Thursday, September 25, 2014

Setelah 22 hari [POT]

Hari ke -22
Muar- Port Dickson
Sabtu, 27hb April 2013

Pagi itu aku tengok cuaca agak suram, hujan renyai-renyai turun tanpa henti. Oleh kerana sudah berjanji, tepat jam 7 pagi akan mula berkayuh dengan rakan host iaitu Shahrul Nizam yang akan mengiringi aku keluar dari bandar Muar, sebelum subuh lagi aku dah bangun dan bersedia.
Setelah memulangkan kunci bilik di pejabat hotel, Shahrul Nizam pun sampai. Hujan masih turun, tapi kami terus keluar untuk mencari sarapan pagi.
Nah, Shahrul Nizam nak tunjuk pada aku sarapan wajib orang-orang Muar, jakun sekejap.
Selalu sarapan pagi yang popular adalah nasi lemak dan roti canai tapi berbeza di Muar, mereka makan mee rebus dan satay pagi-pagi. Selain itu, ada lagi makanan yang selalu aku makan waktu petang, tapi orang Muar makan waktu sarapan pagi, tapi aku dah lupa namanya.






Rasanya memang sedap, tak hairanlah restoran ni sentiasa penuh. Terpegun aku.
Lepas makan, Shahrul Nizam bawa aku  jalan-jalan melihat banggunan lama yang masih dipelihara. Apa yang menarik adalah, setiap banggunan dicat dengan warna yang berbeza mengikut lorong. Merah ,kuning, biru dan mungkin ada lagi warna lain yang aku tak nampak sebab aku tengok sekali lalu saja.

Dalam hati memang terasa rugi sebab tidak dapat nak menjelajah dengan lebih jauh lagi. Nak ambil gambar mercu tanda Muar pun aku tak dapat kerana leka memandang ke arah sungai sambil mengayuh menyeberangi jambatan. Bila toleh belakang baru nampak , eh ada tulisan MUAR lah. Ala, takkan nak patah balik, sedangkan Shahrul Nizam dah jauh di depan. Tak mengapalah mungkin lain kali aku akan kembali semula.
Shahrul Nizam mengiringi aku separuh jalan. Dia akan terus mengambil pusingan untuk kembali semula ke bandar Muar manakala aku akan terus menuju ke Melaka. Sebelum berpisah aku sempat mengambil gambar  basikal yang dimilikinya. Cantik dan simple kan ?


Dipertengahan jalan aku bertemu semula dengan Tok Ji dan RP. Aku fikirkan mereka sudah jauh di hadapan, rupanya sama juga seperti aku lewat memulakan perjalanan kerana hujan.
Hujan sudah mulai kurang merintik, aku teruskan kayuhan seperti biasa. Dari jauh aku nampak sebuah rumah kampung yang mana, di halamannya ada beberapa buah motor antik. Aku berhenti untuk memastikan apa yang ada di situ. Pasar Karat. Menarik ni, lagipun aku tak pernah jejak ke pasar karat walau pun sering mendengar kawan-kawan bercerita. Ini kali la..
Kelihatan peniaga-peniaga barang antik sibuk menyusun barang-barang jualan setelah hujan berhenti.











Satu persatu barang yang dipamirkan aku telek. Semuanya mengembalikan nostalgia aku masa kecil. Hingga ke belakang rumah pun aku jenguk. Banyak betul barang-barang lama dijual. Sempat berbual dengan pemilik rumah tradisi ni, dapat lah meninjau-ninjau apa yang ada dalam rumah tersebut. Dia menunjukkan replika basikal yang sudah bertahun dimilikinya. Walaupun kecil tapi boleh dinaiki. Selain dari itu, ada juga lampu untuk basikal zaman dulu-dulu pelbagai bentuk. Cukup unik dan berharga.

Sekiranya ada yang berminat, boleh lah datang ke sini . Di bawah ini aku ada sisipkan gambar kad perniagaan beliau. Ada alamat dan nombor talipon sekali. Selamat membeli belah dan jangan lupa boleh tawar menawar harga sehabis rendah. Aku meninggalkan pasar karat pada jam 9.39 pagi.


MELAKA

Jam menunjukkan 9.55 pagi. Sekarang aku berada di Negeri Melaka. Negeri yang dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah, Melaka Darul Azim atau Negeri Hang Tuah. Pada tahun 2008 Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage)


Ini lah mercu tanda negeri Melaka jika melalui Jalan Persekutuan 5 (Muar- Jasin). Replika beca yang besar sekali. Aku punya lah teruja, boleh pula panjat sampai ke tempat duduk. Lihat betapa besarnya tayar beca ni. Puas hati aku dapat bergambar di tempat yang paling tinggi kat beca tu. Ha ha ha.




Melintasi pintu gerbang Majlis Perbandaran Jasin, membuatkan aku terbayang akan suasana negeri ini di zaman dulu. Rumah- rumah tradisi melayu Melaka yang kecil dan comel. Rumah yang penuh dengan ukiran amat lah aku hargai. Ternyata masih banyak lagi rumah-rumah tradisi masih kekal tersergam indah dipelihara oleh waris-waris mereka.



Di Melaka ada 7 campuran budaya yang mana jika kita lihat ianya begitu unik. Melayu, Cina Melaka, India, Baba dan Nyonya, Chetty atau Hindu Peranakan, Serani dan Bawean yang telah lama hidup dengan aman damai sesama mereka. Ini ditunjukkan pada reka bentuk masjid campuran budaya Melayu dan Cina yang aku lihat di sepanjang perjalanan di Melaka. Pengembaraan aku ini tidak lah untuk menjejak sejarah, hanya sepintas lalu melihat sendiri kesan sejarah yang masih tinggal.


MERLIMAU
Tujuan asal selain dari menjejak jalan-jalan di pesisir pantai seluruh Semenanjung, aku juga berhajat untuk menziarahi makam Tun Teja yang terletak di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau. Lama aku idamkan untuk menjejakinya.
Dengan gigih aku bertanyakan lokasi kepada penduduk setempat. Bukan apa, untuk mengesahkan bahawa jalan yang aku lalu adalah jalan yang betul. Walaupun papan-papan tanda sudah disediakan oleh pihak kerajaan negeri. Kadang-kadang papan tanda mengelirukan aku. Sebelum sampai ke makam, aku singgah sebentar di satu lagi tinggalan sejarah iaitu Perigi Portugis.




Tempat ini aku lihat begitu sepi. Kurang tarikan untuk pelancong luar dan dalam negara untuk datang melawat. Setelah beberapa minit melihat kawasan perigi, mengambil gambar dan membaca sejarahnya, aku pun beredar.
Seterusnya aku ke makam Tun Teja pula. Dari jauh aku melihat, makamnya terletak di tengah-tengah sawah bendang. Kiri kanannya kelihatan pokok padi yang menghijau. Indah dan damai suasananya. Ada juga gerai menjual hasil kraf sebagai cenderamata dan kedai minum di pintu masuk.


Berdebar-debar rasa di hati ketika melangkah masuk ke makam. Cantik dan bersih dijaga rapi. Ada sebuah perigi di hujung makam, di kelilingi dengan papan-papan penyata bergambar yang memaparkan kisah riwayat hidup Tun Teja. Dengan peluang yang ada aku hadiahkan  bacaan ummul kitab dan ayat qursi serta menyatakan yang aku sangat berterima kasih dan berbangga menggunakan namanya.


Hajat telah tertunai, lega rasa hati sebab matlamat sudah hampir ke penghujungnya. Kini aku akan menuju ke Pengkalan Balak. Rakan touring bahagian Melaka sudah menanti di sana untuk mengiringi aku hingga ke Port Dickson.
Aku, Tok Ji dan RP meneruskan perjalanan untuk hari yang ke 22 merentas Johor dan Melaka untuk menuju ke Negeri Sembilan. Di sepanjang jalan ada saja tempat bersejarah, seperti di Umbai aku tertarik pada reka bentuk masjid dan makam yang unik ini. Hanya sempat mengambil gambar saja, tamat pengembaraan ini nanti baru aku kaji siapa dan apa sejarahnya. Bisik hati kecil.



Ini Makam Sultan Ali . Setelah membaca sejarahnya, rasa pening pula kepala. Faham-faham sendiri sudah lah.


-------
Perjalanan harus diteruskan.
Sedang asyik mengayuh basikal dengan kelajuan maksima, tiba-tiba RP memintas dan menyuruh aku berhenti. Uhf ! kenapa ? kenapa ?. Tayar pancit katanya. La, tayar siapa pulak pancit ? Basikal Tok Ji.
Aku berpatah balik. Aku lihat Tok Ji sedang membuka tayar. Ketika itu aku memang berbelah bahagi, samada untuk tolong ‘tengok’ atau meneruskan perjalanan aku yang  berbaki tinggal satu hari saja lagi. Setelah berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Aku menghampiri Tok Ji , ikhlas aku meminta maaf dan menyatakan hasrat aku untuk meneruskan perjalanan dengan kayuhan yang minima. Sebab aku tahu, kayuhan aku lambat berbanding dengan kayuhan Tok Ji yang sememangnya sangat laju dan aku pasti jika aku gerak dulu dengan kelajuan 18 km/sj, beliau senang-senang boleh kejar dan memintas aku. Tok Ji bersetuju untuk aku bergerak dulu, lagipun RP ada menemaninya. Terima kasih Tok Ji. Kita jumpa di Pengkalan Balak atau di Port Dickson.
Jauh juga aku mengayuh basikal, kerap juga aku berhenti untuk menunggu Tok Ji dan RP menyusul rapat di belakang aku. Toleh- toleh, jenguk- jenguk tapi kelibat mereka langsung tak kelihatan. Apasal tak sampai- sampai ni ? Hrm. Tiba di bandar Melaka sekali lagi aku berhenti, dan aku memilih untuk berhenti di tengah-tengah jambatan Hang Tuah. Lama juga aku berhenti rehat, sambil menikmati permandangan bot pelancong yang keluar masuk ke muara sungai Melaka.


Fuh, nyaman juga berada di sini. Angin sangat kuat bertiup hingga aku terasa macam nak tumbang dengan basikal sekali. Aku keluarkan  roti dan saki baki buah kurma yang masih tinggal. Makan sambil menghayati suasana petang itu. Nun jauh di sana kelihatan kapal-kapal dagang, horizon, langit biru, awan yang berkepul-kepul berselerakan dan burung-burung juga yang galak berterbangan menongkah angin.

SUNGAI UDANG

Meninjau-ninjau mencari juga mana tau mereka berdua sudah sampai di bandar Melaka tapi tiada. Aku teruskan perjalanan, terasa perjalanan sungguh jauh, cuaca agak panas terik. Terasa sedikit tekanan bila lalu di kawasan Sungai Udang yang sedikit berbukit-bukit. Perit dan pedih kulit aku digigit panahan cahaya matahari. Sungai Udang ni terletak di tanah tinggi pesisir laut. Ada satu tempat tu bila aku lalu dah boleh nampak laut. Lawa sungguh permandangannya. Sungai Udang juga dikenali sebagai "Home of the Commandos" kerana di sinilah bermulanya sejarah Regimen Gerak Khas iaitu sebuah pasukan komando elit Angkatan Tentera Malaysia.


Di hujung-hujung perjalanan, ketika melintasi Petronas Tangga Batu, aku bertemu lagi dengan  pengembara berbasikal dari luar negara. Kali ini berasal dari Belgium. Sudah berumur juga, tapi masih kuat dan bersemangat. Aku nampak dia datang dari arah bertentangan, macam biasa aku akan mengangkat tangan tanda menyapa ‘hai’. Dia terus melintas jalan dan menuju ke arah aku. Aku ingat malas la nak berhenti-henti lagi tapi tak mengapalah, berbual sekejap.


Sama juga pandangan mereka ini bila berjumpa dengan aku, mereka tidak pernah berjumpa pengembara wanita berbasikal sebelum ni. Apalagi di Malaysia. Hrm..ye ke ? Memang lah kerana pengembara wanita berbasikal ni boleh dikira. Kalau nak tahu,’ super girl ‘ Heather lagi hebat dari aku. Dia lah penggerak semangat aku untuk berbasikal mengelilingi Semenanjung. Dari California dia mengembara hingga ke Malaysia dan aku cuma dari Selangor, ternyata belum layak sampai ke tahapnya.
Lebih kurang 5 minit juga aku berbual, kemudian aku minta diri untuk teruskan perjalanan. Berat hati juga nak meninggalkan dia sebab memandangkan usianya pun mungkin sudah cecah 60 tahun. Haish ! Semoga perjalanannya dalam keadaan yang baik dan selamat hendaknya.

PENGKALAN BALAK
Jam 5 petang aku dah sampai di Pantai Pengkalan Balak. Lega rasa hati aku selamat sampai tanpa mengalami apa-apa masalah. Berhenti rehat di wakaf berhampiran dengan gerai menjual air kelapa. Perut dah mula minta diisi, jadi aku beli secawan air kelapa dan bebola ikan. Duduk di wakaf sambil melihat pemandangan laut yang boleh meredakan tekanan darah dan denyutan jantung aku setelah  bekerja keras sejak awal pagi lagi.
 Agak kuat tiupan angin laut di sini. Boleh lena juga dibuatnya. Di sepanjang pantai aku lihat ramai orang yang datang untuk berkelah, maklumlah hari cuti. Riuh rendah dengan pelbagai gelagat. Sedang asyik mengunyah aku terima mesej dari Abang Syaaban, iaitu rakan host bahagian Melaka yang telah bersedia menyambut aku, tapi sebelum itu beliau mahu bersolat Asar dulu. Mod menunggu.

Dalam pada itu, aku terima pesanan ringkas dr RP yang mengatakan bahawa perjalanan dia dengan aku hanya setakat di situ saja kerana dia akan bermalam di Melaka bersama Tok Ji. Tiada apa yang hendak aku katakan selain berterima kasih atas khidmat dia selama 22 hari mengiringi aku.
Lama juga aku menunggu, akhirnya Abang Syaaban datang dengan basikal ‘Redline’. Segak sungguh basikalnya dengan ‘full set pannier’ berwarna kuning. Aku tak tunggu lagi, terus kayuh kerana sudah banyak masa aku bazirkan. Abang Syaaban mengikut aku dari belakang.

NEGERI SEMBILAN

Perjalanan aku sudah masuk ke negeri yang terakhir. Negeri  Sembilan. Negeri yang diambil namanya kerana  mempunyai 9 buah daerah, tapi kini tinggal 7 daerah sahaja. Masyarakat Negeri Sembilan dahulunya merupakan perantau asal dari Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia yang telah tiba sejak abad ke-14. Hingga kini masyarakat di sini masih mengamalkan adat dan budaya dari Minangkabau.



Tinggal lagi 37.5km nak sampai ke Pantai Telok Kemang. Jika ikut kiraan aku, satu jam aku boleh capai 10 km saja. Makanya kena ambil 3 jam lebih baru sampai. Sah, pukul 8 hingga 9 malam baru aku sampai.
Senja sudah pun menjelma. Suasana makin gelap. Lampu belakang dan depan basikal telah sedia aku pasang. Tak cukup dengan itu ,aku pakai ‘headlamp’ di kepala. Biar jelas kelihatan di mata pemandu kenderaan yang lain, lebih-lebih lagi kenderaan yang lebih besar seperti kereta dan lori. Bimbang juga kerana aku akan memasuki kawasan tumpuan  orang ramai dan malam itu adalah malam minggu. Sudah tentu jalanraya akan bertambah sibuk.
Melepasi kawasan Politeknik, aku teringat pada Jura yang telah berpesan menyuruh aku menghubunginya apabila sampai di Negeri Sembilan. Berkali-kali aku mendail nombor taliponnya, tetap tidak berjawab. Aku segera menukar plan asal, sekiranya Jura tak dapat dihubungi, maka aku akan tidur di tepi pantai, atau kawasan yang berdekatan dengan tandas awam. Elok saja aku sampai di kawasan pantai, aku terima panggilan dari Jura yang mengajak aku tidur di rumahnya. Setelah berbincang dengan Abang Syaaban, dia mengambil keputusan akan tidur di kawasan khas perkhemahan di tepi pantai. Di situ lengkap disediakan keperluan asas seperti tandas, bilik mandi dan surau, tapi bayaran dikenakan bagi siapa yang mahu tidur di kawasan itu. Tak ingat pula berapa harganya.

TELOK KEMANG
Aku meninggalkan Abang Syaaban bersama dengan basikal Red Arian ku. Malam itu, aku bagi  Abang Syaaban pinjam hammock, hammock  yang digantung antara dua batang pokok kelapa ternyata memang terbaik. Nyaman. Jura membawa aku makan malam kemudian membawa aku bersiar-siar sekitar pasar malam di tepi pantai Telok Kemang. Cuci-cuci mata saja, bukan ada barang nak beli pun. Bila dah tiada arah tujuan, aku mengajak Jura balik sebab dah terlalu letih.
Sampai di rumah Jura, aku dah tak boleh tahan mata, mengantuk sangat. Setkan jam di talipon bimbit siap-siap, baca ayat Qursi dan Al-fatihah kemudian, tak sedar aku tertidur di atas sofa sampai ke subuh.

Info kayuhan hari ke 22 :
Jarak kayuhan : 177km
Tempoh masa : 8:00 pagi - 7:30 malam

No comments:

Post a Comment