti.
Tengah seronok bersembang tiba-tiba angin ribut datang menderu-deru. Bergegar meja tempat aku makan.Terbang semua apa yang ada atas meja, termasuk basikal aku pun tumbang juga. Ha ha ha. Adoi makcik, selalu ke ribut mai kat sini ? Makcik tu senyum ja sambil makan sireh.
Ribut dah reda, aku pun nak teruskan perjalanan jadi aku pun minta makcik tu mengira harga makanan yang aku makan tadi. RM6 katanya. Ha ? Nasi + sambal sotong + rendang ayam +teh O ais untuk 2 orang hanya 6 ringgit ? Aku suruh makcik tu kira lagi dan lagi sampai 3 kali. Aku tak percaya harga makanan punya murah macam tu. Kalau kat Kuala Lumpur mana dapat harga macam tu untuk 2 orang makan. Tergelak aku. Aku cuma doakan, semoga perniagaan makcik tu akan terus berkembang maju hendaknya.
Cuaca semakin panas. Panas yang teramat sangat, lebih- lebih lagi di kawasan terbuka berbukit bukau. Walaupun panas, terasa angin bertiup dan itu menyebabkan aku kurang berpeluh.
Dari jauh aku nampak budak-budak sedang bermain layang-layang di hadapan wat yang ada patung gajah. Apalagi, mesti nak ambil gambar. Aku cuma berhenti di pintu gerbang, tak berani nak masuk tempat ni. Sekadar menjenguk dari luar pun memadai.
Wat Thai Pradit Tharam. Wat ini dikenali sebagai wat gajah terletak tepi jalan Padang Sanai ke Durian Burung( Kota Putera). Setiap tahun ramai yang datang ke wat gajah ni untuk bersembahyang dan membayar niat serta minta nombor ekor. Terletak di kawasan kampung Baru Padang Sanai, penduduknya terdiri dari orang Melayu dan Siam. Orang-orang Siam terbahagi kepada Islam dan Buddha. Rumah penduduk keturunan Siam yang beragama Buddha memiliki pagar disekelilingnya demi mengelak babi ternakan mereka merayau ke kawasan Melayu/Siam Islam.
EMPANGAN PEDU
Tak lama lagi aku akan memasuki kawasan empangan. Bermakna peningkatan untuk tekanan kayuhan mula terasa. Kebarangkalian untuk melihat fatamorgana juga ada. Bukan separuh masak, tapi masak terus aku di tengah-tengah panas ni. Ho ho ho layankan aja lah.Di sini ada 3 empangan yang berkait rapat antara satu sama lain. Memandangkan Empangan Muda mempunyai kawasan tadahan yang luas dan takungan yang rendah maka air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu yang mempunyai takungan yang tinggi melalui Terowong Siong sepanjang 6.8 km. Bagi takungan dan perlepasan air untuk tujuan pengairan ia akan dilepaskan melalui Empangan Pedu dan Ahning.
Bila kayuhan aku mula berupa ular, menandakan peratus tenaga aku mulai lemah. Apa yang perlu dibuat adalah berhenti saja. Aku keluarkan dapur dan mula memasak air. Jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 6:09 petang. Perut aku terlampau lapar hanya tekak saja yang tahu. Untuk sementara waktu, aku hanya minum air teh yang dicicah dengan biskut . Kawasan ni baru dibina jadi persekitarannya agak kering kontang, tiada langsung sebatang pokok untuk berteduh.
KAMPUNG BELANTIK
Hingga ke jam 8 malam barangkali, aku baru sampai ke Kampung Belantik. Kampung ini agak jauh dari bandar. Di kelilingi bukit bukau dan di tengah hutan. Mujur waktu masih awal, jadi memang ada orang kampung berlegar-legar di jalanan dan itu memberi peluang kepada aku bertanyakan arah ke masjid yang terdekat di kampung tersebut. Masjid Al-Wustha. Masjid yang menjadi tumpuan orang-orang kampung. Ketika aku sampai, ramai budak-budak bermain di perkarangan masjid. Aku bertanya pada kakak yang baru keluar dari masjid. Ada majlis apa kat sini ? Dia kata di sini sentiasa menyediakan kelas untuk budak-budak mengaji tiap-tiap malam, bermakna masjid ini tak pernah sunyi dari aktiviti.
Bagus betul penduduk kampung ni. Walaupun kedudukan kampung ni jauh dari bandar tetapi semangat mengimarahkan kecemerlangan masjid memang patut dipuji. Cuma satu ja kurang, perlu perbanyakkan servis rangkaian komunikasi . Cuma ada 1 rangkaian talian saja yang mampu beroperasi di kawasan itu. Terputus langsung hubungan aku dengan rakan-rakan sebab aku tak menggunakan rangkaian telekomunikasi Celcom.
Sebelum kakak tu pergi dia bagi aku ais krim Malaysia perisa jagung. Aku tercengang dan bertanya , eh ! kenapa bagi saya kak ? Tak pa, ambik la. Memang kat sini kami ada buat ais krim, sedekah kat budak-budak dan jemaah kat sini, jawabnya. Owh. Terima kasih ya kak. Dalam hati aku bilang ‘Erks, malam-malam makan ais krim ? Ahaks blasah ja. Aku biarkan ais krim di atas beg, kerana aku bercadang nak makan selepas selesai mandi nanti.
Apabila semua jemaah sudah pulang, baru aku angkat beg, kunci basikal dan terus pergi bersihkan diri. Bila siap semuanya aku duduk di tangga masjid sambil makan ais krim jagung yang semakin cair. Lembut halus dan sedap betul. Terkenang masa aku kecil dulu. Ais krim Malaysia perisa asam boi lah menjadi kegemaran. Beku otak aku kejap makan benda sejuk malam-malam. Sedap punya pasal beku pun beku lah.
Aku nampak RP leka berbual dengan siak masjid entah sampai pukul berapa pun aku tak tau. Malam itu, aku tidur di ruang legar masjid. Bentang ‘hammock’ dan sangkut kelambunya di tiang batu masjid. Jam di telefon aku tetapkan pukul 4:40 pagi. Biar cepat bangun dan berkemas agar tak timbul persoalan daripada jemaah. Suasana di kampung Belantik cukup sunyi, cuma dengar bunyi cengkerik dan unggas malam. Dengan alunan muzik alam aku terlena.Tenang.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.
Info kayuhan hari ke 7 :
Jarak kayuhan : 104.32km
Masa : 7.00 pagi-8.45 malam
No comments:
Post a Comment