Kampung Belantik - Baling
Sabtu 13hb April 2013
Sepanjang malam aku terdengar-dengar orang sedang berbual. Aku rasa menjelang subuh baru suara-suara itu tidak kedengaran lagi. Dari dalam hammock aku memandang sekeliling. Masih gelap dan tiada lagi jemaah yang datang. Aku segera bangun dan terus berkemas kemudian selepas solat subuh aku beredar dari kawasan masjid.
Suasana waktu pagi di kampung Belantik agak dingin, boleh nampak kabus yang menyeliputi pokok-pokok di kiri dan kanan jalan. Tiba-tiba aku disapa oleh seseorang dari belakang. Aku menoleh, kelihatan seorang pakcik yang juga sedang berbasikal. Aku terus berhenti sebab tertarik dengan basikalnya yang aku tengok macam comel ja. Sempat juga berbual dan dari situ aku tau yang dia adalah pesara guru. Setelah bersara, aktiviti setiap pagi selepas solat subuh ialah mengayuh basikal hingga ke hujung kampung. Wah, masih gagah dan bertenaga pakcik ni. Aku pulak dah rasa macam nak pecah dada mengadap bukit pagi-pagi ni..
Lebih kurang 5 minit berbual, aku pun meminta diri untuk meneruskan perjalanan mencari warung atau gerai untuk bersarapan. Kayuh punya kayuh, makin lama makin jauh keluar dari kawasan kampung. Tak ada lagi kelihatan rumah atau kedai di sepanjang jalan.
salur air menjadi rumah burung layang-layang |
GULAU, VENG dan WENG
Jalanraya pun sudah bertukar warna dari hitam kepada warna merah, sekali- sekala berbatu kerikil. Di hadapan aku pembinaan jalan sedang giat dijalankan. Lori -lori hantu bersusun di satu kawasan. Ayo, rabak hancur hutan belah utara ni. Habis kena tarah untuk projek pembangunan. Aku harap projek ni mempunyai sistem saliran yang baik supaya tanah di cerun-cerun bukit tidak runtuh bila hujan turun. Jika tidak, malapetaka akan menimpa.Aku rasa jalan yang aku lalu macam jalan mati ja. Betul ke jalan ni ? perut pula dah makin berbunyi dan badan aku dah rasa gelisah. Aku beri isyarat berhenti kepada RP. Basikal aku letakkan di tepi jalan kemudian aku keluarkan stove dan barang-barang lain untuk memasak. Dah tak boleh fikir apa-apa lagi, kepala aku dah rasa berpusing-pusing, badan rasa ringan ja macam nak rebah. Walaupun begitu, masak tetap masak, makan mesti makan. Ngee.
Untuk menambahkan lagi tenaga aku campurkan buah goji ke dalam nasi yang aku tanak tu. Tak sempat tunggu nasi kering, aku dah matikan api. Nasi aku cedok masuk ke dalam bekas dan curahkan sedikit serunding daging yang RP bawa dan... Arggh! Nikmat sesuatu makanan adalah ketika lapar.
Suka betul hati aku bila perut sudah diisi, seperti silap mata, tenaga yang hilang kembali dengan serta merta. Voila ! Semangat aku berkobar-kobar untuk menyambung kayuhan semula. Bila aku pandang ke depan aku nampak jalan yang baru ditambak dengan batu berkerikil, membuatkan semangat lemah semula. Bukan apa, aku bimbang dengan keadaan jalan yang berkerikil akan memudaratkan tayar basikal aku nanti. Mana tau pecah atau bocor ke, kan dah melambatkan lagi perjalanan aku nanti. Kaedah yang paling baik adalah aku tolak saja basikal tu. Tak kiralah berapa lambat pun janji aku tetap bergerak.
Gubir, Gulau, Veng dan Weng adalah laluan alternatif yang dalam pembinaan. Puas betul aku menghadap pelbagai jenis keadaan jalan. Nasib baik tak hujan, kalaulah hujan memang sengsara hidup aku. Akhirnya aku berhenti di hujung jalan sambil menarik nafas lega, kerana selepas ini aku akan menuruni bukit. Di puncak bukit yang paling tinggi, aku mengucapkan syukur alhamdulillah kerana tak ada masalah yang berlaku pada tayar basikal sepanjang laluan di tengah hutan belantara ni.
Teringat pulak pada kisah pengembaraan bermotor aku di Vietnam tahun 2011. Ketika itu aku mengikut jalan rentas dari Sapa ke Cao Bang, kononnya lebih dekat. Padahal beratus-ratus kilometer jarak kedudukannya jauh di pendalaman, di tengah-tengah hutan belantara dan di kelilingi dengan gunung ganang. Jalan yang aku lalu cukup mengerikan. Boleh aku kata taubat nak ulang semula. Jalannya memang hancur langsung tak boleh lalu, lebih teruk dari yang ini. Kalau jadi sesuatu kemalangan memang tak de siapa yang boleh tolong. Walau bagaimanapun segala rintangan berjaya aku harungi asal ada semangat juang untuk terus hidup.
Aku dah bersedialah untuk meluncur. Kedudukan beg dikemaskan supaya tidak bergoyang atau tercabut. Tangan memegang handle, dan jari dalam keadaan bersedia menarik picu brek. Waktu basikal mula bergerak, rasa kepuasan yang tak terhingga. Segala usaha penat lelah ketika mendaki dan menolak terbalas dengan kelajuan yang maksima. Menuruni bukit yang tinggi dengan kelajuan tanpa batas seolah-olah aku sedang terbang bebas. Aku biarkan saja basikal bergerak sehingga kelajuannya berkurangan, setelah itu baru aku mulakan kayuhan. Tak lama lagi aku akan sampai ke jajahan Baling, rakan di sana telah dihubungi untuk aku tumpang bermalam di rumahnya.
musim pilihanraya mencacatkan pemandangan |
BALING
Hampir jam 1 petang aku sudah sampai di daerah Baling. Nampak Gunung Baling tersergam megah dan gagah. Itu lah mercu tanda penduduk setempat. Aku fikir perjalanan hari ini sangat jauh, rupanya tidak. Hanya perlu menghadapi cabaran melintasi jalan yang dalam pembinaan saja. Sedikit sukar tetapi tempohnya singkat.Rumah Pak Teh terletak di bawah Gunung Baling. Dari pintu rumah dah nampak puncak gunung. Kali ni aku sampai awal, tak perlu berkayuh hingga jauh malam. Bermakna aku dapat lah berehat panjang dan membasuh segala pakaian yang kotor. Mujur hari tu cuaca cerah dan panas. Pak Teh pula dah siap masak laksa untuk makan tengahari. Bertambah-tambah aku makan. Terima kasih Pak Teh dan keluarga, sedap sungguh hidangan ni..
Sedang aku berehat, terima panggilan telefon entah dari siapa, aku pun tak kenal. Katanya nak datang, hairan juga. Siapa pulak yang nak datang jumpa aku kat sini. Yang aku tau, kawan yang di Baling, Pak Teh seorang ja. Pukul 7 malam, sebuah kereta masuk ke halaman rumah Pak Teh. Musykil juga. Bila semua keluar dari kereta, sekali lagi aku menjerit. La..korang ke ?! ingat siapa lah tadi. Cit. Geng Taiping datang menerjah lagi.
Mereka baru balik dari mendaftar acara jamboree berbasikal di Thailand, terus saja mereka datang singgah. Dapatlah kami berborak-borak, solat maghrib berjemaah, minum-minum kopi, kemudian lepas Isyak mereka pulang semula ke Taiping. Terima kasih kawan-kawan susah payah datang ziarah aku kat sini. Bila semua orang dah balik mata aku mula terasa berat. Mengantuk sangat. Aku memilih untuk tidur di ruang tamu, walaupun Pak Teh sudah menyediakan aku sebuah bilik. Aku menolak kerana lebih selesa tidur di ruang yang terbuka.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.
Info kayuhan hari ke 8 :
Jumlah kayuhan : 78.5 km
Masa : 7.00 pagi- 1.00 petang
No comments:
Post a Comment