Wednesday, September 24, 2014

Geng baju petak-petak [POT]

Hari ke 21
Pontian Kecil - Muar
Jumaat, 26hb April 2013

Aku terlewat bangun, mungkin kerana terlalu penat. Bilik aku  bersepah-sepah dengan baju-baju yang masih lembab yang aku sidai sebelum masuk tidur semalam. Perlahan-lahan aku kutip  dan susun ke dalam bag. Adoi, badan rasa sakit-sakit. Nak bergerak pun ngilu rasanya. Dari malam hingga ke pagi hujan turun tanpa henti. Waktu aku jenguk dari pintu hotel pun hujan masih gerimis. Aku bungkus bag dengan plastik sampah, supaya tak terkena air hujan nanti.
Tok Ji dan RP sudah sedia untuk memulakan perjalanan. Setelah mengeluarkan basikal, aku ke kaunter untuk memulangkan kunci bilik. Langit terus menurunkan hujan, dengan lafaz bismillahirrahmanirahim di dalam hati, aku memulakan kayuhan. Destinasi hari ini ke bandar Muar.
Perjalanan seperti biasa, jalan landai dan basikal meluncur laju, ketika aku melalui Kampung Sungai Pinggan terasa kayuhan aku semakin lambat dan berat. Alah,tayar hadapan pancit. Terpaksalah aku berhenti dan mulakan proses penukaran tiub basikal. Aku ni, sekadar tukar tiub basikal boleh lah buat, tapi tidak sepantas orang lelaki. Masa aku tukar tiub, aku periksa sekali keadaan tayar. Rupanya pancit disebabkan dawai halus yang terbenam ke dalam tayar. Ini kali ketiga tayar aku pancit disebabkan wayar halus. Jenuh juga  nak keluarkan wayar ni. Tak ada penyepit nak tarik dawai tu keluar. Terkial-kial aku mengodek-godek lama-lama tercabut juga. RP ada tapi aku tak mahu menyusahkan dia, kerja senang, aku boleh buat.
Lebih kurang setengah jam, baru semuanya siap. Aku kemaskan semua peralatan masuk ke dalam beg dan terus mulakan kayuhan menuju ke Batu Pahat.

BATU PAHAT
Setahu aku tempat ni mendapat nama dari kisah yang berkait dengan serangan askar Siam pada abad ke-15. Kesan-kesan sejarah ini masih terdapat di Minyak Beku. Kisah lain pula menyatakan Portugis mengambil batu-batu dari Batu Pahat untuk membina kota A Famosa di Bandar Hilir, Melaka. Batu-batu tersebut telah dipahat dan diangkut ke Melaka. Kerana itu mercu tanda tugu berbentuk batu yang sedang dipahat dibina di bandar ni. Sebelum dinamakan Batu Pahat bandar ni dipanggil Bandar Penggaram bermaksud bandar pembuat garam kerana aktiviti nelayan yang menggaram lebihan ikan-ikan yang tidak laku dipasarkan. Ikan-ikan itu mereka jadikan ikan kering.

Bentuk muka bumi di sebelah pantai barat Johor ni agak landai. Jadi kayuhan aku dari Pontian hingga ke Batu Pahat laju ja. Tok Ji dan RP entah ke mana. Aku rasa ada kat belakang tadi, bila aku toleh tak ada pulak. Tak pa lah, mereka tu kayuh laju, bila-bila masa ja boleh kejar aku nanti. Sampai di Batu Pahat, aku berhenti lagi di stesen minyak untuk menikmati aktiviti yang aku paling menyampah iaitu menunggu. Masa aku duduk menunggu, aku jumpa  3 orang budak muda yang dalam  misi berbasikal dari Singapura ke Melaka. Masa yang mereka ambil untuk sampai ke sini lebih kurang 2 jam lebih. Lajunya mereka kayuh. Aku memang tak mampu nak ikut cara orang-orang macam ni. Cara aku, pelan-pelan kayuh, asal sampai sudah.Tak ada apa yang aku nak kejar.



MUAR

Tepat jam 3.30 petang aku sampai di Parit Raja. Aku berhenti rehat di sebuah gerai kerana tak tahan dengan cuaca yang sangat panas. Pada masa yang sama aku terima pesanan ringkas dari RP mengatakan bahawa dia dan Tok Ji berhenti solat Jumaat di Batu Pahat. Hrm, kalau aku ikut mereka tadi mesti aku tersadai kat sana sampai  habis solat.
Aku dah berjanji untuk berjumpa dengan abang Acid Mustafa di sini. Katanya , dia akan tiba pada bila-bila masa saja. Memang betul, dari jauh aku nampak dia datang bersama seorang lagi kawannya Nizam dengan memakai berbaju kotak-kotak. Aha, itu lah ‘trademark’ rakan-rakan di Muar. Berseluar ‘jeans’ dan baju kotak-kotak. Sempoi.


Ada dua jalan menghala ke bandar Muar, Abang Acid memilih untuk membawa aku bersiar-siar mengikut jalan pesisir pantai. Jalan yang membawa aku menikmati pemandangan perkampungan nelayan di Parit Jawa.







Aku sampai pun dah petang, memang waktu air laut tengah surut, jadi segala benda yang berada di dasar terselah di pandangan mata. Aku nampak lagi batang-batang nibung tersusun dalam air. Mungkin nak digunakan untuk membuat tiang jeti atau tiang kelong nun di tengah laut. Aku dapati bahagian pantai barat tak macam pantai timur. Di sini pantainya berselut, mempunyai pokok-pokok bakau dan air laut tidak sejernih di pantai timur. Walaubagaimana pun jelas menunjukkan negara Malaysia memang unik dengan kepelbagaian ekosistemnya.


Seterusnya abang Acid ajak berhenti minum petang. Aku tengok gerai ni penuh dengan pelanggan. Kereta banyak bersusun di tepi jalan. Gerai ni terletak dalam kawasan rumah kediaman. Di kawasan halaman diletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan menjamu selera. Abang Acid kata murtabak kat sini sedap. Pasal tu dia nak bagi aku rasa. Murtabaknya besar, boleh kongsi makan untuk 3 orang. Memang sedap, isinya banyak dan bezanya cuma pada kulitnya. Biasa kulit murtabak menggunakan tepung, murtabak yang ini menggunakan telur sebagai kulitnya.


Kayuhan abang Acid boleh tahan laju jugak. Terhegeh-hegeh aku nak kejar. Sekali sekala abang Acid memperlahankan kayuhannya. Walaupun begitu, Nizam tetap setia menjadi ‘sweeper’ di belakang aku hingga ke tempat penginapan. Kali ni aku tersenyum lagi kerana perjalanan hari ini tidak berlarutan hingga ke malam. Jam 5.30 petang aku dah sampai ke tempat penginapan yang telah disediakan oleh abang Acid. Syukur alhamdulillah. Bolehlah aku berehat lama sikit.




Di sebelah malam, abang Acid membawa aku untuk makan malam bersama geng Muar. Boleh dikatakan yang datang memakai baju kotak-kotak. Macam berjanji pulak.




Balik dari makan malam, abang Acid bertanya tentang keadaan basikal aku kalau-kalau ada yang perlu diperbaiki. Aku cuma minta tolong memeriksa keadaan tayar basikal aku yang kurang angin. Dalam bab basikal Nizam memang pakar. Tiub yang aku guna tu bocor, ganti tiub lain pun tetap bocor. Ikhtiar terakhir, abang Acid bagi aku guna tiub baru miliknya. Haish, malu betul asyik menyusahkan  orang ja.


Hingga jam 11 malam, baru selesai membaiki basikal kesayangan aku tu. Alhamdulillah. Terima kasih pada geng Muar kerana sudi memberikan pertolongan cemas.

Info kayuhan hari ke 21 :
Jarak kayuhan =156.34km
Tempoh masa = 7:00 pagi - 5:30 petang

No comments:

Post a Comment