Baling - Banding
Ahad 14hb April 2013
Pagi ini rumah Pak Teh didatangi tetamu istimewa, seorang OKU (orang kelainan upaya) yang mempunyai kelebihan untuk mengurut cara refleksologi. Namanya Azman Rejab. Kami bersarapan sambil berbual-bual tentang kehidupannya dan cita-citanya. Dia memang berminat untuk mengembara dengan berbasikal. Waktu lapang pun dia berbasikal dengan dibantu oleh anak-anaknya. Kita memang tak boleh nak bayangkan bagaimana cara dia mengendalikan basikal kan ? tapi itulah yang telah dia lakukan.
Untuk menyempurnakan bukti kembara aku ke daerah ini, Pak Teh menunjukkan tempat untuk mengabadikan gambar aku berlatar belakang perkataan ‘Baling’.
Setelah puas bergambar, Pak Teh mengiringi aku hingga ke simpang menghala ke Pengkalan Hulu, seterusnya aku akan melalui jalan berbukit yang memerlukan pendakian selama 1 jam sebelum tiba di kawasan rehat Gunung Inas.
Aku berhenti kerana RP nak solat dhuha. Sementara menunggu RP bersolat, aku meninjau-ninjau di kawasan ini. Kawasannya cantik mempunyai kemudahan istirehat tetapi tidak berjaga. Kotor dan sayang sekali tempat yang cantik begini terbiar sepi. Hanya menjadi tempat untuk pemandu lori kontena dan bas-bas pesiaran berhenti rehat.
Lebih kurang 20 minit menunggu, aku kemudiannya meneruskan perjalanan. Seperti biasa perjalanan dihiasi dengan pemandangan hutan dan bukit bukau.
PENGKALAN HULU
Pernah dikenali sebagai Kroh atau Keroh, merupakan bandar yang terletak di daerah Hulu Perak, di belah utara Negeri Perak. Ia terletak di sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand dan sempadan negeri antara Perak dan Kedah. Pengkalan Hulu juga menjadi pintu masuk antarabangsa berhampiran Negara Thailand. Bandar berhampiran di negara Thailand ialah Betong di Wilayah Yala.Sampai di pekan Pengkalan Hulu, RP minta berhenti sekejap kerana dia hendak membeli sesuatu. Aku pun tunggu dia di deretan kedai sambil melihat gelagat masyarakat di situ. Lama aku tunggu, kenapa tak muncul-muncul lagi. Kelibat dia pun aku tak nampak. Takkan beli barang lama sangat. Aku tetap menunggu hingga satu tahap aku ambil keputusan untuk meneruskan perjalanan bersendirian.
Kalau siapa yang pernah melalui jalan di sini pasti tahu macamana keadaannya, kiri kanan hanya hutan dan agak sunyi. Kenderaan pun tak banyak dan boleh dikira dengan jari. Sekali sekali melayan perasaan, aku pandang kiri, pandang kanan pandang atas pandang bawah, memerhatikan keadaan sekeliling. Untung-untung dapat jumpa haiwan liar, mana tau ada rezeki dapat aku jumpa gajah atau beruang. Hehe.
Sedang leka mengayuh aku nampak lah sebuah motor datang dari arah hadapan, seorang pakcik berbangsa Cina. Dia menunggang motor dengan perlahan dan bila hampir berselisih, dia memandang aku sambil melaung “ awak punya kawan ada tunggu kat depan’’. Aku macam pelik ja, kawan aku ? Sejak bila aku berjanji dengan orang ? Aku cuma menganggukkan kepala sambil mengangkat tangan tanda terima kasih. Fikir punya fikir baru aku teringat, kawan yang dimaksudkan tadi adalah RP. Apa da, otak aku betul-betul kosong. Sampai RP pun aku tak ingat. Di satu sekatan jalanraya aku nampak RP sedang bersembang dengan polis-polis yang ada kat situ. Aku tak berhenti, terus ja kayuh sebab nak ganti semula masa yang dah banyak terbuang dek kerana ‘menunggu’.
KRIAN INTAN
Perjalanan yang jauh dan pendakian yang tak henti-henti membuatkan aku berhenti rehat di sebuah gerai. Di dalam gerai tu ada beberapa orang pelanggan dan aku yakin mereka adalah orang kampung di situ, sambil minum saja aku tanya pada salah seorang dari mereka. Bang, apa yang menarik kat sini ya? Abang tu menjawab, ‘kat sini tak de apa yang menarik cuma ada kilang bijih yang telah 106 tahun beroperasi sejak tahun 1907. Pemiliknya orang melayu. Nama syarikat tu Rahman Hydraulic dan masih menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah batuan keras yang terbesar di Malaysia.Wah, baru aku tahu. Besar juga lombong bijih timah ni, ingatkan dah tak ada lagi aktiviti melombong bijih. Dari jauh aku lihat lori keluar masuk kawasan lombong yang terletak di atas bukit. Milik penuh orang Melayu? hebat. Terfikir juga aku, sekian lama melombong bijih timah, tak pernah habis ke segala isi dalam perut bumi ni ? Allahuakbar.
Meneruskan kayuhan dengan perlahan kerana terpaksa mendaki bukit. Pulau Banding masih jauh lagi lebih kurang 35km, sekurang-kurangnya aku akan ambil masa selama 3 jam atau lebih untuk sampai ke sana.
Kebiasaannya, aku akan berhenti makan bila benar-benar terasa lapar, tapi kadang-kadang bila dah lapar, tak jumpa pulak kedai makan. Nak masak, malas lah pulak. Waktu tu lah minda memainkan peranan penting sentiasa memujuk , sikit je lagi, depan nanti ada lah kedai. Kaki terus mengayuh sampai jumpa kedai, hatta walau sejauh 30 kilometer pun kaki tetap mengayuh. Untunglah kedai makan kat semenanjung banyak. Pilih ja mana satu.
Perjalanan hari ni sangat jauh. Lepas satu tempat ke satu tempat. Tak ada apa yang boleh dilakukan selain dari kayuh ja basikal.
Kini aku sudah memasuki laluan yang merbahaya. Entah kenapa tiba-tiba terasa cuak bila teringat nasihat-nasihat dari rakan yang telah melalui lebuh raya Gerik-Banding. “Jangan lalu bila hari dah hampir gelap, haiwan liar banyak melintas terutama gajah. Bahaya dan bla bla bla…”
Sepanjang jalan, alhamdulillah, tiada apa yang menganggu. Nampak juga di tepi jalan najis gajah bersepah-sepah, nampak macam sudah lebih dari 3 hari. Satu jam setengah pendakian, aku sampai di sebuah tugu peringatan yang telah dibina untuk mengingati mereka yang telah terkorban ketika membina lebuhraya Timur-Barat. Aku sampai sini pun dah pukul 6.30 petang, langit semakin gelap dan hujan gerimis mula turun. Cepat-cepat aku ambil gambar kemudian teruskan perjalanan.
Lebuhraya Timur-Barat mula dibina pada tahun 1967. Proses pembinaannya kerap kali terganggu akibat perbuatan khianat pengganas komunis yang sering sahaja menyerang hendap pekerja binaan sepanjang Perang Insurgensi Komunis ataupun Darurat Kedua dari tahun 1967-1989, menyebabkan pembinaan lebuh raya ini memakan masa yang sangat panjang. Malah, semasa lebuh raya ini dibuka pun pihak tentera mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja dan perlu melapor diri setiap kali menggunakannya.
Sistem kawalan keselamatan yang ketat dimansuhkan setelah pihak komunis menyerah diri sepenuhnya pada tahun 1989. Jabatan Kerja Raya di Pulau Banding telah membina sebuah tugu peringatan bagi menghormati para pekerja yang terkorban akibat serangan hendap komunis sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat.
Kalau kita naik kereta memang tak akan perasan tugu ni, lagipun kawasannya memang sunyi.
Baru-baru ni berita ada menyiarkan bahawa ada banyak najis gajah bersepah-sepah di kawasan tugu, menandakan sudah menjadi tempat laluan gajah liar. Jadi pada mereka yang bercadang untuk berbasikal di sini mestilah lebih berhati-hati. Sebaiknya jangan melalui jalan ni selepas jam 5 petang.
TASIK TEMENGGOR
Hari semakin gelap, ditambah dengan hujan renyai. Aku tekad untuk meneruskan perjalanan hingga sampai ke Tasik Temenggor. Dalam gelap malam, hanya di terangi dengan lampu kepala dan lampu basikal yang malap, aku memegang erat ‘handle bar’. Jantung berdegup kencang ketika menuruni bukit. Memang laju. Hujan terus turun, kadang menganggu pemandangan aku. Setiap selekoh aku terpaksa memperlahankan basikal agar tidak tergelincir dan tersasar dari laluan yang sepatutnya. Lori, motor dan kereta bertali arus berselisih dengan aku. Phews, memang bahaya.Aku rasa itulah masa-masa yang paling kritikal,‘adranaline rush’. Silap sikit memang aku boleh tergelincir dan terbang jatuh berguling-guling mungkin jadi aruah. Dengan perut lapar, kesejukan, keletihan yang maksima, aku nak juga sampai ke jeti Pulau Banding. Nekad dan tekad akhirnya aku nampak lampu jambatan Tasik Temenggor. Basikal meluncur dengan laju menyebabkan aku terlepas simpang masuk ke jeti dan terus saja mengayuh hingga ke seberang sana. Berpusing-pusing jugak lah mencari jalan masuk. Dari jauh aku nampak banyak lampu dari rumah bot, tapi di seberang sebelah sana. Berpandukan lampu-lampu rumah bot di tepi tasik aku berpatah semula dan akhirnya sampai ke lokasi.
Di pendekkan cerita, sebaik saja sampai di wakaf jeti Pulau Banding, RP terus rebah tertidur. Aku tinggalkan basikal di wakaf Rumah Menanti dan mencari tandas untuk membersihkan diri. Tandas pula berkunci. Hok aloh. Terkedu aku sekejap. Apa nak buat ni, kalau aku sakit perut atau nak buang air kecil nanti. Takkan nak duduk mencangkung tepi tasik pulak. Buntu.
Perut sudah berbunyi minta diisi, mujur kedai makan masih beroperasi jadi aku beli burger dan air teh untuk dua orang sebagai alas perut. Aku kembali ke wakaf semula, tiba-tiba ada seorang pemuda menegur, Tun ke ni ? Aku menyahut, aah, siapa ni ya ? Dia memperkenalkan diri. Walaupun samar-samar, aku cuba mengingatkan siapa gerangannya, bila teringatkan yang aku pernah menggunakan khidmat dia ketika melawat Royal Belom 4 tahun lepas, membuatkan aku tersenyum lebar.
Sekarang dia membuka syarikat menyewa kayak yang diusahakan bersama kawan-kawannya. Pejabatnya cuma sebuah rumah rakit yang ditambat di tepi tasik. Aku terus meminta izin untuk tumpang menggunakan bilik air yang ada di rumah rakit, dan dia membenarkan. Syukur alhamdulillah. Allah sentiasa mendengar doa hambanya yang sedang bermusafir.
Malam itu aku tidur di atas bangku simen, beralaskan kain batik dan ‘sleeping bag’ pemberian saudara Shudairi Sabri yang akan memberikan aku kehangatan dari kedinginan malam. Aku merebahkan badan dan menghadapkan muka ke arah jambatan Tasik Temenggor sambil melayan pemandangan di waktu malam. Dalam gelap-gelap tu aku terdengar kocakan air tasik, mungkin bunyi ikan haruan sedang menangkap mangsanya. Ada juga bunyi cengkerik dan katak saling sahut menyahut. Begitu indah sekali suasana malam di tepi tasik Banding. Mata aku makin lama makin layu dan akhirnya terlelap.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.
Info kayuhan hari ke 9:
Jarak kayuhan : 117km
Masa :7.45 pagi- 8.26 malam
No comments:
Post a Comment