Wednesday, September 24, 2014

Tahniah ! Anda sekarang berada di penghujung Selatan Tanah Besar Asia [POT]

Hari ke-20
Johor Bharu  - Pontian Kechil
Khamis 25hb April 2013

Aku kesiangan. Mungkin terlalu selesa tidur dia ruang tamu membuatkan aku malas nak mencelikkan mata. Pagi tu kami dijamu dengan sarapan nasi goreng dan ikan masin. Itulah juadah sarapan pagi yang disediakan oleh emak Su. Walaupun nampak biasa, tapi rasanya sedap. Hasrat hati aku, nak tambah kali kedua tapi tengok nasi gorengnya dah habis, terus ja aku ke dapur mencuci pinggan. Layanan keluarga Su sangat menyenangkan. Agak lewat juga kami bersiap, jam 8.15 pagi baru memulakan perjalanan untuk hari yang ke 20.


Hari ini aku akan menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengan kehilangan talipon aku. Perkara yang selama ini aku tak berpeluang untuk selesaikannya kerana perjalanan aku tidak melalui bandar-bandar besar dan setiap hari sampai lewat malam. Oleh sebab itu lah aku terpaksa bergantung harap pada telefon RP saja. Su membawa kami menyelusuri jalan menuju ke pantai Stulang Laut, dalam perjalanan kami melintas di hadapan  istana Pasir Pelangi Sultan Johor. Istana yang dikawal ketat sehingga nak bergambar di depan pagar istana pun kami dihalau.



STULANG LAUT
Bertempat di pinggir Selat Tebrau yang memisahkan Malaysia dari Singapura, terletaknya Stulang Laut yang menjadi tapak ‘pasar pagi atau Pasar Segar Orang Asli’. Orang asli dari suku kaum Seletar yang juga dikategorikan dengan orang laut. Di Johor, terdapat beberapa buah kampung yang menjadi penempatan suku kaum Seletar antaranya Kampung Orang Asli Stulang Laut, Kampung Orang Asli Bakar Batu dan Kampung Orang Asli Telok Jawa. Hasil laut yang mereka tangkap semuanya dijual kepada org ramai.


Pasar ni telah wujud sejak dahulu lagi juga di sekitar tahun 70’an di mana dulunya tidak berapa popular sangat kerana sekadar menjual hasil-hasil laut kepada penduduk setempat iaitu seperti udang, ketam , kerang seperti lokan, kupang, kijeng, remis dan sebagainya. Kini telah menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan juga warga Singapura.





Su hanya mengiringi separuh jalan saja. Katanya Abang Sahid akan menunggu di Danga Bay. Sebelum berpisah aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga atas budi baik nya menumpangkan aku tidur di rumahnya. Aku harap dapat membalasnya bila dia pula buat kunjungan balas ke tempat aku nanti .



Aku mengikut jalan yang Su telah tunjukkan kerana aku bercadang untuk singgah di Danga Bay terlebih dahulu untuk mencari Maxis Center bagi menguruskan beberapa perkara \.





TELOK DANGA

Teluk Danga atau lebih dikenali sebagai Danga Bay merupakan pusat rekreasi terbesar di bandar Johor Bahru. Tempat ini juga terletak berdekatan dengan Istana Bukit Serene iaitu kira-kira 7 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru.
Aku tiba di Danga Bay sekitar 9.45 pagi dan terus menuju ke  Maxis Center untuk mendapatkan semula nombor telefon aku yang hilang tempohari. Setelah melalui beberapa proses, akhirnya aku dapat menggunakan nombor yang asal. Nombor sudah ada, selepas ini aku kena beli telefon pulak.


Urusan aku sudah selesai, Abang Sahid pun sudah sampai untuk membawa aku melawat beberapa tempat yang wajib singgah di sekitar Johor. Lokasi seterusnya kami akan menuju ke Pekan Nenas melalui Nusajaya dan Gelang Patah. Di Nusajaya aku lalu dia satu kawasan yang sangat luas. Abang Sahid kata inilah Legoland. Tanah seluar 76 ekar yang dibina dengan taman bertemakan lego yang pertama di Asia. Aku sekadar melihat dari jauh saja. Nak masuk rasanya tak cukup duit.



PEKAN NANAS
Hampir pukul 1 petang kami sampai di Pekan Nanas. Di sinilah dibina tugu berbentuk nenas. Tempohari, aku ingat tugu ni ada di Nenasi. Beria-lah aku cari, patutlah tak jumpa. Pekan Nanas terkenal kerana pengeluaran nenasnya dan mempunyai Imigresen depot Pekan Nanas dan kilang pengetinan nanas.





Satu perkara yang aku masih ingat setelah diberitahu oleh seorang kawan ketika aku mula-mula mengenali dunia basikal. Katanya komponen basikal yang terkenal dan diyakini kualitinya ialah dari jenama Shimano. Dan yang lebih menarik adalah, kilang pembuatannya ada dibina di Malaysia dan terletak di Johor. Tidak disangka-sangka, lepas saja sesi bergambar di tugu nenas, Abang Sahid bertanya, “ Tun nak tengok kilang Shimano tak ?”. Kilang Shimano kat sini ke? tanya aku meminta kepastian. Abang Sahid menganggukkan kepala. Apalagi, suka sangat hati aku bila mendengarnya. Kilangnya tak jauh dari tugu nenas, hanya 2-3 minit perjalanan mengikut jalan pintas di celah-celah bangunan kedai. Walau aku tak dapat nak masuk melawat, dapat bergambar depan kilangnya pun jadilah.

Destinasi seterusnya ke Tanjung Piai melalui jalan kampung yang aku pun tak tahu apa nama jalan tu. Abang Sahid yang menjadi jurupandunya dan dia lebih arif tentang jalan-jalan di sini. Semua jalan kampung dia masuk, hatta jalan yang macam jalan mati pun boleh tembus dari satu kampung ke kampung yang lain. Kayuh punya kayuh tiba-tiba terus keluar kat Sekolah Kebangsaan Sungai Boh, Kukup. Sekolah ni terletak berhampiran dengan hutan paya bakau. Terfikir juga aku, di hujung-hujung semenanjung pun ada sekolah ? Jahil sungguh aku. Rupanya banyak perkara yang aku masih tak tahu. Itulah sebab digalakkan kita keluar mengembara. Jauh perjalanan, luas pemandangan bertambah ilmu pengetahuan.





TANJUNG PIAI
Aku sudah memasuki Kukup, lagi 13km aku akan sampai di penghujung tanah semenanjung. Tanjung Piai adalah tanjung di Johor yang merupakan titik paling selatan di Semenanjung Malaysia dan  titik paling selatan tanah besar Eurasia. Ia juga salah satu daripada lima tapak Ramsar di Malaysia. Apa itu tapak Ramsar ? Ramsar ialah nama satu tempat di Iran. Namanya diguna pakai untuk satu perjanjian Konvensyen Ramsar di mana sesebuah kerajaan dan pemegang kepentingan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ekosistem bakau dan nilai yang dikekalkan. Hakisan di tapak perlu dikurangkan untuk melindungi integriti ekologi ekosistem hutan bakau.
Oleh sebab itu pentingnya pokok paya bakau sebagai halangan semula jadi untuk melindungi kampung-kampung pedalaman dan tanah-tanah pertanian daripada ribut, termasuk tsunami.


Tanjung Piai dinamakan sempena nama satu specis pokok paku yang dikenali sebagai pokok paku piai. Bersebelahan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai dibina sebuah mercu tanda bagi menggambarkan bahawa Tanjung Piai ialah “Tanah Paling Selatan Benua Asia”. Pada permukaan mercu tanda diukir dua pelepah pokok piai raya (acrostichum aureum) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Pokok  piai raya didapati tumbuh dengan banyaknya bersama-sama pokok bakau di sini.
Untuk masuk ke tempat ini, pelancong akan dikenakan bayaran sebanyak rm5 untuk pelancong tempatan dan rm10 bagi pelancong asing, bukan itu saja pelancong akan diberi sijil pengesahan tanda telah sampai ke tempat tersebut.  Aku sudah, anda bagaimana ?


Kebiasaannya, basikal tidak dibenarkan untuk masuk ke tempat ini, tetapi atas bantuan rakan lama aku Anip, segalanya berjalan dengan lancar. Anip adalah rakan ketika aku bergiat aktif dalam pendakian gunung. Kami berkenalan ketika membuat ekspedisi Trans Gopeng beberapa tahun yang lalu. Sejak dia berpindah ke Johor, aku dah tak mendengar berita dia langsung hingga lah sekarang.


Dari pintu utama kita akan lalu di atas pelantar kayu di tengah-tengah hutan paya bakau. Terdapat juga kata-kata hikmat yang ditulis sepanjang laluan. Kita juga perlu berhati-hati dengan kehadiran monyet-monyet yang sentiasa menunggu untuk merampas apa-apa makanan yang kita bawa.



Akhirnya tercapai hasrat aku untuk sampai ke sini dengan basikal.





PONTIAN KECHIL

Destinasi hentian aku untuk hari ke 20 ialah di Pontian Kechil sejauh 31 km dari Tanjung Piai.
Dalam hujan renyai kami tiba di kawasan Pusat Perdagangan Pontian antara jam 7- 8 malam. Abang Sahid terus menyewakan untuk kami dua buah bilik kemudian dia akan pulang semula ke Johor Bharu. Setelah mendapat kunci bilik, RP dan Tok Ji naik ke bilik untuk berehat. Manakala aku pula menunggu sehingga  isteri abang Sahid datang menjemput. Ketika berbual-bual, aku ternampak banyak kedai menjual telefon yang masih beroperasi di hadapan hotel. Jadi aku minta abang Sahid menjagakan basikal aku sebentar kerana aku nak ke kedai sebentar.
Hari ini baru aku berpeluang untuk membeli telefon baru. Dengan menggunakan duit yang En. Azmi Zakaria berikan tempohari aku mencari telefon bimbit dengan harga yang murah. Sekurang-kurangnya aku dapat menjadikan pemberian tu sesuatu yang boleh diingati.


Puas hati aku sekarang, dah tak perlu mengharapkan segala maklumat datang dari RP lagi. Aku kembali semula ke hotel, tak lama kemudian isteri abang Sahid pun tiba. Terima kasih buat abang Sahid dan keluarga kerana bersusah payah membantu perjalanan aku. Semoga abang Sahid dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Hanya doa yang mampu aku berikan untuk membalas pertolongannya selama ini.
Aku terus naik ke bilik, membersihkan diri dan bersolat. Tak ada apa yang boleh buat selain berehat dan tidur. Di luar aku masih mendengar bunyi hujan yang makin turun dengan lebat. Bismillahirrahaminrrahim, al-fatihah & ayatul qursi.

Info kayuhan hari ke 20 :
Jarak kayuhan : 146km
Tempoh masa : 8:00 pagi - 7:00 malam

No comments:

Post a Comment