Wednesday, September 10, 2014

KEMASIK, kerana rindukan kamu, aku kembali [POT]

Hari ke- 15
Paka - Beserah- Kuantan
Sabtu 20hb April 2013 

Aku terjaga sekitar jam 3-4 pagi. Kebiasaannya aku periksa barang- barang yang berada di sekitar tempat tidur aku terutama  telefon bimbit dan kamera, dan kali ni tiada di tempatnya. Biar betul ? Hanya bag duit dan barang-barang lain yang agak bersepah keadaannya. Terkelip-kelip mata aku, kebingungan. Ah, tak puas hati, aku cari berkali-kali. Cuba juga mengingatkan semula bagaimana aku menyusun benda-benda tu di sebelah bantal sebelum aku lelapkan mata. Tak keruan aku dibuatnya  tapi aku cuba bertenang. Macam tak percaya barang aku boleh hilang di dalam masjid.

Aku terus maklumkan pada RP, bertanyakan padanya kalau-kalau dia perasan sesuatu yang pelik berlaku sepanjang malam. Beliau menggelang kepala. Memang hairan, kerana pencuri itu hanya mengambil 2 telefon bimbit aku tapi barang berharga lain tidak diusiknya. Telefon pun yang biasa-biasa jenama cokia, tidak lah mahal mana kalau nak dibandingkan dengan kamera tu. Sedangkan kamera kompak Nikon, Canon dan duit memang diletakkan sebelah menyebelah antara satu sama lain tidak diusik. Secara umumnya, kalau seseorang tu ingin mencuri sudah tentu dia akan ambil kesemuanya, terutama wang tunai. Ini tidak, telefon bimbit saja ? tak ke pelik namanya. Walau bagaimanapun aku sangat bersyukur kerana kamera masih ada. Itu adalah barang yang paling berharga pada aku kerana itulah sahaja bukti pengalaman aku pada pengembaraan ni. Kalau kamera itu tak ada, rasanya hilang semangat dan pengembaraan aku tidak bermakna lagi. Telefon bila-bila boleh ganti, tapi gambar ? uhf !
Aku terus meminta tolong RP memaklumkan tentang kehilangan telefon aku kepada pihak Admin POT dan meminta mereka menghubungi aku melalui telefon bimbit RP saja buat sementara waktu.

Hati masih gundah dan bingung. Aku tak boleh sambung tidur lagi, elok jika aku terus bangun dan berkemas.
Selesai solat subuh, aku pun menyusun beg ke atas basikal , tiba-tiba aku disapa oleh seorang pakcik yang berserban. Bertanyakan tentang perjalanan aku, kemudiannya dia memberi komen yang berupa kritikan negatif terhadap wanita yang pergi mengembara. Beliau berpendapat bahawa wanita tak perlu keluar mengembara, lebih baik  duduk di rumah dan melihat semua tempat melalui televisyen saja. Haha, aku nak tergelak, nak dilayan aku rasa buang masa. Senyum saja tak perlu kata apa-apa. Dah lah telefon aku hilang di masjid ni, kalau layan nanti, naik pula darah aku ni ha.

PAKA
Hari ni paling awal aku mulakan perjalanan. 6.30 pagi sudah keluar dari perkarangan masjid. Singgah sebentar di pantai Paka untuk melihat matahari terbit. Masa aku sampai, ada beberapa buah motosikal menghala ke tepi pantai, bila aku tanya kenapa ada ramai orang datang waktu begini, mereka cakap yang mereka sedang menunggu bot nelayan. Oh, baru aku tahu yang datang ni peraih ikan rupanya.



Perjalanan hari ini agak selesa, jalanraya pun luas dan landai, kalau ada rintangan pun cuma kena menongkah angin. Kacang mak lenang lah. Tak banyak yang boleh dilihat di sini, hanya berhenti di tempat-tempat yang penting untuk mengambil gambar sebagai bukti aku sudah sampai.




KERTEH
Bila aku melalui kawasan logi gas terbesar di Kerteh, pemandangannya hebat sekali. Dari jauh nampak api dan asap yang dilepaskan melalui corong -corong. Aku pernah melalui ketika malam. Pemandangan di waktu malam lagi cantik dengan lampu-lampu yang dipasang. Sebenarnya tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar di situ. Macam biasa perkara yang dilarang itulah yang orang paling suka  buat. Opp opp ! Benti..benti..amik gambo dulu. Ahaks.


KUALA KERTEH
Jika menyelusuri jalan pantai kita akan melalui Kuala Kerteh. Berdekatan dengan jeti bot nelayan ada pusat rekriasi Kuala Kerteh, tak ramai orang yang datang ke sini mungkin ianya cuma terkenal pada penduduk setempat saja. Tempat ini sesuai untuk perkhemahan, beriadah bersama keluarga dan  bermain layan-layang. Ada juga chalet-chalet yang disediakan. Aku cuma ronda-ronda sekali lalu, kemudiannya  teruskan perjalanan.






KEMASIK
Hentian rehat dan rawat Kemasik. Aku kembali lagi di sini dan kini dengan berbasikal. Gembira tak terkata. Ini adalah lokasi kedua yang paling aku suka.  Apa yang ada di sini ? tak da apa-apa kecuali pemandangan 2 buah batu di tengah laut. Jika air surut kita boleh berjalan kaki ke sana. Tempat yang paling menarik terletak di hujung sekali. Bagi aku,ini adalah tempat rahsia.



Kalau nak bermalam atau berkhemah di situ memang sangat sesuai kerana ada wakaf dan tandas terletak berhampiran. Di apit dengan bukit batu yang membentuk teluk kecil dan ia agak tersorok dan jauh dari tempat laluan orang ramai. Di celah batu yang berbukit tu tersembunyi sebuah gua.





Waktu aku sampai, ada beberapa orang budak lelaki sedang bermain. Seronoknya melihat gelagat budak-budak tu terjun tiruk. Berkali-kali juga lah aku suruh mereka ulang gaya terjunan tiruk sebab aku nak ambil gambar. Kalau tengok keadaan airnya yang jernih, tergoda juga nak terjun, mujur godaan tu tak lut kat aku, cuma RP saja yang mandi. Terasa macam nak ikut terjun, tapi malas lah basah-basahkan baju. Lagi pun perjalanan jauh lagi. Kerana leka , terjebak sampai satu jam aku di situ. Aku suka tempat ni, suka suka  sangat.






Sebelum bergerak RP hulur seorang satu ringgit pada budak-budak tu upah buat aksi terjun tiruk. Ahaks, untungnya mandi laut pun dapat duit. Alhamdulillah.


KIJAL
Aku keluarkan peta untuk mengetahui lokasi seterusnya. Tertarik dengan nama Kijal, rasa nak pergi melihat tempat tersebut. Seingat aku, dulu nama Kijal memang terkenal dengan tempat percutian mewah. Apa dah jadi dengan tempat tu ya ? Jom jejak.


Jeti di sini sudah lama terbiar, kini menjadi tempat kaki pancing mencuba nasib. Pemandangan tetap cantik seperti pantai-pantai yang lain di Terengganu. Airnya jernih, nampak ikan-ikan kecil berenang-renang di tepi dan di bawah jeti. Kalau nak berkhemah memang sesuai cuma tiada sumber air bersih.





CHUKAI
Imbas kembali tahun 2011 masa aku lalu di jambatan Bukit Kuang, aku nampak banyak kapal-kapal besar berlabuh di Sungai Chukai. Jalan tu dalam pembinaan dan terlalu sempit. Memang sesak dengan kenderaan hingga tak sempat aku nak ambil gambar. Kali kedua aku datang tetap juga jalan sesak. Entah kenapa kali ni aku tekad untuk mengambil gambar kapal, aku terus berhenti di atas jambatan. Tak sedar yang perbuatan aku tu telah membuatkan jalanraya bertambah sesak, semua kenderaan berhenti. Ha ha ha, semua orang pandang aku. Apalagi, buat muka tak tahu je la terus kayuh basikal.


Aku dapat tahu sekarang jambatan tu sudah siap. Mesti lagi cantik. Kemudian aku melalui satu kawasan pokok bakau yang sangat luas dan ada terusan yang sangat panjang di tengah-tengahnya. Yang menariknya, pokok bakau tu semuanya tersusun dan tinggi-tinggi. Mungkin kerana pokok bakau yang tinggi tempat tu di namakan Bakau Tinggi. Aku tak pasti masih ada lagi atau tidak pokok-pokok bakau tu sekarang, sebab masa aku lalu tu pun ada kerja-kerja penebangan sedang dijalankan.

PANTAI TELOK MAK NIK @ D’ Monica Bay
Pantai ni terletak di Geliga, Kemaman dan berhampiran dengan Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN). Aku singgah sekejap untuk melihat keadaan persekitarannya adakah masih seperti dulu atau tidak. Walaupun kali ketiga aku sampai, aku tak pernah jejak kaki ke pantainya sebab aku cuma jadikan tempat ni untuk berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Menurut maklumat di internet tempat ni sangat popular dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan memancing, motorcross dan futsal. Pantai Telok Mak Nik juga menjadi tempat tumpuan penyu. Spesies yang biasa naik ke Pantai Teluk Mak Nik ialah Penyu Agar atau dikenali 'Green Turtle'.



CHERATING
Selama 15 hari perjalanan, kini aku tiba di negeri Pahang. Negeri yang terbesar sekali di Semenanjung Malaysia. Darul Makmur, nama gelaran bahasa Arabnya, yang bermaksud "tempat perlindungan yang tenang". Negeri Pahang juga terkenal kerana memiliki pahlawan yang hebat seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela, Datuk Bahaman dan ramai lagi.

Aku singgah di Pantai Cherating. Dulu pantai ni memang terkenal di serata dunia. Zaman 80-90’an masa aku kecil memang popular dengan pelancong luar dan tempatan. Kiranya siapa yang bercuti di Cherating adalah golongan orang-orang yang mewah. Jujur aku cakap, aku tak pernah sampai sini. Inilah kali pertama aku nak tengok dengan mata kepala aku sendiri keindahan Cherating. Pantai ni agak ke jauh dalam sikit dari jalan besar, jadi segala aktiviti tidak terdedah pada umum. Pelancong yang datang pun dari pelbagai negara. Nampak tak apa yang aku nampak ? suasananya seperti berada di pulau-pulau terpencil.



KAMPUNG SUNGAI ULAR
Aku singgah lagi di lokasi yang aku rasa memang menarik. Dari jalanraya utama aku kena masuk melalui jalan kecil dicelah-celah rumah penduduk, baru boleh nampak pemandangan ni. Nun di sana ialah Pulau Ular. Aku tak pernah sampai sana, rasanya ada perkhidmatan bot nelayan yang boleh bawa ke sana tapi kebiasaannya untuk kaki pancing saja.



BESERAH
Tak lama lagi aku akan sampai ke tempat perhentian untuk hari ini iaitu di Beserah. Dalam perancangan aku nak mencari masjid saja, tapi RP memaklumkan bahawa ada seseorang yang akan menunggu kedatangan aku di sana. Katanya En.Zaini. Siapa pula kali ni ya ? Sedang aku mengayuh basikal, aku ternampak seorang lelaki yang mengayuh basikal jenis touring juga tetapi berlawanan arah. Aku abaikan saja, mungkin penduduk situ yang bersiar-siar di waktu petang. Aku terus saja mengayuh, tiba-tiba orang tu memintas basikal aku terus laju di hadapan. Pelik gak,  eh bukan orang yang tadi ke ? Bila aku berhenti dia pun berhenti seolah-olah menunggu aku. Aik ? Akhirnya aku tegur,” ni Abang Zaini ke yang tunggu Tun ?” Beliau senyum dan menganggukkan kepala. La, kenapa tak tegur, diam macam tu ja manalah saya kenal”. Abang Zaini gelak ja. Dia mengajak aku berhenti minum dulu di mana-mana gerai yang berhampiran. Aku ikut saja dari belakang.

BALOK
Jumlah jarak pengembaraan aku hingga kini sudah mencecah ke 2000km. Perjalanan aku masih jauh lagi.

Kami melintasi Pantai Balok dan kemudiannya berhenti di satu lagi pantai peranginan. Aku lihat kawasan pantai tu penuh dengan pengunjung, samada di kawasan letak kereta, di tepi pantai mahupun di gerai makan. Ramainya orang kat sini. Abang Zaini cakap, inilah Pantai Batu Hitam. Kenapa dipanggil Pantai Batu Hitam ? kerana batu-batu yang ada di pesisir pantainya berwarna hitam. Aku cuma pandang dari jauh ja batu-batu tu. Melihatkan tiada meja yang kosong. Abang Zaini ajak minum di tempat lain.


KEM PGA BUKIT GALING
Di hujung-hujung perjalanan untuk hari ini aku dah malas nak ambil gambar. Keletihan terlampau barangkali. Abang Zaini memaklumkan yang dia akan terus bawa aku ke tempat penginapan. Jadi aku dah rasa lega sangat sebab kononnya dah sampai. Kayuh punya kayuh tak sampai-sampai. Abang Zaini cakap dekat ja. Bila dah kata dekat automatik otak aku dah rasa lega tapi sampai masuk waktu maghrib aku masih di jalanan. Ah, sudah. Jalan raya pun bukannya mendatar, tapi mendaki dan mendaki. Tinggi ! Untuk kali pertama aku menangis. Entah macamana boleh keluar pula air mata dalam gelap-gelap tu.  Menangis sebab letih, menangis  mungkin sebab aku rasa aku  tertipu dengan jarak ‘dekat ja’. Ala, 7-10km ja kot. Mungkin masa tu aku rasa dah terlalu letih sangat, tenaga dah zero. Kalau bateri telefon boleh terus padam, macam tu lah keadaannya. Aku rasa sepanjang 15 hari aku berbasikal, saat ini lah aku jadi emosi. Cengeng. Masa telefon aku hilang pun aku tak menangis macam ni. 1 perkataan yang aku boleh cakap, rasa cam nak ‘give up’ ja. Nak ja aku campak basikal dalam gelap-gelap tu. Tapi apakan daya, tak de siapa yang boleh tolong aku kayuh basikal melainkan diri aku sendiri. Selagi belum sampai selagi itu lah aku gagahkan kaki ni untuk kayuh memanjat bukit. Bukit yang bernama Bukit Galing.



Sampai di Mess Pegawai Rendah PGA jam 7:45 malam. Abang Zaini tunjukkan aku bilik dan mengingatkan aku bersiap sedia untuk keluar makan jam 9 malam. Apa lagi, terus sorong basikal masuk ke dalam bilik. Aku keluarkan baju-baju yang kotor dan terus rendam. Setelah membersihkan diri, aku sempat baring dan meluruskan tulang belakang buat beberapa minit.

TANJUNG LUMPUR
Tepat jam 9 malam, Abang Zaini sudah sedia menunggu di ruang tamu. Dia akan membawa makan di Tanjung Lumpur. Tanjung Lumpur ialah sebuah perkampungan  nelayan yang pertama dibuka oleh masyarakat Melayu beberapa tahun dahulu.Terletak kira-kira 2 km dari bandar Kuantan dan dipisahkan dengan Sungai Kuantan.Terkenal dengan hidangan ikan bakar. Tengok sajalah, banyak betul hidangan yang Abang Zaini pesan, kena habis kan juga. Alhamdulillah.


Selesai makan , Abang Zaini menghantar aku semula ke tempat penginapan dan katanya esok jam 7 pagi dia akan sama-sama berbasikal mengiringi aku.
Sampai di bilik aku terus membasuh baju yang aku rendam tadi, kemudian aku sidai di bawah kipas. Bilik tu kecil ja, ada beberapa buah katil bertingkat dan aku seorang saja yang tidur di situ.   Hrm. Letihnya.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi.

Info kayuhan hari ke 15 :
Jarak kayuhan : 154.76km
Masa : 6:45am- 7:50pm

No comments:

Post a Comment